Volvo Melancarkan XC60 T5 Dengan Wajah dan Enjin Drive-E Baharu

Volvo XC60 2014.03

Volvo Car Malaysia pada pertengahan Jun lalu telah melancarkan XC60 T5 wajah baharu. Model itu ditampilkan dengan fasia baharu dan kemaskini interior. XC60 juga merupakan model Volvo pertama yang menggunakan nadi kuasa Drive-E iaitu pakej enjin baharu untuk model akan datang yang dibina berdasarkan konsep Scalable Product Architecture (SPA).

Bahagian depan kereta kini mempunyai bentuk bonet baharu dan gril krom yang menyerlahkan lebar kereta selain dari garisan melintang yang menyerlahkan lagi imej kereta. Muncung ekzos pula digabungkan pada peresap belakang dan sebagai simbolik kepada enjin baharu. Bahagian dalaman pula diceriakan dengan hiasan dan bingkai silk metal selain dan penganjak gear pada stereng.

Perubahan terbesar pada Volvo XC60 T5 ini ialah penggunaan enjin 4 silinder Drive-E yang berkuasa 245hp pada 5,500rpm dan tork maksimum 350Nm dari 1,500 – 4,800rpm. Walaupun enjin baharu ini lebih berkuasa dari model sebelumnya namun penggunaan bahan api tetap menjimatkan di samping emisi CO2 yang lebih baik iaitu 157g/km.

Ditawarkan pada harga yang lebih rendah dari model terdahulu iaitu RM288,888, XC60 T5 direncana untuk menarik lebih perhatian pasaran supaya lebih mampu dimiliki. Strategi itu adalah selari dengan hasrat Volvo Car Malaysia untuk menawarkan produk mereka pada harga yang lebih kompetitif tanpa mengabaikan aspek keselamatan yang telah terbukti berjaya dengan pengenalan Volvo V40.

Volvo XC60 2014.01

Sebagai sebahagian daripada komitmen Volvo di dalam mencapai visinya iaitu “Menjelang 2020, tiada sesiapa pun akan cedera dengan serius atau terkorban di dalam Volvo baharu” di mana jenama itu akan sentiasa menghasilkan teknologi dan inovasi yang menjadikan kereta lebih selamat untuk dipandu. XC60 baharu akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselematan yang diperbaharui seperti City Safety, BLIS dengan Closing Vehicle Warning (CVW), Cross Traffic Alert dan Whiplash Protection System.

Sistem City Safety baharu kini mampu untuk membrek secara automatik pada kelajuan sehingga 50 km/j. BLIS juga telah dipertingkatkan dengan menggunakan sistem berasaskan radar yang mampu untuk mengawasi dan memberi amaran kepada pemandu jika ada kenderaan yang menghampiri dengan laju sehingga 70 meter di belakang kereta.

Selepas memperkenalkan XC60 T5, Volvo Car Malaysia merancang untuk melancarkan varian XC60 T6 yang bakal dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan pada awal 2015.

Klik untuk pandu uji Volvo XC60 pra 2014

Muhammad

Kata Anda//