Ganjaran Miliki Proton Saga Lebih Dari 30 Tahun – Pesara Menang Proton Saga 2016

proton-saga-orion-1985-04

PROTON Holdings Berhad mengumumkan pemenang bagi Peraduan Proton Search 2016 . Mohd Isa bin Ibrahim Shah, 85, seorang bekas kakitangan kerajaan, yang sebelum ini bekerja di RISDA, memenangi Hadiah Utama iaitu sebuah Proton Saga baharu, berdasarkan kenangan yang menyentuh hati mengenai Proton Saga manual yang dimiliki beliau sejak 1985 memberikan kegembiraan dan sangat bermakna kepada keluarganya.

Proton Saga yang dimiliki Mohd Isa banyak berjasa bukan hanya kepada keluarganya, tetapi turut banyak membantunya dalam kerja-kerja amal bersama penduduk orang asli sehingga ke hari ini. 10 hadiah sagu hati yang lain telah dimenangi; Abdul Razak bin Ahmad, Azizah binti Junid, Ishrat Banu binti Hassan, Mohd Jamil Chew bin Abdullah, Mustapa bin Kassim dan Wong Sok Kim @ Wong Sok Kum (pemilik kereta tahun 1985); Govindarajoo a/l Periasamy, Mohd Tajuddin bin Idris, Samian bin Sawiyo dan Thangaras a/l Doraisamy (pemilik kereta tahun 1986).

Peraduan yang julung kali diadakan ini telah berlangsung selama 13 minggu, dari 8 Mac hingga 8 Jun 2016, dan menerima sebanyak 866 penyertaan dari semua kaum di seluruh negara. Penyertaan merangkumi pemilik kereta Proton dari tahun 1985 hingga 2012, dari generasi pertama iaitu Saga sehinggalah Exora. Peraduan ini diadakan bertujuan untuk mencari pemilik tunggal kereta Proton paling lama di Malaysia, dengan keadaan kereta yang baik serta masih digunakan sehingga kini. Para peserta juga dikehendaki berkongsi kenangan manis mengenai kereta mereka dalam bentuk karangan atau video ringkas.

proton-saga-orion-1985-01

Peraduan dianjurkan bersempena pelancaran kempen “The New PROTON” (atau PROTON Baharu) pada Februari tahun ini, sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Pelanggan Diutamakan? dalam menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pemilik Proton. Peraduan ini juga dilihat sebagai satu cara untuk Syarikat menunjukkan komitmennya bagi membina dan mengekalkan hubungan dengan pelanggannya serta memberi ganjaran kepada pelanggan yang setia.

“Kami amat terharu dengan penyertaan yang sangat menggalakkan dari para pelanggan setia kami. Ianya juga sesuatu yang sangat menggembirakan kami apabila mendapati banyak lagi Proton Saga tahun 1985 yang masih dipandu di atas jalan raya. Ini jelas menunjukkan yang kereta Proton benar-benar kukuh dan telah banyak memainkan peranan dalam memperkayakan kehidupan seharian pemilik-pemilik ini dengan pelbagai kenangan dan detik-detik yang tidak boleh dilupakan bersama kereta-kereta mereka,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Beliau turut menambah, “Peraduan ini memberi peluang untuk pemilik tunggal kereta Proton yang paling lama untuk berkongsi kisah indah mereka. Saya percaya bahawa kisah-kisah seperti ini semestinya berkait rapat dalam kehidupan rakyat Malaysia yang lain. Ini sudah pastinya menguatkan objektif Syarikat untuk terus menghasilkan kereta mampu milik yang memberi nilai terbaik serta berkualiti kepada pelanggan.”

Para pemenang telah dipilih oleh panel juri profesional yang menilai penyertaan mereka berdasarkan kedua-dua bahagian teknikal dan juga cerita atau video ringkas yang dikirim. Para juri terdiri daripada Ketua-ketua di pelbagai jabatan di PROTON, dan diketuai En. Azhari Che Hassan, Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Kenderaan PROTON serta juri-juri jemputan, Hezeri Samsuri dan Salihin Rahim dari rakan media permotoran dalam talian, Careta.my.

Pusingan pertama penghakiman melibatkan proses saringan berdasarkan borang penyertaan yang lengkap mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam borang penyertaan. Setiap penyertaan kemudiannya dibahagikan mengikut tahun kereta dikeluarkan dan jumlah tahun pemilikan kereta.

proton-saga-orion-1985-03

Selepas penapisan awal dilakukan, juri-juri juga kemudiannya menyemak cerita atau video ringkas yang menyentuh perasaan dan kemudiannya para peserta disenarai pendekkan. Setelah itu, para juri membuat kunjungan dari rumah ke rumah pemilik yang telah disenarai pendek untuk mengesahkan keadaan kereta mereka bagi memastikan kereta tersebut masih dalam keadaan baik. Untuk tujuan ketelusan dan kesahihan, proses pemilihan telah diaudit oleh Jabatan Audit Dalaman PROTON.

Para pemenang juga diberi peluang untuk melawat ke kilang dan melihat kemudahan yang ada di Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan PROTON yang terdiri daripada Studio Reka Bentuk serta makmal ujian dan akhirnya mereka cuba memandu uji serta menaiki kereta-kereta Proton di trek pandu uji PROTON.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.