Fiat Panda bukanlah model yang asing untuk kita, mungkin ada yang tidak pernah mendengar namanya namun harus tahu Panda generasi kedua pernah dipasarkan di dalam negara. Semasa menulis artikel ini, saya membuat carian di dalam laman web jual beli dan menjumpai dua buah Panda untuk dijual. Kedua-dua buah kereta masih lagi kelihatan elok dengan harga yang saya kira mampu milik. Panda tidaklah besar mana, saiznya lebih kurang Perodua Kenari. Mungkin kerana rekabentuknya yang comel mampu menarik pembeli tempatan.
Fiat Panda 4×4 yang dipaparkan ini adalah pengganti kepada model laris yang telah 29 tahun berada di dalam pasaran. Model generasi ketiga ini telah mula dipasarkan di Eropah sejak Januari lalu. Model itu dikatakan mempunyai karakter yang sama seperti model sebelumnya iaitu menyeronokkan, versatil, bergaya dan mempunyai ruang yang luas. Model itu turut dibekalkan dengan ciri-ciri standard semasa seperti teknologi, kualiti, keselesaan dan keselematan. Fiat Panda 4×4 dilihat sebagai solusi kepada pemandu yang mahukan sifat-sifat kereta bandar tanpa mengabaikan saiz, keselesaan beserta keupayaan sebuah SUV.
Model 4×4 sebenarnya adalah salah satu daripada tiga varian Panda. Dua varian lagi ialah model pacuan dua roda standard dan Panda Trekking. Panda 4×4 dan Trekking mempunyai gayaan dan ketinggian yang sama cuma model Trekking dipacukan oleh dua roda hadapan yang didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman (traction control) untuk permukaan jalan yang licin. Berbanding dengan model sebelumnya, Panda 4×4 dan Trekking lebih panjang, lebar dan tinggi. Dengan kelegaan jarak bumi yang tinggi, Panda 4×4 dan Trekking mampu untuk melalui jalan dengan pelbagai rintangan tanpa banyak masalah. Badan kereta itu lebih tegar berbanding model sebelumnya dan menggunakan sistem suspensi yang baharu sepenuhnya yang dioptimumkan untuk pemanduan di atas dan luar jalan raya (off road).
Di bawah bonet, Panda 4×4 dan Trekking ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 875cc TwinAir Turbo dan 1.3 liter MultiJet 2 turbo diesel. Kedua-dua enjin didatangkan dengan teknologi Start&Stop dan Gear Shift Indicator (GSI) yang memberi maklum kepada pemandu poin optimum untuk menukar gear. Teknologi tersebut walaupun nampak ringkas sebenarnya adalah untuk membantu mencapai penggunaan minyak yang ekonomikal. Direka untuk mesra pemandu, Panda generasi ketiga didatangkan dengan stereng kuasa Dualdrive dengan fungsi ‘City’ supaya lebih senang dikemudi.
Daripada segi keselamatan, Panda 4×4 dan Trekking mempunyai empat beg udara, ABS dan ESP sebagai peralatan standard. Pembeli boleh menambah pilihan peralatan seperti tambahan dua lagi beg udara dan City Brake Control. Sistem tersebut berfungsi dengan membaca keadaan jalan di hadapan di dalam kelajuan perlahan dan membrek secara automatik jika terdapat sebarang objek. Teknologi tersebut biasanya hanya terdapat pada kenderaan mewah sahaja.
Kemudahan yang ada pada Panda bukan sahaja untuk pemandu tetapi juga untuk penumpang. Kerusi belakang boleh diubah kepada pelbagai konfigurasi dan mempunyai 15 tempat simpanan barang.
Panda 4×4 dan Trekking direkabentuk dengan DNA Fiat bagi memberikan solusi yang dapat membantu kehidupan pembeli dan menjadikan teknologi supaya lebih senang dicapai oleh semua orang.Ciri-ciri tersebut adalah refleksi versatiliti Panda iaitu sebuah kereta yang mampu untuk digunakan di dalam hutan atau pun hutan bandar. Ciri tersebut menjadikan Panda 4×4 sebuah model yang sangat unik iaitu kereta bandar dengan pacuan empat roda. Daripada segi luaran pula, Panda 4×4 dan Trekking nampak sangat comel seperti di dalam gambar yang dipaparkan. Mungkin rekabentuknya mengambil bayangan daripada haiwan Panda dengan lampu utama yang bulat seolah-olah mata haiwan itu sendiri. Bentuk badan kereta juga nampak montok dan ‘chubby’ seperti seekor Panda! Sayangnya jenama Fiat sudah hilang dari pasaran tempatan jika tidak pasti ada yang tertarik untuk memilikinya.
Newspress
@muhd_gt
4 comments
Skip to comment form
🙂
“Sayangnya jenama Fiat sudah hilang dari pasaran tempatan jika tidak pasti ada yang tertarik untuk memilikinya.”
Fiat Multipla punya pasal? eheh..
sedara, saya nk tnya. fiat panda ni kedarah minyak mcam kembara x?
sekian.
Agak-agak berapa harga panda 4X4 tu…