Pandu Uji Proton Iriz 1.3 Manual dan Proton Iriz 1.6 CVT

SONY DSC

Baru-baru ini saya dan sekumpulan ahli media diberi peluang untuk memandu uji Proton Iriz ke Pulau Mutiara. Pemanduan selama dua hari satu malam turut disertai oleh pengurusan kanan dan teknikal Proton yang bertujuan untuk mendengar maklum balas pihak media. Iya, Proton kini lebih banyak mendengar dari banyak pihak melalui pelbagai medium. Saranan, ulasan dan aduan sama ada dari pihak berkepentingan atau orang awam diambil kira di dalam proses penambahbaikan mutu kerja dan produk. Proton Iriz ini sendiri adalah hasil dari input ramai, mengambil kira apa yang pasaran mahu (juga tidak mahu) dan seperti model-model sebelum ini, rencana kebolehpasaran peringkat global turut diberi perhatian secara serius.

Menghasilkan kereta bukanlah perkara yang mudah namun tidak mustahil kerana negara kita telah berjaya melakukannya sejak 30 tahun lalu. Menghasilkan kereta yang sempurna pula merupakan perkara yang sukar kerana banyak pertimbangan, pengalaman positif dan negatif harus dilalui terlebih dahulu. Berdasarkan pengalaman peribadi, tiada lagi kereta yang benar-benar sempurna walaupun harganya ratusan ribu ringgit kerana kehendak dan keperluan pelanggan itu pelbagai. Jenama kereta yang kedengaran dan nampak hebat pula tidak semestinya sifar masalah, selesa dan sedap dipandu di mana di situlah wujudnya ruang untuk mencapai kesempurnaan dan juga aspek yang sama mustahak iaitu konsistensi. Istilah yang galak disebut di dalam dunia perniagaan sekarang ini ialah organisasi yang belajar (learning organisation). Di dalam proses tersebut selari dengan konsep tiada perkara yang sempurna, organisasi sentiasa belajar untuk tidak mengulangi kesilapan dan menambah baik proses dan produk. Walau bagaimanapun, di dalam proses pembelajaran itu ada yang terpaksa menerima akibatnya dan paling menyakitkan apabila pelanggan yang terkesan dan begitulah lazimnya.

Proton Iriz Penang 2014.11

Di dalam bidang khidmat lepas jualan kenderaan, aduan dan rungutan adalah perkara biasa namun yang membezakan satu organisasi di antara satu yang lain ialah bagaimana perkara itu diuruskan oleh pihak bertanggung jawab. Ada yang lepas tangan, ada pula yang mengambil berat dan di dalam dunia langit terbuka sekarang ini syarikat yang bersikap sambil lewa ibarat mencari nahas. Perkara yang sensasi dan mewakili suara umum senang untuk dihebahkan (viral). Jika tidak dihebahkan pun sukar untuk pelanggan tersebut kembali mempercayai syarikat yang mengkhianatinya.

Di sinilah terletak tugas dan fungsi Proton Iriz. Kereta bandar ini dilahirkan dan dibangunkan untuk terus menambat hati pelanggan tempatan dan antarabangsa. Iriz adalah simbol apa yang pasaran mahukan dan ada kalanya melebihi jangkaan umum. Reka bentuk dalaman dan luaran yang menarik, ruang, saiz, keselamatan dan keselesaan dan faktor penting dan sensitif mestilah ekonomikal sama ada dari segi pemilikan dan penyelenggaraan. Ulasan dan aduan mengenai kereta Proton sebelum ini ialah tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi berbanding pesaing lain. Walaupun isu tersebut boleh dihujahkan dari pelbagai sudut seperti berat kereta, karakter enjin dan sebagainya namun apa yang pelanggan sentiasa tanyakan ialah berapakah kadar penggunaan minyaknya. Senario ini sudah biasa kedengaran hinggakan pengeluar kereta mewah turut mengikut arus dengan mengeluarkan enjin yang ekonomikal tetapi masih berkuasa kerana ada reputasi dan warisan yang harus dijaga dan dipelihara. Bagaimana mereka melakukannya ialah dengan mengeksploitasi teknologi dan Proton juga melalui jalan dan kaedah yang sama. Enjin CamPro dirombak semula dan diberi inovasi baharu seperti injap dan sesondol VVT, maniverter dan pelbagai peralatan lagi supaya penggunaan minyak lebih rendah berbanding mana-mana enjin CamPro sebelum ini.

SONY DSC

Tetapi apalah maknanya semua itu jika perubahan yang dilakukan tidak dirasai di dalam dunia pemanduan sebenar. Kami bertolak ke Pulau Pinang dari Ibu Pejabat Proton Holdings di Shah Alam pada waktu pagi. Saya dan seorang lagi rakan media memilih Proton Iriz 1.6 VVT CVT di dalam format pemanduan ekonomikal hingga ke Gopeng dengan had masa selama dua jam. Penyaman udara dibalut kemas supaya kami tidak mengusik tetapan untuk mengelat dalam memenangi cabaran tersebut. Tiba ke destinasi yang ditetapkan segala bacaan dari semua Iriz yang dipandu uji dicatatkan dan berdasarkan keputusan yang diumumkan kemudian di dalam majlis berasingan Proton Iriz 1.3 Manual mencatat 15.4km/l manakala Proton Iriz 1.6 CVT mencatat 15.6km/l. Selesai makan tengah hari, kami menyambung perjalanan dan kini lebih bebas untuk meneroka dan menilai kebolehan bayi baharu Proton ini.

Memandu Proton Iriz 1.6 CVT memberi reaksi yang bercampur, tetapi sebelum itu kerusi pemandu dan penumpang sebelah terasa selesa. Konturnya menyokong kemas bahagian atas badan dan peha dengan larasan yang agak menaik. Kedudukan stereng pula walaupun boleh dilaras terasa sedikit menegak, condong dari atas ke bawah. Secara peribadi saya tidak berasa selesa dengan pembujuran permukaan stereng yang menjadikan genggaman telapak tangan terasa membuka ke luar berbanding tertutup ke dalam manakala reka bentuk suis audio pada stereng pula cembung dan bukan melekuk ke dalam. Dengan peha yang sedikit terangkat, stereng yang agak menegak menjadikan siku terasa tergantung tanpa perehat lengan tambah pula di dalam pemanduan jarak jauh. Meletakkan kedua-dua telapak tangan pada stereng pula tidak sekemas pemanduan dan pengendalian (R&H) yang ditawarkan kereta ini dek kerana lenggokan stereng tadi. Pemandu memerlukan masa untuk membiasakan dengan struktur atau genggaman stereng. Namun suatu yang harus dipuji ialah visual pemandu yang jelas dan tidak terhalang oleh tiang A sewaktu membelok (atau mencari poin apex) dan sangat penting di dalam mengenalpasti kenderaan yang mendatang semasa selekoh.

SONY DSC

Terlanjur menyentuh mengenai r&h kereta, saya rasa seperti hendak menulis mengenai kualiti ini sahaja dan kemudian sudahkan artikel kerana aspek itu yang paling saya cenderungi. Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakan di dalam bentuk tulisan kerana karakter r&h begitu bagus sekali dan juruteranya berjaya menyihir pakej yang diberikan standard untuk kereta di dalam segmen ini. Menala Stereng Berkuasa Elektronik (EPS) adalah sesuatu yang sukar bagi mendapatkan rasa yang sebati dengan setiap input tangan dan gerakan badan kereta. Walaupun dengan sistem bantuan elektronik seperti sistem kawalan cengkaman (TCS) dan kawalan kestabilan elektronik (ESC), kereta terasa semula jadi dan tidak palsu (artificial), stereng dengan input kuasa elektronik yang memberat sekadarnya bertindak ke mana sahaja tangan memusing dan badan kereta pula berada di dalam kedudukan yang tegap dan berdisiplin (composure) mengikut garisan (line) yang dilalui dan dipilih. Di mana olengan Proton Savvy sedikit besar, Iriz pula berjaya mengawalnya supaya lebih bersahaja serta seimbang dan selain daripada itu kereta ini mempunyai mendapan dan lambungan (damping dan bounce) yang bagus sekali. Jika anda perhatikan bagaimana kereta rali mendarat dan menyerap selepas loncatan begitulah juga set suspensi Iriz berfungsi. Pada kelajuan tinggi iaitu sekitar 140km/j, Iriz masih tegap dan stabil membelah jalan dan tidak pula terasa terapung-apung di mana pemandu terpaksa memaut kemas stereng. Saiz badan Iriz yang tinggi dan tayar kegunaan harian tidak menjadi penghalang kepada kejuruteraan dan talaan kereta yang seolah-olah lebih mahal daripada harga kereta ini sendiri. Cuma sedikit kekasaran (harshness) dan bunyi bising masuk ke ruang penumpang belakang namun bukanlah faktor utama untuk kereta pada harga segmen bandar ini.

Proton Iriz 1280 Penang 2014.04

Karakter enjin CamPro 1.6 VVT pula tidak mempunyai masalah tetapi talaan dan transmisi CVT (buatan vendor luar) tidak menyerlahkan apa yang didefinisikan sebagai hubungan yang harmoni di antara enjin dan transmisi. Apabila ditekan keras, bunyi kerahan kuasa masuk kuat ke dalam kabin manakala transmisi pula mencari-cari kedudukan mana yang hendak disinggahi. Tidak hairanlah jika perkara itu diajukan secara serius oleh pihak media semasa sesi maklum balas dan menariknya pengurusan kanan dan teknikal Proton mengambil maklum aduan tersebut dan akan cuba memperbaikinya untuk jangka masa terdekat dan panjang. Mungkin di antara cara untuk mengatasinya ialah dengan memasang indikator ekonomi pada meter kelajuan yang dapat membantu pemandu supaya menekan pedal minyak dengan lebih sopan dan menghindarkan bunyi dan kerahan tenaga mengejut tersebut. Iya, bunyi yang kuat itu sebenarnya begitu ketara apabila pedal diterjah kuat untuk memotong dan meningkatkan kelajuan. Jadi anda perlu mengubah corak pemanduan di samping dapat menjimatkan penggunaan bahan api. Namun pengalaman transmisi CVT itu tidak pula dirasai semasa memandu Iriz 1.3 dan 1.6 manual, bunyi enjin terasa sopan sekali, masukan gear terasa kemas, klac berfungsi dengan cekap dan terasa seolah-olah Proton Iriz ini sebenarnya dilahirkan untuk transmisi manual. Saya sudah dapat bayangkan bagaimana karakter Iriz manual jika dipadankan dengan spring dan peredam bunyi R3, pasti asyik dan mengujakan sekali.

Berada di tempat duduk belakang, kerusinya menjalankan fungsi yang betul sebagai kerusi dan bukan setakat alas dan pelapik duduk sahaja. Perjalanan yang jauh tidaklah terasa penat sangat dan berpadanan dengan fungsi kereta bandar namun keluasan ruang kaki belakang boleh dioptimumkan lagi. Walaupun terasa labuh ke dalam namun kaki tidak terasa bebas untuk bergerak ke depan yang terhalang dek kerana rekaan struktur dan kerusi pemandu dan penumpang sebelah. Tambahan pula orang kita memang gemar meletakkan barang-barang seperti beg plastik air mineral dan snek sewaktu berjalan jauh dan anak-anak pula akan meletakkan beg sewaktu pulang dari sekolah. Bukaan tingkap pula seimbang, tidak terasa kelam dan lemas walaupun interior Iriz serba hitam kecuali lelangit bumbung. Kualiti plastik dalaman boleh diterima di mana riasan dalaman versi Premium paling bagus, zaman material lembut seperti Proton Wira sudah berlalu dan plastik keras adalah amalan industri sekarang ini. Proton memperbaikinya melalui material, tekstur dan reka susun perkakasan. Cuma grafik meter mungkin agak kurang menarik untuk pelanggan remaja yang rata-ratanya tergolong di dalam kategori visual dan susunan angka kelajuan pula rapat-rapat dan sukar untuk mengesan had laju 110 km/j.  Ruang bonet pula walaupun nampak kecil dari luar tetapi berpadanan untuk mengisi keperluan pasangan muda pulang ke kampung atau bercuti ke pusat peranginan.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, ahli media diberi peluang untuk menguji sistem cengkaman dan elektronik di litar buatan di Stadium Batu Kawan. Jika diikutkan, Iriz tidak memerlukan ujian ini pun untuk menunjukkan keupayaannya kerana kereta ini sememangnya boleh lulus dengan cemerlang. Rasionalnya jelas apabila Proton menyediakan pesaing terdekat di dalam segmennya dan sebuah lagi kereta di luar segmen yang baharu sahaja dilancarkan. Perbandingan yang dilakukan menunjukkan sememangnya Iriz lebih tegap dan stabil dari dua kereta sama jenama itu.

SONY DSC

Proton Iriz dilahirkan dan dibangunkan untuk menjadi pemenang keseluruhan. Lihat sahaja spesifikasi dan harga yang ditawarkan. Pada harga yang sangat kompetitif berbanding pesaing di dalam segmen dan segala ciri-ciri standard yang tersedia seperti beg udara, sistem hiburan, skor lima bintang ASEAN NCAP dan sebagainya sudah memadai untuk menjadikan Iriz sebagai tawaran terbaik dan mengaburi kelemahan yang ada itu pun jika anda seorang yang benar-benar cerewet. Apa yang menarik tentang Iriz secara peribadi ialah semestinya karakter pemanduan dan pengendalian, pakej keselamatan terutama sekali varian Premium dan reka bentuknya yang segar dan progresif. Jika saya berada di dalam kelompok sasaran segmen ini, kemungkinan besar saya akan menjadi pemilik Iriz dan telah saya buktikan pada tahun 2006 dahulu dengan memiliki Proton Savvy varian R3. Jika anda berada di dalam segmen ini, Proton Iriz wajar diberi pertimbangan serius.

Dengan Iriz, satu-satunya syarikat pengeluar kereta nasional ini telah sekali lagi berjaya membuktikan rakyat Malaysia mampu untuk menghasilkan kereta dan menuju ke arah kesempurnaan. Cuma kali ini, Proton perlu membuktikan khidmat lepas jualan dan tindakan proaktif dan reaktifnya setanding dan melebihi standard syarikat global lain. Tiga puluh tahun lalu kita sudah pun berjaya mengeluarkan kereta jenama sendiri dan sekarang ini adalah masa untuk kita mengurus kejayaan dan meneruskan kecemerlangan.

Syabas kepada kesemua individu yang terlibat di dalam projek Iriz ini dan secara peribadi saya tidak sabar untuk menunggu produk Proton seterusnya. Paling dinanti ialah Proton Saga, kereta rakyat dan model paling laris negara yang berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa dan diharapkan dapat meletakkan semula Proton sebagai Abang Besar dan pengeluar nombor 1 di Malaysia.

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

    • baha on 09/11/2014 at 12:08 PM
    • Reply

    Bagus. Baru tadi test drive, saleperson datang pejabat. Bawak seperti exora, stabil dan brake cukup efisien. Test 1.6 cvt. Tu je yang dia bawak… Fc no komen, NVH bagus dan dah tersedia GPS serta rvs kamera. Spec yang bagus untuk harga kereta begini.

    • Anwar Ibrahim on 25/11/2014 at 3:43 PM
    • Reply

    Yang tak puas hati bila 1.6 Premium takdak Fog Lamp!

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.