Asia tenggara adalah tanah jajahan Toyota. Di negara kita walaupun Perodua dan Proton adalah peneraju utama namun jika dikira pengaruh Toyota di dalam Perodua dan digabungkan dengan jualan Toyota itu sendiri maka boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa gergasi dari Jepun itu sebenarnya adalah penakluk pasaran tempatan. Di sekeliling kita pula penuh dengan kenderaan jenama Toyota, ada jiran yang memandu Avanza, rakan sekerja yang memandu Vios dan di pejabat pula terutama sekali agensi kerajaan banyak yang menggunakan Hiace sebagai kenderaan rasmi untuk pekerja. Toyota kini berada di dalam keadaan yang kukuh, mereka mewah dengan teknologi dan platform dengan kos pembangunan yang dikongsi oleh beberapa model lain. Mereka mempunyai skala ekonomi, faktor yang penting dalam survival bisnes masa kini.
Walau bagaimanapun di kalangan rakan-rakan saya, Toyota menjadi bahan jenaka, harus tahu bahawa kelompok saya terdiri daripada anak muda yang gemarkan kereta yang pantas, cantik dan tidak membosankan. Walaupun Toyota menawarkan Vios versi TRD, itu tidak memadai kerana di dalam kepala rakan-rakan saya hanyalah Hachiroku [Toyota Corolla AE86], Supra atau paling tidak Starlet Turbo. Jika dibandingkan dengan Vios TRD ianya ibarat langit dan bumi dan tidak hairanlah Toyota moden menjadi bahan jenaka mereka. Tetapi apa boleh buat, begitulah dunia bisnes automotif, anda boleh keluarkan model niche dengan kos jutaan ringgit tetapi sanggupkah syarikat anda lingkup dek kerana semata-mata nak keluarkan model yang menarik tetapi hanya dua tiga kerat yang memilikinya. Jika model bisnes sebegitu betul tidaklah Lotus kini dimiliki Proton, Lamborghini dimiliki Volkswagen dan Jaguar dimiliki Tata.
Walaupun Toyota dengan kereta berprestasi boleh diibaratkan sebagai memori silam yang tidak harus dikenang lagi namun mereka menghantar mesej yang jelas melalui anak syarikat mereka iaitu Lexus, subsidiari yang menghasilkan kenderaan mewah bagi menyaingi kereta premium barat. Lexus dihadiahkan model berprestasi LFA, kereta dengan kejuruteraan agung daripada pakar-pakar Toyota dan Lexus yang mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan.
LFA merupakan satu batuan dan momen yang penting untuk Lexus daripada segi sejarah dan pembangunan model itu. Dakwa Lexus, ianya direka atas kertas kosong walaupun ada yang mengatakan LFA adalah jelmaan Supra dek kerana beberapa persamaan rekabentuk. Walau bagaimanapun LFA dicipta oleh pasukan jurutera berkuantiti kecil dengan nyalarasa serta dedikasi tinggi dengan menolak luas sempadan kejuruteraan pada setiap peringkat penghasilan kereta ini. Senang kata projek LFA benar-benar menguji pengetahuan dan pengalaman kejuruteraan mereka. Balik-balik hasilkan kereta biasa-biasa untuk pasaran massa, sekali-sekali hasilkan kereta mencabar minda begini memang menyeronokkan.
LFA dibina menggunakan teknologi gentian kaca termaju, kereta pacuan roda belakang ini dikuasakan oleh enjin 4.8 liter V10 aspirasi normal berkuasa 552bhp yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan sequential automatik, kelajuan total LFA ialah 320 km/j. Dengan matlamat mempunyai berat seminimum mungkin, LFA yang pada asalnya dirancang untuk dibina menggunakan aluminium pada bahagian casis dan badan kereta telah dibatalkan dan digantikan dengan Carbon Fibre Reinforced Plastic [CFRP]. Lebih menarik, Lexus membuat keputusan bahawa struktur CFRP harus dibina sendiri tanpa vendor luar. Bagi mencapai matlamat itu, Lexus menggunakan teknologi warisan Toyota iaitu teknologi tenunan bagi menghasilkan gumpalan gentian kaca untuk membina LFA. Harus tahu, Toyota sebenarnya bermula sebagai syarikat yang menghasilkan mesin tenunan sebelum menghasilkan kereta.
LFA pertama kali dilancarkan pada tahun 2000 sebagai projek jelas dan mudah penyelidikan dan pembangunan. Walau bagaimanapun projek ini menjadi lebih besar apabila Haruhiko Tanahashi dilantik bagi mengetuai sekumpulan jurutera dalam membangunkan projek ini. Prototaip LFA pertama siap dibina pada tahun 2003 dan kajian rekabentuk dibuat dengan dipertontonkan pada umum pada pada Pameran Kereta Detroit 2005. Kemudiannya LFA dihantar untuk berlumba bagi menguji ketahanan kereta pada perlumbaan Nurburgring 24 jam pada tahun 2008 dan 2009. Sejarah tercipta apabila LFA dilancarkan secara rasmi pada Pameran Kereta Tokyo pada tahun 2009.
LFA benar-benar ‘rare’ apabila hanya 500 unit sahaja akan dikeluarkan untuk pasaran seluruh dunia. Kereta ini akan dibina dengan tangan di kilang Motomachi di Toyota City. Setiap unit enjin V10 LFA akan dibina oleh seorang jurutera dan kemudiannya ditandatangani olehnya sebagai tanda perhatian penuh yang diberi dalam menghasilkan kereta ini. Bak kata Haruhiko, “LFA adalah kereta berprestasi dengan ‘baka’ baik, sebuah mesin yang dijuruterakan bagi mencapai satu matlamat iaitu memberi pengalaman pemanduan yang agung. Dalam sedekad yang lalu, kami telah menjarakkan setiap sempadan dalam mencapai matlamat ini dan saya percaya kami telah menghasilkan kereta yang berorientasikan pemandu dengan sedaya upaya kami.”
Kredit gambar: Lexus
Kredit artikel: Newspress
-Mak/d Uia-
19 comments
Skip to comment form
sangat2 seronok membacanya…thumbs up
haih..x puas bace lg dah abes dah..nice
nak beli jugak sebutir, kalu ada pitis
sebuah Toyota yang sempurna…
nak jgk la kete nih …xpi gmbr jela …..ad duit pn belum tentu dapat beli
Nice contents bro…! Good job!! That y la i bought Majalah Kereta!
Aku baru nak terpikir joint GT ni, tapi melihatkan contents Mad/K UIA, banyak lagi perlu aku dalami utk GT…
aahhh..mat ..mana upah gua taip artikel ni!!
lazat sekali tutur katanya.
Aduh..Ingat nak beli tapi bace kate kete ni buat pakai ‘plastik’ terus tak jadi..hahaha…(TAKKAN MAMPUNYE AKU NAK BELI)…
Lu orang tak yah beli, simpan duit beli Veyron lagi best. Boleh pekena teh susu ngn gua.
Ade saper leh tolong gua, Veyron gua abis minyak nih………..
isi veyron tu dgn teh susu kehkehkeh
gua x minat toyota.tapi yang ni memang best..
Sebenarnya Matpon itu adalah menyamar sebagai Matpon. Sekian.
kehkehkeh……
mana satu matpon asli nih.. ahh puning2
laju bai…nangis vios nk kejor….
kejor yob kejor…. LFA mmg rarity…