Jenama Subaru di dalam pasaran tempatan sebelum ini tenggelam timbul, hanya aktif apabila ada model baharu dan kemudian senyap kembali. Subaru adalah nama besar di dalam dunia rali, cuba sebut jenama itu di depan peminat rali, pasti ada yang diam sekejap dan cuba mengimbas kehebatannya. Walaupun begitu, kekuatan jenama di dalam sukan rali tidak berjaya mempengaruhi pelanggan tempatan untuk melabur wang mereka bagi membeli produk Subaru. Motor Image selaku pengedar tempatan telah cuba pelbagai cara namun masih gagal untuk mendapat kepercayaan pasaran. Rakyat Malaysia sebenarnya lebih gemarkan Mitsubishi iaitu seteru utama Subaru di dalam sukan rali. Motor Image selaku pengedar rasmi lebih berjaya menjual Subaru di negara jiran iaitu Singapura. Jika ada jolokan yang boleh diberi, Malaysia layak digelar Mitsubishi land manakala Singapura pula sebagai Subaru land.
Namun segala-galanya berubah apabila Toyota membeli saham di dalam Fuji Heavy Industries (FHI) yang merupakan pemilik Subaru. Produk usaha sama pertama di antara kedua syarikat tersebut ialah pembangunan dan pengeluaran model legenda moden iaitu Toyota GT86 dan di sebelah pihak Subaru pula dikenali sebagai BRZ. Penjualan model itu seolah-olah membuka kembali mata ramai tentang Subaru dan merupakan peristiwa yang penting di dalam sejarahnya. Para peminat kereta kembali kagum dan dengan meledaknya kembali jenama Subaru, syarikat itu mensusuli pula dengan produk global baharu iaitu Subaru XV. Suatu yang bijak dan menarik ialah apabila Subaru tidak memperkenalkan kereta sedan yang sudah terlalu banyak penawarannya tetapi melancarkan sebuah crossover. Tan Chong International Limited (TCIL) yang merupakan pemilik Motor Image pula tidak menunggu lama dan mengambil kesempatan itu untuk membina kembali jenama Subaru dengan memasang XV di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur. Serentak dengan itu banyak bilik pameran baharu telah dibuka sebagai tanda kempen agresif telah pun bermula.
Baru-baru ini, saya diberi peluang untuk merasa sendiri produk global terbaru Subaru XV yang dilancarkan pada penghujung 2012. Sebelum itu, XV memang sudah menarik perhatian saya kerana kerap terserempak di atas jalan dengan demografi pembeli yang berbeza seperti usia, bangsa dan turut dipandu oleh kaum hawa. Untuk sebuah jenama yang baru dihidupkan kembali ternyata senario itu suatu yang menakjubkan. Semasa mengambil XV di pejabat korporat Subaru, tiada apa yang saya fikirkan kecuali tertanya-tanya bagaimana karakter sebuah jenama yang sangat sinonim dengan teknologi pengecas turbo kini mengeluarkan kereta aspirasi normal (normal aspiration) secara arus perdana.
Sewaktu pertama kali merehatkan badan di dalam XV, ingatan mengimbas kembali kualiti yang makin lama makin terhakis daripada pengeluar kereta Jepun lain. Saya dapat rasakan bahawa reka bentuk interior dan pemilihan material dipilih oleh pasukan pembangunan senior yang setia dengan cara lama. Reka bentuknya kemas manakala material lembut yang membaluti papan pemuka pula memberi makna kualiti, sesuatu yang berbeza daripada pengeluar lain yang mengalah kepada kos dan bertukar kepada plastik keras. Susun atur alat kawalan dan suis-suis mudah dicapai cuma dari segi persembahan grafik meter seolah-olah kurang input orang muda apabila tiada benda yang menarik untuk dilihat dan dimain-mainkan. Meter informasi kereta juga biasa-biasa saja dan boleh dikatakan agak ketinggalan berbanding produk masa kini. Subaru XV juga tidak didatangkan dengan sistem akses tanpa kunci dan butang penghidup enjin yang sudah menjadi kelaziman kebanyakan kereta. Reka bentuk kunci dan set penggera juga tidak sepadan dengan imej XV yang ranggi. Mujur stereng XV mengikut trend apabila dibekalkan dengan kawalan audio dan telefon serta auto cruise. Sistem audio yang dibekalkan Kenwood agak canggih dengan fungsi skrin sentuh, sistem navigasi Garmin yang mudah digunakan, kamera undur, dan sambungan telefon bebas tangan. Selain daripada itu, bonet barangan XV tidak berapa luas dan berlawanan dengan rekaan luaran kereta yang nampak besar dan tegap.
Walau bagaimanapun kekurangan itu ditebus kembali dengan prestasi enjin. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, saya dapat rasakan enjin Boxer bersesaran 2.0 liter dibina, ditala dan diharmonikan oleh pasukan yang berpengalaman dan rasanya inilah antara faktor kenapa ramai yang terpikat dengan XV sebaik sahaja memandu uji di bilik pameran. Para jurutera telah menala enjin supaya cepat memberi respon dan bertenaga, sedikit sahaja pedal ditekan, XV terus melonjak ke hadapan tanpa bertangguh dan talaan ini sangat sesuai untuk pemanduan bandar. Talaan seperti itu sebenarnya digunakan pada kereta rali yang ingin cepat keluar selepas melalui selekoh yang mencabar. Namun talaan transmisi Lineartronic CVT kurang mengujakan selepas kereta dipandu laju di mana putaran enjin menjadi lebih perlahan. Apa pun, pemandu boleh kembali berseronok dengan bermain paddle shift sehingga enam kelajuan dan lebih menarik Subaru turut membekalkan indikator untuk pemandu menaikkan atau menurunkan gear seolah-olah ganti kepada shift light kereta lumba.
Di dalam aspek pemanduan dan pengendalian pula, semestinya Subaru cemerlang dengan sistem symmetrical AWD dan dibantu pula dengan chasis yang tegar terasa seolah-olah kereta melekat di atas jalan walaupun hakikatnya XV mempunyai jarak kelegaan bumi yang tinggi. Walau bagaimanapun, untuk mereka yang sudah biasa dengan kereta Jepun pasti terasa stereng XV agak berat, mungkin ianya sengaja ditala begitu untuk memadankan dengan karakter enjin yang senang dipecut itu. Satu perkara lagi yang boleh dipuji ialah sistem suspensi yang benar-benar bekerja di dalam menyerap hentak lopak jalan raya dan turut mengimbangi tekanan sewaktu mengambil selekoh dengan agresif. Saya rasakan talaan tersebut adalah daripada input bertahun-tahun penglibatan Subaru di dalam sukan rali. Selain daripada itu, pereka Subaru juga masih menggunakan prinsip lama dan berkesan di dalam mereka bentuk XV, cermin tingkap sisinya luas dan tidak terhalang oleh tiang A di mana pemandu bebas untuk melihat keluar sewaktu mengambil selekoh.
Motor Image memasarkan Subaru XV pada harga yang setara dengan Honda CR-V dan lebih tinggi berbanding Mazda CX-5. Pastinya pelanggan berbelah bahagi dan buat masa sekarang terdapat tawaran harga istimewa iaitu sekitar RM130 ribu yang saya kira sepadan untuk XV. Saya sukakan bagaimana Subaru menala dan memposisikan XV cuma perlu beberapa penambahan lagi yang dirasakan dapat menarik lebih banyak perhatian pelanggan di antaranya menyemak semula pakej dan menambah aksesori popular seperti butang penghidup enjin, akses tanpa kunci, lampu HID dan penambahan beg udara sisi sebagai tambahan kepada beg udara berkembar dan buku lali yang didatangkan standard. Orang kata, tawaran dan pakej yang sukar untuk ditolak.
Apa pun, saya gembira apabila Subaru kembali ke pasaran arus perdana kerana produknya bagus dan menawarkan sesuatu yang segar untuk pasaran tempatan dan Gred A untuk keseronokan pemanduan. Kepada yang tertanya bila Subaru akan mengeluarkan model popularnya iaitu Impreza, harus tahu di Amerika Syarikat, kit badan XV ditanggalkan dan chasisnya direndahkan dan itulah dia Subaru Impreza!
@muhd_gt