Honda City 2014 yang dilancarkan pada 20 Mac lepas telah mencatat rekod baharu untuk Honda Malaysia apabila menerima tempahan sebanyak 10 ribu unit di dalam masa sebulan selepas pelancarannya. Rekod itu melebihi tempahan Honda CR-V sebanyak 3 ribu unit selepas sebulan dilancarkan pada tahun 2013.
Walaupun menerima permintaan yang melebihi jangkaan, Honda Malaysia yakin dapat menyerahkan kesemua 10 ribu tempahan pada penghujung bulan Jun 2014. Fasiliti No.2 di kilang Honda Pegoh boleh digunakan bagi mempercepatkan produksi dan menyingkatkan masa menunggu.
Honda City 2014 dilengkapi dengan pelbagai ciri istimewa seperti ruang kabin dan kargo yang luas, enam beg udara, VSA dan ISO Fix manakala ruang bonet bersaiz 536L adalah yang terbesar di dalam segmennya. Selain dari itu, City generasi keempat ini turut dilengkapi Smart Entry, Push Start Button, Cruise Control, Penyaman Udara Sesentuh Automatik, Corong Penyaman Udara Belakang, Paparan Audio 7″ dan 8 Pembesar Suara.
Sebelum pelancaran Honda City 2014, jualan Honda Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 30% pada suku pertama 2014 berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang antaranya disumbangkan oleh jualan Accord dan CR-V. Sebagai model pertama yang dilancarkan pada tahun 2014, Honda Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 76 ribu unit.
Honda Malaysia menghargai dan berterima kasih kepada sokongan dan kepercayaan pelanggan terhadap jenama Honda dan akan terus mengujakan rakyat Malaysia dengan model-model baharu yang bernilai untuk wang dan berkualiti.