Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh Bersara, Perodua Lantik Ketua Baharu

Perodua hari ini menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya yang paling lama berkhidmat, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, bersara selepas sembilan tahun menerajui syarikat tersebut.

Di bawah kepimpinan Datuk (Dr) Aminar, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya daripada 31.2% pada 2010 kepada lebih 37% setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

Catat prestasi cemerlang

Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran.

Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Ahli Lembaga Pengarah Perodua ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk (Dr) Aminar di atas sumbangan beliau khususnya kepada Perodua serta kepada industri automotif Malaysia secara keseluruhannya,” kata Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Dato’ Zainal Abidin Ahmad Ketua Pegawai Eksekutif baharu

Datuk (Dr) Aminar bakal digantikan dengan Dato’ Zainal Abidin Ahmad yang sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd. Beliau dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua.

“Untuk tujuan tersebut, Ahli Lembaga Pengarah Perodua melihat Dato’ Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua serta para vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau,” kata Tan Sri Asmat.

“Membawa Perodua ke peringkat rantau memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh memimpin malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar.

“Dato’ Zainal telah membuktikan bahawa beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam negara,” tambahnya.

Tan Sri Asmat berkata, “Masa hadapan Perodua bergantung kepada keupayaan kami untuk bekerja lebih harmoni dengan Daihatsu kerana mereka sentiasa menyokong kami dan Dato’ Zainal membuktikan bahawa dia sesuai untuk tugas tersebut.”

“Dengan pengetahuan yang dikongsi Daihatsu dalam pembuatan, kami dapat terus berdaya saing di dalam negeri dan dengan bimbingan mereka, kami ingin mengembangkan perniagaan kami di luar Malaysia,” kata Tan Sri Asmat.

Berpengalaman luas

Tempoh perkhidmatan Datuk (Dr) Aminar selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua akan tamat pada 31hb Disember 2018. Dato’ Zainal akan mengambil alih jawatan tersebut dari 1hb Januari 2019.

Dato’ Zainal Abidin Ahmad, 52, memegang ijazah dalam Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan daripada Pacific Lutheran University, Washington, USA. Beliau memulakan kerjayanya di Perodua pada tahun 1995 di jabatan kawalan kos, dan terlibat secara langsung dalam mewujudkan struktur kos pengeluaran Perodua.

Dato’ Zainal akan menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama dipilih dari keluarga Perodua. Antara pencapaiannya termasuklah menyertai pembentukan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan bekerja secara dekat dengan kerajaan Malaysia menerusi pelbagai badan di bawah MITI dalam menambahbaik lagi dasar tersebut.

Dato’ Zainal juga berperanan dalam penubuhan hab tren kuasa (powertrain) di Sendayan, Negeri Sembilan yang terdiri daripada Daihatsu Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd (beroperasi 2016) dan kilang pengeluaran transmisi Akashi Kikai Sdn Bhd (beroperasi 2015).

“Kami amat teruja untuk melihat perubahan yang akan dibuat di bawah kepimpinan beliau dalam membawa Perodua ke peringkat yang seterusnya,” kata Tan Sri Asmat.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.