Berapakah nilai bekalan 17 juta liter minyak pelincir enjin? Jawapannya ialah RM355 Juta.
Itulah nilai kontrak yang dimeterai oleh dua syarikat tempatan iaitu Perodua dan Petronas.
Perodua Sales Sdn Bhd dan Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) baru-baru ini memeterai perjanjian pembekalan sebanyak 17 juta liter minyak pelincir enjin yang merupakan peningkatan 21% berbanding kontrak sebelum ini untuk tempoh 5 tahun. Perodua dan Petronas telah bekerjasama sejak 2003 di mana ianya merupakan refleksi kepada pembekalan dan produk berkualiti dari Petronas.
Pembaharuan kontrak ini turut mempunyai nilai baharu di mana minyak yang dibekalkan mempunyai gred yang lebih tinggi melepasi piawaian API SM dan khusus untuk pelanggan Perodua yang memilih bengkel luar atau membuat penyelenggaraan sendiri.
Minyak pelincir baharu itu menawarkan perlindungan penuh untuk enjin di mana ianya lebih tahan oksida, lebih perlindungan pada sisa karbon, tahan lama serta lebih bagus sepanjang tempoh penggunaan minyak pelincir. Ciri-ciri tersebut memenuhi keperluan enjin Perodua.
Teknologi yang digunakan juga membolehkan jarak penggantian minyak pelincir dianjak lebih lama dan pada masa yang sama lebih cekap bahan api memandangkan pelincir tersebut memberi perlindungan penuh semasa pemanduan.
Produk baharu ini bakal ditawarkan bermula September 2016 serentak dengan pemberitahuan harga.
Perodua mensasarkan sebanyak 2 juta kenderaan menggunakan khidmat mereka pada tahun ini melalui 189 pusat servis di seluruh negara. Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 40,000 kenderaan pada tahun 2015.
Perodua turut berterima kasih kepada Petronas secara am terutama sekali PLMM di atas sokongan mereka dan mengharapkan kerjasama yang terus positif pada tahun mendatang.