Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasminya melancarkan Volkswagen Jetta ke pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam tiga varian, Jetta baharu berharga RM108,990* untuk Trendline, RM117,990* untuk Comfortline; dan RM128,990* bagi Highline.
Sejak pengenalannya di Malaysia pada tahun 2011, Jetta telah menjadi salah satu model paling popular Volkswagen. Selain berada dalam ranking sedan bersaiz sederhana terbaik yang boleh didapati di pasaran tempatan, ia juga merupakan kereta yang paling berkuasa dalam kelasnya.
“Jetta baharu yang dipasang tempatan ini menawarkan pemanduan mengujakan, menggabungkan aspek sporty dengan prestasi dan keselamatan – tanpa berkompromi dengan tahap penggunaan bahan api yang efisien. Dengan pilihan beberapa varian, Jetta mampu memenuhi keperluan dan bajet pelanggan kami yang berbeza,” kata Pengarah Urusan VPCM, Alin Tapalaga.
Jetta baharu merupakan model Volkswagen pertama yang dilancarkan oleh VPCM sejak syarikat itu memulakan operasi secara rasmi pada September.
“VPCM akan terus menawarkan rakyat Malaysia dengan pelbagai pilihan model Volkswagen pada masa depan. Seperti Jetta baharu, ia akan ditawarkan dengan harga yang sangat kompetitif. Malah, menambah baik aspek pengalaman pemilikan pelanggan Volkswagen secara keseluruhan kekal menjadi fokus kami. Kami sudah memulakan langkah-langkah penambahbaikan dengan memperkenalkan jaminan pengilang selama lima tahun yang berkuat-kuasa pada 1 September lalu,” tambah Alin.
Jetta baharu dan mana-mana kereta Volkswagen yang dibeli selepas 1 September akan menikmati jaminan pengilang selama lima tahun, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama.
Empat warna ditawarkan – putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black).
Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.
Klik untuk perincian VW Jetta Facelift
Enjin dan Prestasi
Jetta baharu menggabungkan enjin turbo tunggal 1.4L TSI generasi baru dengan kotak gear direct shift (DSG) tujuh kelajuan yang mampu menjana kuasa mengagumkan 150PS dan tork 250Nm di antara putaran enjin 1,500 hingga 3,500rpm – sekali gus menjadikannya kenderaan paling berkuasa dalam segmennya.
Menjadi satu-satunya kereta dalam segmennya yang mempunyai kotak gear 7 kelajuan, Jetta baharu berupaya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 8.6 saat. Di sebalik prestasinya yang sporty, Jetta menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 5.0l/100 km dan menjadikannya peneraju dari segi penjimatan.
Pengiktirafan EEV
Jetta baharu sudah mendapat pengiktirafan EEV (Kenderaan Cekap Tenaga), terima kasih kepada ciri-ciri seperti fungsi start/stop, sistem brek janaan semula dan fungsi luncuran. Hasilnya, penjimatan bahan api dapat ditingkatkan dan kos penyelenggaraan Jetta baharu juga lebih rendah.
Fungsi Start/Stop akan mematikan enjin apabila kereta berhenti sepenuhnya dan dihidupkan semula apabila ia mula bergerak. Manakala sistem brek janaan semula berfungsi mengitar semula tenaga dengan menyimpan dan menggunakannya ketika hendak memecut. Fungsi luncuran pula membolehkan pemandu bergerak dalam jarak lebih jauh apabila pemandu tidak menekan pedal minyak.
Ciri-ciri Keselamatan
Keselamatan merupakan aspek penting pada semua kenderaan Volkswagen. Jadi, Jetta baharu dilengkapi sistem brek multi-pelanggaran, pengelap brek cakera, 6 beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS) dan Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS) serta Hill-hold Control.
Bukan itu sahaja, Jetta yang dipasang tempatan juga hadir dengan perehat kepala tempat duduk hadapan yang telah dipertingkat aspek keselamatannya, sistem penggera anti-kecurian bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak.
Dalaman
Masuk ke ruang kabin Jetta, terdapat pelbagai nilai estetik dan ciri penuh fungsi seperti kemasukan tanpa kunci KESSY, butang penghidup enjin, stereng multi-fungsi yang dibalut kulit serta paddle shifter untuk memudahkan urusan menukar haluan kenderaan.
Ciri-ciri lain termasuklah cermin pandang belakang auto-malap, kawalan jelajah, tingkap kuasa automatik dan kompartmen hadapan yang sejuk.
Untuk memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang, Jetta hadir dengan tempat duduk dibalut upholsteri kulit ‘Vienna’, perehat tangan yang boleh dilaras ketinggiannya, corong pendingin hawa belakang, tempat duduk pemandu ekektrik 12 cara dan sistem pendingin hawa automatik “dual-Climatronic”.
Luaran
Jetta baharu menyerlahkan DNA reka bentuk Volkswagen yang menampilkan garis-garis elegan. Tahap aerodinamik lebih baik, bersama gril dan bampar hadapan, serta lampu bampar belakang baharu.
Ciri-ciri baru termasuklah rim aloi “Queensland” bersaiz 17 inci, gril krom, lampu kabus hadapan dan belakang LED. Lampu utama Bi-Xenon hadir dengan lampu nyalaan siang LED serta ciri pengaktifan automatik bersama fungsi ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’ secara manual. Manakala cermin luar didatangkan dengan lampu untuk membantu pemandu di kawasan yang gelap. Penambahan lain termasuklah sistem pembersihan lampu utama untuk memberi kemudahan dan menambah baik kualiti pandangan pemandu.
Ciri-ciri hiburan yang telah dipertingkatkan
Unit utama RCD330G menawarkan pelbagai opsyen ketersambungan menerusi satu paparan sentuh yang kapasitif. Selain pemain CD tunggal (sesuai untuk WMA/MP3), USB dan antara muka iPod, sokongan AUX-IN, slot kad SD serta ketersambungan Bluetooth untuk peranti mudah alih dan penstriman audio.
Fungsi MirrorLink Volkswagen pada Jetta baharu nyata memudahkan operasi telefon pintar, menjadikannya lebih mudah digunakan dan bebas tangan buat pemandu.