Kereta bandar adalah produk yang penting untuk sesebuah pengeluar kereta. Hampir kesemua pengeluar kereta massa mempunyai kereta bandar, bahkan pengeluar kereta sport seperti Aston Martin turut terjebak untuk meraih sedikit kek pasaran dengan memperkenalkan Cygnet, kereta mewah kecil yang yang asalnya adalah Toyota iQ. 2 atau 3 tahun lagi khabarnya Lotus akan memperkenalkan kereta bandar mereka dengan platform yang berkongsi dengan Proton Emas. Hakikatnya kereta bandar adalah mode pengangkutan yang ideal untuk mereka yang hanya memerlukan ruang untuk diri sendiri atau pasangan ke tempat kerja, membeli-belah atau bersiar-siar di hujung minggu. Ruang yang kompak, harga yang rendah serta kos penggunaan yang murah adalah faktor-faktor kenapa kereta bandar begitu laris. Buat apa perlu kereta yang besar-besar jika setakat untuk pergi dan pulang ke pejabat. Di negara kita pula, kereta bandar seperti Perodua Viva, Naza Suria, Hyundai i10 pula tidak kurang larisnya malahan bukti yang paling jelas ialah Perodua Myvi yang merupakan kereta paling laris untuk lima tahun berturut-turut.
Di negara kita, Naza Suria adalah jelmaan Kia Picanto yang masih dijual hingga kini. Di United Kingdom pula, Picanto model baru iaitu generasi kedua sudah mula dijual sejak 17 Jun lepas. Dikatakan bahawa model terbaru ini bakal membuktikan yang kereta kecil boleh ditawarkan dengan pelbagai ciri tanpa peningkatan ketara pada kos dan juga saiz. Kereta paling kecil daripada Kia ini mempunyai lebih kuasa dengan penggunaan minyak dan emisi yang kurang daripada model sebelumnya. Selain daripada itu Picanto baru lebih bergaya dengan kualiti yang lebih baik tanpa harga premium, lebih ruang walaupun hanya dibesarkan sedikit dan langkauan yang besar daripada aspek keselamatan dan kemewahan.
Kia Picanto ditawarkan dengan enjin baru Kappa bersesaran 1.0 dan 1.25 liter. Model 1.25 liter mempunyai teknologi penjimatan minyak Kia iaitu Intelligent Stop & Go [ISG] engine stop/start system dengan alternatif transmisi automatik. Daripada segi output kuasa, model tiga silinder 1.0 liter berkuasa 68hp dengan 95Nm tork manakala model 4 silinder 1.25 liter pula berkuasa 84hp dengan 121Nm tork.
Tidak lengkap rasanya jika bercakap pasal Kia moden tanpa menyebut nama Peter Schreyer. Ibarat berkahwin tanpa jamuan makan. Bekas pereka Audi ini berjaya menaikkan nama Kia melalui rekaan-rekaan yang segar. Picanto baru adalah salah satu produk di bawah ‘makeover’ yang dilakukan oleh pasukan beliau dan penuh dengan ciri-ciri Eropah. Baru-baru ini saya sempat ‘membelek’ Kia Sportage baru, boleh dikatakan pengaruh Eropah begitu kuat dan boleh diterjemahkan bahawa Kia mensasarkan untuk menakluk pasaran Eropah dengan bersungguh-sungguh. Picanto ini pula adalah langkah berani dalam perubahan. Untuk model lama, ianya kelihatan comel dan feminin manakala model baru pula mempunyai ciri-ciri maskulin dan segak. Bahagian depan yang ekspresif diadunkan dengan sisi kereta yang dinamik yang menonjolkan kuasa kereta dan kematangan rekaan yang menyumbang kepada penampilan premium. Perhatian kepada perincian pula boleh dilihat di serata banda kereta yang menghasilkan pekali seret [Cd] sebanyak 0.31 – angka yang jauh lebih baik daripada pesaing kereta bandar lain dan merupakan antara faktor penentu dalam penjimatan minyak. Kepada mereka yang gemarkan imej sporty pula, Picanto versi tiga pintu pula akan diperkenalkan dengan gayaan tersendiri. Model itu mempunyai tiang C yang unik serta bampar, gril dan ekzos yang bakal menyumbang kepada imej sportynya.
Daripada segi saiz pula, Picanto hanya 60mm lebih panjang daripada model sebelumnya dan oleh itu ianya hanya menguasai 3.6 meter ruang jalan. Walau bagaimanapun, peningkatan 15mm pada titik roda dan pakejing yang bijak telah meningkatkan ruang kabin dengan signifikan. Ruang kaki depan ditingkatkan kepada 36mm manakala kapasiti ruang bagasi pula 27% lebih dengan saiz saiz 200 liter, itu semua dicapai tanpa perubahan pada tinggi atau lebar kereta.
Nampak gayanya, persaingan kereta bandar semakin sengit, tempoh hari sewaktu di bilik pameran Naza, saya terlupa hendak bertanya model apakah yang bakal dibawa masuk oleh Kia. Saya pulang dengan rasa yang tidak kena. Bila dibelek bahan untuk ruangan ini baru saya teringat akan Kia Picanto baru. Jika dibawa masuk ke pasaran tempatan, Perodua Myvi bakal menerima saingan terbaru tetapi berdasarkan rekod lampau susah untuk pengeluar lain untuk menandinginya. Apa pun yang pasti kereta bandar adalah kegemaran ramai. Yang penting, poket jimat dan tidak perlu makan mee segera sementara menunggu gaji masuk.
Newspress
-Mak/d Uia-
7 comments
Skip to comment form
Dari segi rupa paras, susah gak aku nak agak kat mana sifat “lebih maskulin” kereta ni.
maskulin kat rim. haha
Peter Schreyer… ayam tambatan Kia… Camnela Kia gamaknye kalu dia berhenti keje… ekekekkeek
Cantik & menarik tapi masih kecik kalo dibandingkan dgn Myvi kot
Mak/d UIA dah buat review dlm paper Kosmo minggu lepas pasal kete ni
(Yang penting, poket jimat dan tidak perlu makan mee segera sementara menunggu gaji masuk).pedas ayt ni woo.rupa ade tp kualiti mcmane?
Aku memang suka jenama korea ni,dulu aku memang peminat setia kereta jepun,tapi sebab dah ramai sangat yang pakai kereta jepun,aku pun berubah angin untuk memilih kereta korea sebagai kereta kedua insyaallah (berangan nak sambar kia forte)