Honda Jazz 2014 – Kereta yang menjadi idaman ramai dek kerana rekabentuknya yang comel dan ciri-ciri yang praktikal kini dibuka untuk tempahan. Menariknya model itu bakal dilancarkan secara rasmi pada bulan ini. Honda Jazz Generasi Ketiga masih mengekalkan rekabentuk asal yang menarik serta ciri-cirinya yang praktikal, bergaya dan kompak dan kini di dalam rekaan serba baharu. Aspek lain seperti keselesaan dalaman, penjimatan minyak, rekabentuk dan prestasi pemanduan ditingkatkan kepada aras baharu.
Honda Jazz berjaya menarik banyak perhatian di seluruh dunia dan sejak pertama kali dilancarkan pada tahun 2001, model ini telah terjual melebihi 4.87 juta unit sehingga kini. Kedua-dua generasi juga telah banyak memenangi anugerah di serata dunia dan menjadi bukti kejayaan falsafah pembangunannya.
Sejak penjualan Honda Jazz CKD Petrol pada Julai tahun lepas, Honda Malaysia telah mencatat jualan melebihi 6770 unit dalam masa tidak kurang dari setahun. Ianya angka yang menakjubkan jika diambil kira jualan Jazz CBU Petrol di dalam tempoh 5 tahun sebelum itu hanyalah pada purata 650 unit setahun. Lonjakan jualan itu adalah bukti strategi pemasangan tempatan berjaya di dalam mengikut sentimen pasaran semasa.
Honda Jazz 2014 bakal ditawarkan di dalam tiga varian iaitu Jazz S, Jazz E dan Jazz V. Kesemua tiga varian itu dikuasakan oleh enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang dikemaskini dan dipadankan dengan transmisi CVT dari famili Earth Dreams Technology yang menggabungkan prestasi pemanduan dan penjimatan minyak.
Dari segi luaran, Jazz baharu menampilkan identiti rekaan baharu Honda yang dikenali sebagai Solid Wing Face yang dibangunkan berdasarkan konsep Exciting H Design. Pada bahagian interior pula, tema futuristik yang sofistikated dijelmakan dalam rekaan yang praktikal dan pintar. Pertama kali ditawarkan di dalam kelasnya ialah paparan audio 7 inci, panel penyaman udara sesentuh dan 9 pemegang bekas air. Ciri keselamatan pula tidak kurang canggih dan lengkap dengan 6 beg udara, VSA, Emergency Start Stop Signal, dan Hill Stop Assist (HSA).
Dengar kata Honda Malaysia bakal menawarkan Jazz 2014 ini dengan harga yang sangat menarik iaitu di bawah atau sekitar RM70 ribu selari dengan strategi jualannya yang mahu mendominasi carta jualan kereta bukan nasional. Di negara jiran, Honda Jazz versi manual boleh didapati pada harga serendah RM55 ribu sahaja.