Balik Raya Punya Cerita 2013

GT

Ini merupakan tahun ketiga gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Tahun pertama, gua menulis dengan sepenuh hati dengan harapan ianya boleh dikongsikan dengan Sekutu semua. Manakala, tahun sudah gua sekadar membuat versi facelift sahaja. Maka, tak tergamak pula gua nak bagi versi facelift sahaja untuk tahun ni, serupa pengeluar kereta , tukar warna cat pun sudah dikira versi facelift. Mana aci kan. Gua tidak boleh jadi serupa itu.  Maka, tahun ini gua tulis baharu. Isinya masih lagi sama, tapi gua persembahkan semula. Kira serupa remaking jugalah.

  1. Perkara asas seperti penyelenggaraan berkala gua kira tak perlu untuk gua ingatkan sangat. Masing-masing dah besar panjang. Cukup masa, pergi bengkel tukar benda-benda asas. 
  2. Jikalau odometer kenderaan lu orang itu dah cecah sampai ke 75,000 ada eloknya gua fikir lu orang pergi tukar timing belt.  Walaupun sesetengah pengeluar memberikan jaminan bahawa tidak perlu ditukar sehingga ke 100,000 km, tetapi dengan corak pemanduan serupa pelumba rali gua fikir elok abaikan sehaja kata-kata tersebut. Melainkan lu orang jenis tak kisah nak menunggu kereta kena towing dinihari akibat timing belt putus tidak mengapalah.
  3. Kondisi tayar harus juga diperiksa keadaan getah & bunganya juga. Bimbang terdapat sebarang rekahan mahupun bunga tayar yang dah tak serupa bunga sangat. Pastikan keadaan angin mencukupi untuk menampung keseluruhan penumpang dan juga beg-beg serta berbotol-botol kerepek yang turut diangkut pulang beraya. Oh ya, tayar simpanan pun kena periksa juga kondisinya. Kalau jadi sesuatu tengah hutan di kawasan Gua Musang, tengok-tengok tayar simpanan pula kempis. Nak menangis tepi jalan pun memang elok sangatlah.
  4. Macam biasa, sebelum memulakan perjalanan, baca apa-apa yang patut minta dipermudahkan perjalanan.
  5. Tali pinggang kaledar itu pakailah sebelum memulakan perjalanan yakni sesudah membaca doa. Tabiat buruk hanya memakai tali pinggang kaledar sewaktu ternampak kelibat En. JPJ & En. Trafik silalah tinggalkan. Ingat, keselamatan itu penting.
  6. Sila pastikan juga terdapat sebotol air mineral bersaiz besar, mana tahu kalau-kalau suhu enjin kereta terasa panas macam nak demam. Kan berguna tu.
  7. Sewaktu membuat isian petrol di kawasan rumah, silalah membuat tambah nilai kad Touch n Go demi memastikan kelancaran sewaktu melepasi Plaza Tol. Tak kacak langsung jenis yang beratur mengambil tiket / kad transit.
  8. Bagi yang memandu pulang ke kampung di kala bulan mengambang pastikan cukup cergas dan tidak mengantuk untuk menempuh perjalanan jarak jauh. Sediakan minuman penambah tenaga ataupun kudapan bagi mengelakkan rasa mengantuk. Tapi kalau dah menguap sampai lima enam kali, eloklah berhenti sebentar di R & R yang disediakan.
  9. Sewaktu berhenti untuk tidur sebentar di R & R, pastikan anda mengunci semua pintu dan bukalah sedikit tingkap demi memastikan ada pengaliran udara yang segar dari luar. Tak sedap juga esok keluar berita ada yang lemas dalam kereta kan.
  10. Silalah hormati hati dan perasaan pengguna lebuhraya yang lain sama. Kalau dah rasa 110 km/j itu dah cukup laju di lorong kanan silalah beri lalun kepada jentera sukan buatan Jepun dan Malaysia seperti Evo X dan juga jelmaan Evo X  untuk memotong. Jangan buat perangai keras hati tidak mahu memberikan laluan hanya kerana kereta standard kilang yang dipandu telah pun menyamai had kelajuan kebangsaan. Tak ada salahnya beralah.
  11. Jika memandu laju di lebuhraya, pastikan kedua belah tangan kemas berada di stereng. Memegang stereng sebelah tangan sambil memandu laju boleh dianggap sebagai aktiviti ekstrem. Dibuatnya tayar depan sebelah pecah, impak yang terjadi memang lu orang tak sanggup nak bayangkan.
  12. Silalah berikan signal dengan sewajarnya untuk memotong / memasuki simpang. Tidaklah pula nanti si pereka kereta berasa kecil hati kerana penat mereka untuk mencipta stick signal tersebut tapi lu orang tidak mahu menggunakannya.
  13. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  14. Ingat lagikah peraturan dalam buku kecil sewaktu nak mengambil ujian JPJ dahulu, ada menyatakan kita hendaklah mengamalkan prinsip “tunda 4 saat” berbanding dengan kenderaan di hadapan. Jadi silalah amalkan. Sempatlah lagi nak mengelak kalau-kalau kenderaan di hadapan membuat perangai nak tekan-tekan brek.
  15. Jika memandu di lebuhraya, tolonglah juga jangan memandu dengan kelajuan basikal hanya kerana nak mengamalkan prinsip biar lambat asalkan selamat. Kalau dah boleh pandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah dengan kelajuan tersebut. Jangan nak mengada-mengada perlahan sangat. Ingat, ini lebuhraya. Pandu perlahan pun sebenarnya boleh jadi punca kemalangan juga.
  16. Dijangkakan lebuhraya juga bakal bergerak tak berapa nak laju akibat daripada pertambahan jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda. Jadi, silalah bersabar. Jangan buat perangai iblis dengan memotong barisan di laluan kecemasan. Geng penunggang motosikal yang guna laluan kecemasan itu jangan buat-buat tak perasan pula. Hormati hak pengguna yang lain.
  17. Bila berhadapan dengan kesesakan di lebuhraya, mulalah nak mengemaskini status FB masing-masing. Eloklah begitu, berkongsi maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Tapi jangan sampai ralit sehingga menyebabkan kereta di hadapan dah jauh bergerak hingga menyebabkan kenderaan di belakang mula sakit hati. Itu hanya akan melambatkan perjalanan.
  18. Jika bertembung dengan kenderangan yang mengalami kemalangan / kerosakan , gua mohon sangat-sangat agar di doakan sahaja yang baik-baik buat mereka. Panjatkan doa agar kesulitan yang mereka alami dipermudahkan urusannya.
  19. Sewaktu menghampiri plaza tol, silalah sediakan tiket transit dan wang pertukaran seawal mungkin. Jangan buat perangai dah sampai depan kakak plaza tol baru terhegeh-hegeh nak cari itu ini.
  20. Jika menggunakan laluan persekutuan ataupun laluan lama, silalah pandu dengan penuh hemah dan tatasusila. Ada masa boleh potong, potonglah. Jikalau tidak, duduk sahaja di belakang lori tanah dengan penuh rasa sabar.
  21. Sewaktu selamat sampai di kampung halaman tercinta lagi dirindui, janganlah lupa untuk panjatkan rasa syukur. Ingat, apa pun pandu cermat jiwa selamat. Biar cepat asalkan selamat.

p/s: Kalau nak tolong kongsi dengan orang lain pun silakan. Dapat juga gua tambah pahala.

-min-

Silakan kongsi:

3 comments

    • Alteja on 31/07/2013 at 12:03 PM
    • Reply

    Ahad ni aku gerak balik Kelantan (hometown wife aku).
    Satu je harapan aku… jem dia tak gila
    Aku penah dok dlm jem balik Kelantan 16 jam

    Nak naik flight, buat masa ni kena pikir 2 benda:-
    1) Anak 4, termasuk dgn wife kalo naik flight jenuh gak nak korek RM especially kalo tak dpt tambang murah.
    2) Kenderan utk jenjalan masa raya. Kalaupun dpt tiket flight murah, kenderaan plak takde. Sedara mara sana ada keta, tapi, mereka yg nak guna. Kalo nak sewa, memang sebulan sblm raya kena tempah…

    Kesimpulannya…. balik je lah dgn keta sendiri… Terpaksala banyak bersabar…

    Anyway, selamat beribadat & beraya….

  1. Alteja
    Selamat memandu pulang ke kampung halaman brader. Pastikan Iman cukup kuat untuk pulang ke kampung halaman.

  2. selamat hari raya idulfitri maaf zahir & batin…

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.