VOLKSWAGEN JETTA CKD DILANCARKAN – RM130,888

VW Jetta 2014.01

KUALA LUMPUR, 28 April 2014 – Volkswagen Group Malaysia dan rakannya DRB-HICOM Berhad memperkenalkan kepada media model kejuruteraan Jerman dan dipasang di Malaysia yang keempatnya ke pasaran tempatan, Volkswagen Jetta dalam satu prebiu eksklusif pada hari ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, Jetta telah menjadi salah satu model Volkswagen paling popular dan merupakan antara sedan bersaiz sederhana terbaik yang ada di pasaran Malaysia.

“Jetta menawarkan pemanduan penuh inspirasi yang menggabungkan elemen sporty, elegan dan keselamatan, tanpa berkompromi dengan komitmen Volkswagen terhadap aspek kelestarian menerusi kadar penggunaan bahan api yang efisien. Pemasangan tempatan model Jetta merupakan indikasi terkini mengenai komitmen kami untuk menawarkan pilihan kenderaan lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia yang mahukan kualiti dan jaminan yang ada pada sebuah kenderaan dengan kejuruteraan Jerman,” kata Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Christoph Aringer.

Mengulas lebih lanjut mengenai kepentingan pemasangan tempatan model Jetta kepada Volkswagen Group Malaysia, Aringer berkata, “Jetta yang diimport sepenuhnya dan diperkenalkan pada tahun 2011 merupakan penyumbang signifikan kepada kejayaan Volkswagen di Malaysia hingga ke hari ini. Kami amat yakin bahawa jualan Jetta akan terus meningkat memandangkan kereta ini sudah dipasang di sini dan ditawarkan pada harga lebih kompetitif berbanding sebelumnya.”

Jetta merupakan insterpretasi moden Volkswagen ke atas reka bentuk sporty pada sebuah gaya klasik. Sejak diperkenalkan pada tahun 1979, Jetta popular dengan karekternya yang tersendiri. Gayanya yang unik digabungkan bersama reka bentuk sebenar dan ciri-ciri inovatif yang memiliki potensi untuk menarik kelompok pelanggan yang mahukan gaya serta elemen sporty dalam mobiliti mereka.

Bercakap sewaktu taklimat media, Pengarah Reka Bentuk Volkswagen China, Simon Loasby berkongsi prinsip rekaan yang diadaptasi oleh pasukan reka bentuk Volkswagen.

“Jetta memiliki rekaan dengan keseimbangan sempurna di antara elemen sporty dan elegan. Ia kemudian disokong oleh bahasa rekaan dalaman serta luaran yang unik, difikirkan secara mendalam dan konsisten. Ketika reka bentuknya yang bergaya dan tersendiri itu menarik perhatian serta tidak terlalu menonjol, Jetta turut menjanjikan pemanduan yang menyeronokkan. Pada masa sama memberi jaminan dari segi keselamatan dan mesra alam sekitar,” kata Loasby.

VW Jetta 2014.02

Enjin dan Prestasi

Sebagai sebuah kereta yang benar-benar memberi keyakinan menerusi kuasa dan keseimbangannya, Jetta menggabungkan enjin petrol pancitan terus bahan api bersama sistem pengecas berkembar TSI bersesaran 1.4 liter dengan kotak gear direct shift tujuh kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa mengagumkan iaitu 160PS dan tork 240Nm di antara 1,500 hingga 4,500rpm – menjadikannya antara kenderaan paling berkuasa dalam kelasnya.

Menjadi satu-satunya kereta dalam segmennya yang dilengkapi kotak gear tujuh kelajuan, sedan ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam tempoh 8.3 saat. Ia juga berupaya mencapai kelajuan maksimum 221km/j – sekali gus menyerlahkan kemampuan atletiknya. Di sebalik prestasi sporty ini, Jetta menawarkan gabungan penggunaan bahan api sekitar 6.0l/100 km (16.7 km bagi setiap liter) dengan standard emisi Euro 5. Ini menjadikan Jetta peneraju dalam kelasnya dari segi penjimatan bahan api dan emisi.

Ciri-ciri hiburan yang dipertingkatkan

Ciri-ciri hiburan pada Jetta telah dipilih dengan teliti untuk pasaran Malaysia. Menawarkan rakyat Malaysia dengan pilihan rangkaian ketersambungan yang ekstensif, sedan elegan ini dilengkapi radio RCD320 bersama pelbagai opsyen ketersambungan seperti Bluetooth, slot kad SD, USB dengan antara muka iPod dan AUX-In. Paparan multi fungsi hadir bersama sokongan pelbagai bahasa. Sistem audio itu juga disokong dengan enam unit pembesar suara berkualiti tinggi.

Ciri-ciri Keselamatan

Ciri-ciri Keselamatan menjadi keutamaan buat Jetta. Beg udara hadapan dengan ciri penyahaktifan untuk beg udara penumpang hadapan, dua beg udara sisi, beg udara jenis curtain untuk penumpang hadapan dan belakang; Electronic Stability Control (ESC) dengan Anti-lock Braking System (ABS) dan Brake Assist (BA), serta kawalan ketika mendaki bukit dan alat pengesan hujan telah dipasang pada Jetta. Jetta yang dipasang tempatan juga didatangkan dengan penahan kepala pada tempat duduk hadapan yang dioptimumkan keselamatannya, selain poin meletak tempat duduk bayi (sistem ISOFIX).

Dalaman

Di dalam Jetta, terdapat pelbagai ciri estetik dan fungsi. Antaranya ialah stereng multi fungsi yang melengkapi tuil gear dan pemegang brek tangan yang dibalut kulit. Selain kemasan dekoratif ‘Black Pyramids’ pada papan pemuka dan panel pintu. Ciri-ciri berguna yang ada pada Jetta termasuklah cermin pandang belakang anti-silau, kawalan jelajah, empat tingkap kuasa automatik, ruang penyimpanan barang dengan fungsi penyejukan dan ruang but seluas 510 liter.

Mahu memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang, Jetta dilengkapi upholsteri tempat duduk fabrik ‘Sienna’, ketinggian kerusi hadapan boleh laras dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60/40. Di samping perehat tangan hadapan dan belakang boleh laras, serta sistem pendingin hawa automatik ‘Climatronic’ dengan kawalan suhu dua zon dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.

VW Jetta 2014.03

Luaran

Jetta benar-benar memiliki DNA reka bentuk Volkswagen. Ia menampilkan rekaan garis yang cantik dan jelas menyerlahkan intipati sedan ini. Dipasang dengan rim aloi bersaiz 16 inci, gril krom dan paip ekzos berkembar, kereta ini turut dilengkapi lampu kabus pada bahagian hadapan dan belakang, sekiranya ada kabus ketika memandu. Lampu utama halogen hadir dengan ciri pengaktifan automatik bersama fungsi manual ‘Leaving Home’ dan ‘Coming Home’. Manakala cermin sisi dengan lampu membantu pemandu ketika berada di kawasan yang gelap. Sedan ini juga dilengkapi Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang, serta cermin sisi yang boleh dilaras secara elektrik bagi memudahkan pemandu terutama ketika hendak memarkir kenderaan.

Jetta boleh didapati dalam empat pilihan warna: putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black). Jetta yang memiliki kejuruteraan Jerman dan dipasang di Malaysia sudah boleh ditempah di semua pengedar Volkswagen di Semenanjung Malaysia bermula 2 Mei pada harga yang semakin menarik iaitu RM 130,888 seunit.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.