Kerajaan Hapus Subsidi Petrol RON95 dan Diesel Bermula 1 Disember 2014

1486093_719567894817016_6815900996243078340_o

Setelah pergerakan harga petrol pasaran dunia semakin menurun, kerajaan memutuskan untuk menghapuskan subsidi petrol RON95 dan diesel bermula 1 Disember depan dan menggantikannya dengan kaedah pengapungan terkawal (PT). Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata langkah itu akan dilaksanakan sama dengan kaedah harga RON97 yang diamalkan sejak 2010.

Ini bermakna, harga petrol RON95 dan diesel terdedah kepada pergerakan harga pasaran semasa yang sensitif untuk sesuatu tempoh masa. Berbeza dengan kaedah mekanisma harga automatik (APM) yang terpakai sejak tahun 1983, kerajaan akan menampung segala kenaikan atau di dalam bahasa mudah, sebarang kenaikan harga pasaran dunia akan diberi subsidi membolehkan rakyat menikmati harga yang stabil untuk suatu tempoh panjang. Walau bagaimanapun melalui kaedah PT ini sebarang kenaikan dan penurunan harga pasaran dunia tidak akan memberi kesan secara serta merta kerana kerajaan akan membuat kiraan purata dan kadar pertukaran matawang sebelum harga baharu diperkenalkan. Cuma berbanding kaedah APM, sebarang perubahan harga sama ada naik atau turun akan lebih kerap kedengaran berdasarkan trend pengumuman harga petrol RON97.

Diharapkan agar segala hasil pendapatan dari cukai kenderaan dan penghapusan subsidi akan ditebus kembali melalui program kesejahteraan rakyat.

Berikut ialah kenyataan rasmi Datuk Seri Hasan Malek

KENYATAAN AKHBAR
PELAKSANAAN PENGAPUNGAN TERKAWAL (MANAGE FLOAT)
BAGI PETROL RON95 DAN DIESEL

 

Dimaklumkan bahawa Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bermula dari 1 Disember 2014, penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float). Kaedah ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sedia ada sejak Julai 2010.

 

Harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Automatic Price Mechanism (APM) sejak tahun 1983. Melalui APM, Kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu dimana perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit. Walau bagaimanapun, melalui pengapungan terkawal (managed float) ini, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. Ini bermakna jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya.

 

Sebagai contoh daripada 1 hingga 19 November 2014, purata harga RON95 di bawah APM menurun kepada RM2.27 seliter yang mana lebih rendah daripada harga runcit RM2.30 seliter. Dalam hal ini, Kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November 2014 dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember. Jika trend ini berlarutan, adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM.

 

Pada masa ini harga runcit RON95 di stesen minyak adalah pada harga RM2.30 seliter dan diesel pada harga RM2.20 seliter. Mulai pada 1 Disember 2014, penetapan harga di stesen minyak akan bergantung kepada kaedah yang disebut di atas. Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk kos setiap masa dan kadar pertukaran matawang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

 

Keputusan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel dibuat berikutan kejayaan pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON97. Langkah ini membuktikan hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.
Kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaan kaedah ini.

 

YB DATO’ SRI HASAN BIN MALEK
21 NOVEMBER 2014

Sumber: Facebook KPDNKK (21/11/14)

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.