UMW TOYOTA MOTOR RASMI PEMBUKAAN PUSAT 3S TERBARU DI KULAI

Signing ceremony by Tan Sri Asmat Kamaluddin witnessed by (from right) Datuk Takashi Hibi, Datuk Ismet Suki, En Ahmad Ikram (MCSO) & Branch Manager, Mr Jason Pang

Kulai, Johor, 14 Mac – UMW Toyota Motor hari ini merasmikan Pusat 3S (Jualan, Alat Ganti dan Servis) Toyota paling lengkap dan terbaru, bertempat di Kulai, Johor dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti bagi pelanggan-pelanggan di Selatan.

Majlis pelancaran rasmi premis berkenaan di adakan di Bandar Indahpura, Kulai, Johor Darul Takzim. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi UMW Toyota Motor, YBhg. Tan Sri Asmat Kamaludin dan disaksikan oleh Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi dan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Pusat 3S Kulai serba baru ini disifatkan sebagai sebuah kemudahan dengan kelengkapan dan fisiliti unggul serta premium di negeri Johor dan disasarkan untuk memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan di bawah satu bumbung. Syarikat membelanjakan hampir RM15 juta yang dilaburkan bagi mendirikan kemudahan pusat 3S ini demi untuk mengotakan janji memberikan pengalaman berkualiti buat semua pelanggan Toyota, melalui program atau pendekatan yang dikenali sebagai Toyota Quality Experience (TQE).

Premis berkenaan yang didirikan di atas tanah berkeluasan 2.3 ekar mempunyai binaan keseluruhan seluas 50,000 kaki persegi. Ia turut dilengkapi dengan ruang pameran yang luas, yang mampu menempatkan lima kenderaan untuk dipamerkan, pusat servis dengan kapasiti untuk menyelenggara 75 buah kenderaan dalam satu hari, serta ruang menunggu untuk pelanggan yang dilengkapi kemudahan WiFi internet.

Bercakap pada majlis berkenaan, Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki menekankan bahawa Toyota sentiasa memberi perhatian penuh bagi program TQE secara berterusan kepada pelanggan di dalam mana-mana peringkat perkhidmatan yang diberikan.

“Dengan keutamaan falsafah ‘Pelanggan Di Dahulukan’, kami di Toyota sentiasa berusaha untuk memberikan keutamaan kepada setiap pelanggan. Kami komited memberikan produk yang berkualiti tinggi serta menawarkan khidmat pelanggan terbaik dalam usaha kami untuk memenuhi keperluan dan kepuasan pelanggan sekaligus mengukuhkan lagi Toyota sebagai jenama kenderaan bukan nasional nombor satu di Malaysia bagi tempoh lebih daripada dua dekad,” jelas Datuk Ismet.

Terkini, UMW Toyota Motor mempunyai rangkaian jualan dan lepas jualan paling banyak dengan 97 cawangan termasuk pengedar di seluruh negara untuk memenuhi keperluan dan permintaan terhadap kenderaan Toyota yang semakin bertambah.

“2013 adalah tahun yang amat mencabar bagi kami. Kami mencapai jualan berjumlah 92,500 unit sepanjang tahun, angka yang berada di bawah sasaran asal serta perkongsian pasaran pada 14 peratus. Walaupun begitu, kami kekal menjadi pendahulu bagi segmen kereta bukan nasional bagi 24 tahun berturut-turut. Di bahagian Selatan, tahun lalu kami berhasil menjual lebih daripada 16,000 kenderaan, yang mana 75 peratus daripadanya disumbangkan oleh pelanggan kami di Johor, sekitar 12,000 unit terjual,” tambah Datuk Ismet.

Datuk Ismet juga menambah bahawa khidmat lepas jualan turut mencatatkan perkembangan, dengan 218,000 kenderaan telah diservis (CPUS) tahun lalu di bahagian Selatan dan 70 peratus daripada jumlah itu ialah dari Johor, yang mencatatkan peningkatan 7 peratus. Angka-angka ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa UMW Toyota Motor berjaya mendapat kepercayaan pelanggan dengan menepati setiap jangkaan mereka.

“UMW Toyota percaya dan yakin bahawa industri automotif akan terus giat berkembang. Kami akan memperkukuhkan operasi bagi mencapai sasaran jualan melebihi 100,000 unit kenderaan Toyota dan Lexus serta berusaha mencapai sasaran perkongsian pasaran 15 peratus tahun ini. Bagi khidmat lepas jualan, kami akan berusaha untuk mencapai jumlah 1.24 juta CPUS,” ujar Datuk Ismet ketika menutup ucapannya.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.