Proton Lancar Suprima S Di Tiga Pasaran Antarabangsa Pada Bulan November!

Proton Suprima S 2013.04

Sepanjang bulan November lepas, Proton Holdings Berhad sibuk melancarkan model baharu Proton di tiga buah negara iaitu Australia, Brunei dan Thailand. Proton Suprima S kini sudah memasuki empat pasaran antarabangsa termasuk pelancaran pada penghujung Oktober di Indonesia.

Sydney, Australia.

Pelancaran di Australia dibuat di Sydney pada 14 November, kira-kira dua minggu selepas pelancaran di Jakarta, Indonesia. Suprima S ditawarkan di dalam dua varian iaitu GX dan GXR dengan menggunakan enjin 1.6 liter DOHC, 16 injap, Campro, Charged Fuel Efficiency (CFE). Menariknya, Proton mengumumkan Suprima S di Australia bakal dibekalkan dengan transmisi enam kelajuan manual bermula tahun depan.

Model dengan rating 5 bintang ANCAP itu akan mula dijual bermula 1 Disember 2013 dengan harga AUD21,790 – Drive Away (GX CVT) dan AUD26,590 – Drive Away (GXR CVT).

Kedua-dua varian Suprima S GX dan GXR didatangkan dengan:

  • 5 tahun atau 75,000km Servis Berjadual Percuma
  • 5 tahun atau 150,000km Waranti
  • 5 tahun 150,000km Bantuan Kerosakan Jalanan 24 Jam
  • 7 tahun waranti anti karat

Proton Suprima S 2013.02

Bandar Seri Begawan, Brunei.

Pada 19 November iaitu lima hari selepas pelancaran di Australia, Proton melancarkan pula Suprima S di Bandar Seri Begawan, Brunei. Pelancaran itu dilakukan oleh En. Hisham Othman, Ketua Pegawai Operasi (Komersil) Proton dan Mr. Simon Gelan, Pengarah Urusan United Motors Sdn Bhd yang merupakan pengedar tunggal Proton di Brunei.

Berbeza dengan pasaran Australia dan Malaysia, Suprima S hanya ditawarkan di dalam versi Premium dengan enjin 1.6 CFE dan transmisi 7 kelajuan ProTronic CVT.

“Dengan spesifikasi serba lengkap, kami yakin Suprima S bakal diterima dengan baik di Brunei, seperti juga dengan model-model akan datang Proton yang kami rancang untuk melancarkan di Malaysia dan pasaran eksport kami. Proton telah berada di Brunei selama 26 tahun dan kami akan berusaha untuk mengukuhkan lagi jenama. Berbekalkan sokongan dari United Motors, Proton akan terus membangunkan jenama supaya dikenali sebagai pengeluar yang menghasilkan kereta yang selamat dan berkualiti pada harga yang bernilai untuk wang.” kata En. Hisham.

Proton Suprima S 2013.03

Bangkok, Thailand.

Menutup tirai pada 28 November, Proton melancarkan Suprima S di kota Bangkok, Thailand. Sama seperti pasaran Brunei, hanya varian Premium ditawarkan untuk pembeli.

Suprima S merupakan model pertama Proton yang menawarkan pakej lengkap seperti prestasi, gayaan, keselamatan, pemanduan dinamik dan kecanggihan ke dalam pasaran Thailand. Model-model Proton yang ditawarkan di negara itu juga komprehensif yang terdiri daripada Prevé, Saga FLX, Gen.2 dan Exora Bold.

“Landskap pasaran automotif global sekarang ini semakin kompetitif, namun walaupun dengan saingan daripada pesaing kami tetap yakin jenama Proton akan terus berkembang dan produk kami akan terus diterima dengan baik memandangkan Suprima S kini menyertai barisan kukuh model-model Proton di Thailand.”

“Seiring dengan perkembangan kami di Thailand, kami positif untuk menawarkan kepada pelanggan Thai pelbagai produk dengan sistem keselamatan tinggi, keseronokan dan kepuasan pemanduan dan paling penting ialah kereta yang selamat, berkualiti tinggi dan bernilai untuk wang,” kata En Hisham.

Suprima S ditawarkan di dalam lima warna iaitu Atlantic Blue, Fire Red, Genetic Silver, Solid White, Tranquility Black. Harga jualan di atas jalan Suprima S di Thailand ialah BHT805,000.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.