Boleh dikatakan setiap pengeluar kenderaan massa mempunyai kereta rakyat. Jenis kereta yang murah, praktikal dan tahan lasak. Contoh model tersebut ialah Proton Saga, Perodua Kancil, Honda Civic, Toyota Corolla, Volkswagen Beetle dan MINI. Namun, seiring dengan penjenamaan dan reputasi yang diraih, model-model itu (kecuali Saga) menjadi tidak masuk akal dari segi teknologi dan paling penting, harga. Model yang dahulunya menggunakan konsep binaan yang mudah sekarang semakin rumit dengan sistem elektronik dan pelbagai teknologi canggih hinggakan harganya sudah tidak mesra rakyat marhaen. Bahkan dek kerana strategi pemasaran dan peredaran zaman, nama asal sesebuah model juga terus dibuang. Kancil kini dinamakan Viva, Corolla pula ditambah namanya kepada Altis. Lebih dahsyat Beetle dan MINI pula sudah menjadi premium dan jauh lari daripada konsep asal pembinaannya sebagai kereta rakyat. Civic pula bukan lagi kereta biasa-biasa tetapi sudah jadi kereta golongan eksekutif berada.
Dek kerana senario itu maka muncullah satu vakum dalam pasaran kenderaan murah. Sudah namanya orang meniaga, ruang yang ada itu harus direbut maka pengeluar-pengeluar tadi menghasilkan pula model baru bagi mereplika kejayaan model-model terdahulu. Honda menghasilkan City, Toyota dengan Vios dan VW dengan model terbaru up!. Walaupun di negara kita harga City dan Vios terletak kemas di dalam kategori mahal namun hakikatnya tiada model lain yang lebih murah di dalam barisan produk kedua-dua syarikat itu. Harganya juga tinggi dek kerana polisi cukai kerajaan. Namun secara peribadinya, saya lebih kecewa dengan VW dan BMW yang kini memiliki MINI. Mereka telah secara sengajanya menolak model kegemaran sedunia iaitu Beetle dan Cooper jatuh ke dalam pasaran premium. Lebih kurang 20 tahun lepas saudara saya mempunyai model MINI manakala jiran saya yang kerjanya membaik pulih komputer secara sambilan pula memiliki Beetle. Bukan setakat Beetle bahkan beliau memiliki VW Combi. Dengan harga terkini yang berlegar-legar pada ratusan ribu ringgit model-model tersebut tidak tercapai oleh orang-orang biasa.
Namun baru-baru ini VW dilihat sebagai cuba untuk tekan gear ‘gostan’ dengan memperkenalkan model up! Model itu saya kira mengambil kembali semangat Beetle klasik yang ringkas dan paling penting harganya yang bermula bawah paras GBP 8,000, suatu yang saya kira masih lagi mesra rakyat. Up! sebenarnya adalah sebahagian daripada siri model Volkswagen Group New Small Family. Memandangkan VW adalah syarikat induk kepada pengeluar lain seperti SEAT dan Skoda maka masing-masing mempunyai versi up!nya yang tersendiri iaitu Mii dan Citigo. Selain daripada itu, VW turut hadir dengan model konsep GT up!. Model itu adalah varian berprestasi up! yang dikatakan diinspirasikan daripada model Golf GTI.
GT up! mempunyai penggayaan sporty dengan gril sarang lebah yang lebar serta ekzos berkembar pada kiri dan kanan bampar belakang. Gril yang lebar pada up! adalah lebih besar berbanding model up! standard yang berfungsi untuk lebih udara memasuki bahagian enjin yang dikatakan berpotensi untuk mencapai 100ps atau lebih. Pada bahagian bamparnya yang luas pula diposisikan salur yang berfungsi untuk mengalirkan udara bagi menyejukkan brek depan. Pada salur masukan udara tersebut dipasangkan pula lampu LED siang hari (daytime running lights). Tema sporty GT up! diteruskan pada pintu belakang yang diwarnakan hitam kilat, roda aloi bersaiz 17 inci dengan tayar lebar bersaiz 195 manakala bagi menambah kestabilan kereta dipasangkan spoiler bumbung sementara peresap (diffuser) belakang pula dikombinasikan sekali dengan muncung ekzos berkembar.
Interior GT up! tidak kalah ciri sportynya. Kerusi penumpang dan pemandu mempunyai warna antrasit (arang batu) yang dikontrakan dengan panel tengah bercorak kotak-kotak warna biru dengan bayangan model GTI. Papan pemuka yang berwarna hitam kilat pula turut dikontrakan dengan bulatan berwarna biru pada corong penyaman udara manakala pemandu pula disediakan stereng tiga kaki yang dibalut kulit.
Kepada yang berminat entah tidak pasti sama ada up! akan dibawa masuk atau tidak ke pasaran tempatan. Model GT up! pula hanyalah kereta konsep sahaja dan dengar kata menerima respon hangat sewaktu dipamerkan di Pameran Kenderaan Frankfurt baru-baru ini. Walau bagaimanapun, pelanggan di United Kingdom sudah boleh menempah varian up! tiga pintu bersesaran 1.0 liter. Harganya bermula kira-kira GBP7,995 bersamaan dengan RM40,100. Macam ini barulah kena dengan maksud Volkswagen iaitu kereta rakyat!
Matpon: Gua pun pening ah gua rasa macam dah ada artikel ni. Gua ikut bos je. Kalau ada gua minta sori. Sori2 naik lori. Kah3x.
Yang menurut perintah,
-Matpon-
6 comments
Skip to comment form
wa pn nk try post kt cni la..wa 1st..hehehe..
kalau masuk malaysia brapa dah harga nya
masuk pasaran tempatan kompom merepek la regenyer…
kompom la UP jugak rege dia kat M’sia
Jenama tempatan pun harganya x brape mesra pengguna inikan pula model dr luar benua…..
kalau masuk malaysia…rege 115k hehehe..