Kritikan rekaan tidak terhad kepada model-model kereta dari jenama biasa-biasa atau pertengahan sahaja. Di dalam artikel sebelum ini, saya ada menulis mengenai kutukan rekaan Honda Civic dan Accord, bagaimana komen-komen di dalam blog bernada negatif. Pengguna masa kini lebih bebas dan ekspresif dalam mengeluarkan pendapat dan tidak hairanlah pengeluar kereta banyak bergantung kepada kajian pasaran. Apa yang bakal pelanggan mahukan itulah yang mahu dikeluarkan oleh mereka.
Namun kritikan terhadap sesebuah model tidak terhad kepada jenama biasa sahaja bahkan turut mengenai pengeluar kereta premium. Buktinya apabila imej BMW 1 Series baharu disebarkan, berbakul komen negatif dihamburkan. Rekaan depannya serba tidak kena hingga mereka yang pandai dengan perisian rekaan mengubah apa yang tidak kena dan memuat naik versi mereka yang tersendiri. Jika pereka model asal itu jenis sensitif, boleh jadi akan terasa pedih sampai ke tulang. Namun saya percaya, setiap keputusan bukanlah hak eksklusif perekanya malah adalah keputusan secara kolektif.
Dan model 1 Series yang banyak dikritik itu dipamerkan di Geneva, tetapi di dalam ‘baju’ yang berbeza. Paling menarik kuasanya juga berlipat kali ganda. Model yang dimaksudkan ialah BMW Concept M135i atau lebih senang jika disebut sebagai M1 Concept sahaja. Model tersebut adalah varian berprestasi 1 Series tiga pintu. Rekaan luaran M1 Concept lebih sporty, segar dan atletik yang merupakan karakter tipikal kenderaan BMW M Performance.
Dengan penampilan yang sporty, model tiga pintu itu adalah lanjutan versi BMW Performance di dalam segmen kompak premium. Kata BMW, versi M Performance daripada mereka menawarkan simbiosis di antara prestasi dan pemanduan harian. Mengeksploitasi kemahiran BMW M division yang bedekad bergelumang di dalam bidang permotoran, setiap model yang dikeluarkan mempunyai enjin dan suspensi berprestasi tinggi serta ciri-ciri aerodinamik yang kesemuanya adalah gabungan harmoni yang berfungsi antara satu sama lain. Hasilnya, model BMW M Performance mempunyai kelebihan daripada segi ketangkasan, karakter pengendalian dan rekaan yang emosional. Sekali pandang, ciri-ciri yang dinyatakan tadi jelas boleh dilihat pada model BMW Concept M135i.
Penggunaan enjin enam silinder petrol dengan teknologi M Performance Twin Power Turbo dengan output lebih 300hp adalah prasyarat untuk keseronokan pemanduan mengikut standard badan penala M Division. Bayangkan kuasa setinggi itu untuk sebuah kereta kompak dan paling menarik, BMW Concept M135i tersebut adalah pacuan roda belakang! Jika model itu benar-benar dihasilkan, dan jika boleh ditulis, BMW sudah gila agaknya. Namun itu bukanlah suatu yang pelik kerana BMW F10 M5 yang baru dilancarkan di dalam negara berkuasa 560hp dengan 680Nm tork daripada enjin 4.4 liter V8 twin turbo!.
Daripada segi karakter pengendalian, model Concept M1 dipasangkan dengan set suspensi yang ditala khas, dan untuk perberhentian berkesan, model itu dipasangkan sistem brek M sports. Apron depan model konsep itu adalah rekaan tipikal M design yang melambangkan pemfokusan pada jalan di hadapan manakala saiz ruang masukan udara yang besar pula adalah praktikal untuk penyejukan enjin yang berkuasa tinggi dan komponen brek.Rekaan bahagian belakang pula dihias dengan apron berwarna Dark Shadow metalik dan dua ekzos pada kiri dan kanan kereta.
Berbanding dengan rupa bentuk BMW 1 Series lima pintu, model Concept M135i tiga pintu pula lebih sporty dan elegan. Dari bentuk keseluruhan, model itu nampak lebih dinamik dan memanjang. Dari sisi, model itu nampak atletik, rendah dan dijelaskan lagi dengan garisan kontur horizontal pada pintu. Saiz pintu yang lebar turut menambah karakter rekaan dan dimaniskan lagi dengan tingkap tanpa bingkai yang memanjang ke belakang.Roda aloi ringan 18 inci M double spoke pula merupakan aksesori penyudah karakter sporty model konsep itu.
Apa yang dipaparkan oleh BMW ini menunjukkan suatu senario yang menarik. Dalam masa pengeluar kereta Jepun sibuk dengan teknologi hibrid, pengeluar Eropah seperti BMW masih yakin dengan teknologi konvensional yang ditambah baik dan paling penting model berkuasa tinggi. Bukan sahaja pada BMW tetapi lihat juga pada pengeluar lain seperti Audi, Renault dan Citroen, masing-masing mempunyai model berprestasi tinggi. Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini betul, kemungkinan tinggi ianya betul kerana biasanya mereka tidak membuat keputusan sembrono tanpa berdasarkan kajian pasaran. Senario seperti ini akan terjawab dalam masa beberapa tahun akan datang. Reaksi sebenar pasaran, kereta berprestasi atau hibrid
Newspress
-Md Uia-
3 comments
baru kene dgn tagline…Ultimate Driving Machine…
Twin Turbo…perghhh
Author
@GH
Intro gua tu spesifik pada yang bagi komen negatif saja. Tapi eloklah lu rasa sedih sebab kitaorang di GT/GK/Kereta tulis artikel biarlah ada jiwa (soul).
Apa pun, bila kita buat penilaian pasal pengeluar kereta, kita kena fikir satu benda;
1. Pengeluar tu buat kereta sebab passion mereka dan demi kelangsungan bisnes terpaksa kompromi dengan nilai asas mereka.
2. Pengeluar tu buat kereta sebab keuntungan daripadanya atau sebab nak buktikan mereka juga boleh buat.
Apapun permusuhan di dunia tidak pernah berhenti, atau lebih moden kalau dipanggil sebagai persaingan sihat.
Apa yang berlaku sekarang ini adalah ulangan sejarah cuma di dalam metod yang berbeza.