VAUXHALL ADAM: Pesaing Baharu Kereta Bandar!

Baru-baru ini seorang sepupu perempuan bertanya mengenai sebuah kereta. Beliau menuntut di IPT dan sekarang ini sedang menjalani latihan amali di Klang, Selangor. Tidak silap saya, sudah hampir setahun atau lebih beliau meminta komen mengenai kereta yang disenarai pendek dan sehingga kini masih gagal untuk membuat pilihan atau dalam erti kata yang lain masih tidak ada kereta yang benar-benar memikat hati. Namun yang nyata senarai pilihannya ialah kereta kompak atau bahasa komersilnya, city car. Ciri-ciri seperti penggunaan minyak yang efisyen, saiz yang kompak dan harga yang berpatutan adalah penarik utama kereta itu dan tidak hairanlah Perodua Myvi dan Viva begitu laris sekali di dalam pasaran tempatan. Malah kebanyakan pengeluar dunia dari jenama rakyat seperti Volkswagen hinggalah ke jenama mewah seperti Aston Martin mempunyai kereta bandar.

Di dalam entri terdahulu, saya menulis mengenai Skoda, sebuah syarikat Sepanyol yang dimiliki oleh kumpulan VW. Kali ini mengenai Vauxhall pula, sebuah syarikat British dengan ibu pejabat di Luton, United Kingdom (UK). Vauxhall mempunyai sejarah yang lama, usianya sudah jauh melepasi satu abad yang bermula pada tahun 1857sebagai syarikat pengeluar enjin dan pam. Bercakap mengenai globalisasi, syarikat British itu sebenarnya adalah subsidiari General Motors (GM) dari Amerika Syarikat sejak tahun 1925 lagi. Dengan sejarah yang panjang, Vauxhall pernah terlibat di dalam industri perang dengan mengeluarkan kereta kebal.

Hasil daripada perkongsian kejuruteraan dengan jenama-jenama lain di bawah GM, Vauxhall mempunyai sejumlah model untuk pelbagai segmen pasaran antaranya Corsa, Insignia, kereta elektrik Ampera dan terkini hangat dipasarkan ialah kereta bandar Adam. Model itu merupakan percubaan pertama Vauxhall di dalam segmen pasaran yang telah meningkat sebanyak 30 peratus sejak tahun 2000. Adam tiga pintu dengan saiz 3.7 meter panjang dan 1.72 meter lebar dikatakan selesa untuk dinaiki empat orang. Model itu mempunyai ciri-ciri urban yang canggih antaranya kemudahan penyambungan telefon pintar ke sistem multimedia kereta, Park Assist yang berupaya untuk parkir kereta secara automatik, Side Blind Spot Alert dan sistem stereng kuasa ‘light touch city mode’.

“Dipakejkan dengan rekaan yang menyerlah dan teknologi terkini, Adam bakal menarik minat orang muda dan mereka yang berjiwa muda daripada kedua-dua gender,” kata Peter Hope, Pengarah Pemasaran Vauxhall. “Mereka mempunyai sikap tersendiri dan mahukan kenderaan yang melambangkan personaliti mereka,” tambah Peter.

Adam bukan sahaja disasarkan untuk menarik pelanggan setia Vauxhall malah diluaskan juga kepada mereka yang tidak pernah menimbangkan jenama itu dengan separuh dari jualan dijangka datang daripada pelanggan baharu. Tidak seperti pesaing lain di dalam segmen kereta bandar, Adam membelakangkan trend dengan tidak mengambil rekabentuk retro dan sebaliknya menggunakan rekaan segar dengan fokus kepada inovasi, personifikasi dan kualiti.

Selain daripada rekabentuk yang menarik, Adam turut dibangunkan untuk kedinamikan pemanduan, sesuai dengan citarasa pemandu Eropah. Berbeza dengan pembeli tempatan yang membeli kereta dengan pengendalian dan pemanduan asal boleh, pemandu Eropah lebih cenderung untuk memandu kereta yang stabil pada kelajuan tinggi dan tidak terumbang-ambing sewaktu selekoh. Setup suspensi depan ialah MacPherson manakala di belakang pula adalah ‘compound crank’ untuk pemanduan di bandar atau pun jalan berliku. Menariknya, opsyen rim yang dibekalkan ialah bersaiz 16, 17 dan 18 inci.

Untuk menjana kuasa, Adam dibekalkan dengan tiga enjin petrol yang efisyen iaitu 1.2 liter berkuasa 70ps, 1.4 liter 87ps dan 1.4 liter 100ps. Kesemua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi lima kelajuan manual. Vauxhall juga menawarkan opsyen pek teknologi ecoFLEX dengan lebih penjimatan bahan api. Pakej tersebut terdiri daripada teknologi Start/Stop dengan bateri berkuasa tinggi, penghidup tahan lasak, optimised generator dengan suis eco untuk pemandu membuat pilihan mode pemanduan. Selain daripada itu, turut berada di dalam pakej ialah Eco Drive Assistant yang mengawasi penggunaan tenaga dan indikator untuk penukaran gear. Vauxhall buat masa ini sedang membangunkan enjin kecil untuk diperkenalkan pada model Adam pada masa depan. Enjin yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai pancitan terus, pengecas turbo dan teknologi Start/Stop. Enjin tersebut pula dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serba baharu.

Kita di sini mungkin mustahil untuk memandu Vauxhall memandangkan jenama itu khusus untuk pasaran UK. Namun kuasa globalisasi dan skala ekonomi membolehkan kita merasa serba sedikit produk global. Jika strategi GM untuk menguasai pasaran Eropah adalah melalui jenama Vauxhall atau Opel, strategi untuk pasaran Asia pula ialah melalui Chevrolet. Tahukah anda, platform Adam sebenarnya berkongsi dengan Chevrolet Spark yang bakal dipasarkan tidak lama lagi? Satu lagi pilihan untuk sepupu saya atau mereka yang mahukan kereta bandar, selain daripada keluaran Perodua.

Garaj Kosmo

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

2 comments

    • belalang_kontot on 28/11/2012 at 11:55 PM
    • Reply

    belakang sekali imbas cam savvy pun ade…huhu

  1. spark…. keta tak lawa… sapa beli tak tau la nk kata apa

Leave a Reply to belalang_kontotCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.