Aug 19

VPCM Lancar Akademi Automotif Volkswagen Pertama

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) baru-baru ini melancarkan Akademi Automotif Volkswagen yang pertama di Malaysia secara rasmi.

Terletak di tengah-tengah hab automotif di Glenmarie, Shah Alam, akademi baharu itu memiliki keluasan lebih 14,117 kaki persegi.

Ia dilengkapi dengan semua kemudahan untuk menjalankan latihan jualan dan selepas jualan (teknikal serta bukan teknikal) yang lengkap.

Akademi itu mampu menempatkan sehingga 150 orang pelatih setiap hari. Mereka akan menjalani program-program yang intensif merangkumi produk dan perkhidmatan yang dijalankan oleh 13 orang kakitangan latihan berdedikasi.

Modul-modul latihan melibatkan kemahiran insani, amali, simulasi teknikal, diagnostik dan fungsi. Bagi latihan selepas jualan pula, terdapat empat ruang penyelenggaraan dan dua pusat servis teknikal (TSC).

Kemudahan dan peralatan lain seperti mesin penjajaran roda, pengubah suai lampu utama, pengangkat, latihan sistem papan elektronik, sistem diagnostik dan peralatan sedia digunakan oleh para pelatih untuk menawarkan pengalaman pembelajaran secara amali yang lebih berkesan.

Peralatan dan perkasasan ini diiktiraf oleh Volkswagen AG dan disediakan khas untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Terdapat juga satu bilik khas untuk sistem pengurusan alat ganti. Para pelatih dilatih secara praktikal serta simulasi tentang bagaimana untuk mengurus, menyimpan serta mengkategorikan alat ganti dan peralatan.

Bukan itu sahaja, Akademi itu turut mempunyai sebuah dewan serba guna dan enam bilik belajar.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memberitahu bahawa Akademi Automotif Volkswagen adalah bukti terhadap komitmen VPCM untuk terus meningkatkan serta mendidik anak-anak tempatan dan para pengedarnya.

“Akademi Automotif Volkswagen ditubuhkan dengan misi untuk menawarkan pendidikan berkualiti serta membangunkan tenaga kerja dengan standard global yang cemerlang dan mampu berdepan dengan cabaran-cabaran baru dalam industri automotif.

“Melalui Akademi ini, ia menjadi satu langkah penting buat VPCM untuk merealisasikan falsafahnya dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dengan nilai tambah kepada para pelanggan,” katanya lagi.

Silakan kongsi:

Leave a Reply

Your email address will not be published.