Generasi yang bersekolah sezaman dengan saya iaitu sekitar 90an berkemungkinan dipenuhi dengan kempen Wawasan 2020, antara subjek tema lukisan yang pernah disuruh lukis oleh cikgu ialah suasana kemajuan negara pada tahun 2020. Seingat saya ada rakan-rakan yang melakar bangunan pencakar langit dan pelbagai objek infrastruktur lain yang kreatif dan objek wajib ialah kereta yang boleh terbang. Saya yakin ada di antara pembaca juga pernah mengalami pengalaman yang sama.
Tinggal lagi sembilan tahun sebelum tahun 2020 akan tiba tetapi bayang-bayang kereta terbang yang diproduksi secara skala besar masih lagi tidak nampak, jika kereta terbang terlampau canggih sekurang-kurangnya kereta amfibia pun sudah memadai, tetapi itu juga tidak nampak hasil skala besarnya lagi. Walau bagaimanapun, bukan janji tapi pasti kereta mesra alam bakal membanjiri negara-negara dunia pada masa hadapan. Dunia sekarang ibarat dilanda demam hijau, segala-galanya perlu ada unsur hijau dari penjimatan kertas hinggalah perkakasan elektrik yang menjimatkan tenaga. Sektor automotif pula dikatakan sumber pencemaran utama dunia dan digabungkan dengan ketidaktentuan harga bahan api maka pengeluar perlu mencari jalan keluar, antaranya ialah menghasilkan kenderaan yang mesra alam dan menjimatkan. Maka berlumba-lumbalah pengeluar melancarkan kempen kejuruteraan mereka, ada yang menggunakan teknologi hibrid, elektrik, hidrogen, pengecas turbo dan teknologi enjin diesel yang diperbaharui.
Tetapi bila bercakap pasal kereta, prestasi adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan. Apa akan jadi kepada Ferrari, Lamborghini, Bugatti, Lotus dan lain-lain pada masa hadapan? Adakah mereka akan terjebak sama dengan perlumbaan teknologi mesra alam? Jika dikira prinsip perubahan, ianya adalah perlu jika tidak mahu dilipat dalam sejarah. Analogi mudah ialah di manakah kamera dengan filem negatif sekarang? Hampir pupus. Saya pun tidak pasti wujudkah lagi kedai yang menjual filem negatif. Dalam tempoh kurang daripada 10 tahun, kamera digital hampir melenyapkan kamera menggunakan filem negatif.
Honda sudah mempunyai produk berprestasi masa depan dengan melancarkan CR-Z. Model ini boleh dikatakan jelmaan semula CRX yang popular pada zaman 80an dan 90an. Jika remaja waktu itu boleh berbangga dengan enjin VTEC generasi muda kini pula dibekalkan dengan enjin hibrid 1.5 liter i-VTEC berkuasa 122hp. Honda CR-Z dipakejkan sebagai coupe dua pintu dengan rekaan yang bergaya, mempunyai pengendalian yang bagus dan paling penting mesra alam. Enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa digabungkan dengan Integrated Motor Assist atau lebih dikenali dengan singkatan nama IMA iaitu nadi kepada kuasa dan penjimatan CR-Z. Buat pertama kali untuk kereta hibrid, kereta ini dipasangkan transmisi enam kelajuan manual. Jika malas hendak menukar gear, pelanggan ditawarkan pula transmisi Continuously Variable Transmission [CVT] dengan pedal penukar gear di stereng ala kereta lumba.
Selain daripada itu, CR-Z turut dilengkapkan tiga mode pemanduan yang terdiri daripada Sport, Normal atau Econ [Economy]. Tiga mode itu memberi corak pemanduan berbeza berdasarkan pilihan pemandu. Dalam mode Sport, IMA menambah kuasa pada kelajuan enjin [rpm] rendah dan menala semula stereng kuasa untuk pemanduan sporty. Untuk pemanduan yang efisyen pula, pemandu boleh memilih mode Econ di mana impak penyaman udara dikurangkan dan pengaktifan sistem melahu [idle stop] lebih awal sebelum kereta dihentikan terutama sekali di dalam kesesakan trafik. Mode Normal pula berada di antara mode Sport dan Econ dan pilihan terbaik untuk pelbagai corak pemanduan. Alat bantuan pemandu seperti Eco Assist dan Eco Scoring pula dibekalkan Honda dalam memberi panduan bagi mencapai pemanduan yang menjimatkan serta sejarah pencapaian ekonomikal pemandu.
Pada bahagian luaran, rekaan berkonsepkan ‘one-motion wedge’ pula menghasilkan badan kereta yang aerodinamik, gayaan sporti dengan bonet rendah dan posisi yang lebar dan agresif. Bagi menghasilkan pengendalian yang mantap, Honda menggunakan casis dan platform yang ringan serta trek lebar, jarak titik roda yang pendek, suspensi berprestasi dan control arms depan yang diperbuat daripada aluminium. Bahagian interiornya pula dilengkapi dengan ciri-ciri canggih dan bergaya seperti meter dengan efek 3D di mana lampu lingkaran meter akan bertukar warna daripada hijau untuk pemanduan yang efisyen kepada biru yang melambangkan pemanduan kurang efisyen. Di dalam mode Sport pula lingkaran meter akan berwarna merah solid.
CR-Z adalah jawapan Honda untuk teknologi masa depan. Ianya adalah simbolik kepada kereta berprestasi tetapi masih lagi memelihara alam sekitar. Dan dengan pengeluar lain yang turut terjebak di dalam perlumbaan kereta mesra alam saya yakin dunia masa depan akan dipenuhi dengan kereta seumpama itu dan belum lagi waktunya untuk kereta terbang. Mengimbas kembali di dalam kelas lukisan berbelas tahun dulu, saya melukis gambar keretapi transit aliran ringan yang bersambung dari satu bangunan ke satu bangunan. Oleh kerana lukisan yang agak ketinggalan zaman ada rakan yang tidak bersetuju kerana katanya negara pada tahun 2020 sudah maju. Berdasarkan realiti sekarang di mana kerajaan sedang sibuk dengan projek mass rapid transit boleh dikatakan imaginasi saya dulu agak ‘kena’ dan bukan masanya lagi untuk kereta terbang!
Foto: Honda USA
-Mak/d Uia-
10 comments
Skip to comment form
Dalam usia yg sedang meningkat naik & bilangan anak2 yg makin bertambah, tentunya kereta sukan seperti CR-Z bukan jadi pilihan aku yg mana MPV diutamakan. Tapi, kalau ada duit lebih, tak mustahil.
Cuma, aku tggu lukisan MakUIA yg LRT dr bangunan ke bangunan jadi kenyataan sebab tu lebih memudahkan nak ke tempat keja..
gua lukis mesin fax..g kje pki mesin fax je sng..jimat kos..hijau..
adik kepada CRX
CRX Dolphin… lama x dengar nama tu….
gua dulu tak pandai melukis…mase dapat task lukis wawasan 2020, gua lukis gambar wiraevo karamjit singh…amik paper berita harian, tekap then lukis…senang keje gua..walapun gua tekap sebijik, tapi dapat C sebab cikgu PS gua cakap gua tak buat ikut tajuk…yang wat kereta terbang ngan bangunan tinggi2 (walaupun buruk) gak dapat A…hehe…
design kereta memang cun,tapi harga mesti mahal punyer..aku harap sangat proton keluarkan kereta hybrid secepat mungkin,memang aku akan beli
dengar kisah kete nih memg sedp…. tp dit x sesen pon … klu brangan nk bwak bleha arr.
bila lagi proton nk mula keluarkan kereta hybrid yang berpatutan tu..tkkan selamanya nk jadi model konsep sahaja….
dulu masa cikgu suh lkis gmbarn wwasan 2020,wa lkis gmbr kreta trbang tp ada rupa mto plak…tp wa dpt a..+ lg 2….ckgu ckp wa mmg ank wwasan 2020…hahahahaha………..
smalam wa mimpi naik kreta ni.tgh syok naik tbe2 je polis kjor sbb wa x pkai seat belt..lain kali wa jnji,wa xkn pkai lg sbb best kne kjar polis…