TOYOTA RAIH 6 ANUGERAH KESELAMATAN ASEAN NCAP

toyota-asean-ncap-2016-01

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar tunggal kenderaan Toyota di Malaysia menerima enam anugerah Grand Prix daripada New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP), dengan keputusan cemerlang bagi prestasi model-model kenderaan keluarannya ketika perlanggaran. Kenderaan Toyota yang dijual di Malaysia turut mencatat bacaan tertinggi bagi Child Occupants Protection (COP) dan Adult Occupants Protection (AOP) dalam ujian kemalangan ASEAN NCAP.

Model-model yang ditawarkan oleh UMWT untuk pasaran Malaysia menerima pengiktirafan bagi pelindungan terhadap penumpang kanak-kanak (Child Occupant Protection, COP) adalah terdiri daripada Toyota Rush, Hilux dan Innova serba baharu. Sementara itu, Toyota Sienta pula memperoleh markah terbaik bagi pelindungan penumpang dewasa (Adult Occupant Protection, AOP). Majlis penyampaian anugerah berkenaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang sempena acara Stop The Crash.

Toyota Rush 2015.03

Model Hilux dan Rush masing-masing menerima anugerah bagi prestasi terbaik bagi COP dalam kategori trak pikap dan SUV. Toyota Innova serba baharu, yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, merupakan MPV kedua Toyota yang diuji oleh ASEAN NCAP dan memperoleh pencapaian tertinggi bagi COP setakat ini dalam kategori berkenaan. Dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC) dan tujuh beg udara bagi varian paling tingginya, ia juga layak menerima penarafan lima-bintang bagi AOP.

MPV kompak Toyota Sienta yang dilancarkan Ogos lalu pula menerima markah tertinggi setakat ini bagi AOP bagi sebuah MPV. Juga dengan ciri kawalan kestabilan kenderaan (Vehicle Stability Control, VSC) yang ditawarkan pada model kenderaan ini, serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam perlanggaran berdepan dan perlanggaran sisi, Sienta turut diberi penarafan lima-bintang bagi varian tertingginya.

ASEAN NCAP Grand Prix adalah bertujuan memperingati pencapaian kenderaan-kenderaan yang terlibat di dalam penilaian itu bagi tempoh dua tahun sebelum ini. Anugerah berkenaan terdiri daripada tiga perkara utama; pelindungan penumpang terbaik, teknologi keselamatan terbaik dan anugerah khas yang diberikan kepada kenderaan/syarikat yang menyumbang kepada meningkatkan aspek keselamatan di rantau ini.

Pada majlis berkenaan, Toyota turut menerima anugerah khas teknologi keselamatan bagi Toyota Blind Spot Monitor System yang terdapat pada model Toyota Camry Hybrid. Begitu juga dengan sebuah lagi anugerah, Rising Star Recognition Award yang diberikan kepada Toyota Corolla Altis kerana meluaskan penawaran ciri keselamatan VSC serta tujuh beg udara kepada semua variannya dalam pasaran di pelbagai negara.

Toyota Camry 2013.15

Bagaimanapun, keseluruhannya terdapat lapan anugerah diberikan kepada model-model keluaran Toyota yang dijual di rantau ASEAN, termasuk Toyota Agya dengan markah tertinggi di dalam COP dan AOP bagi kategorinya. Sejak 2012, model-model keluaran Toyota mengambil bahagian di dalam penilaian ASEAN NCAP.

“Anugerah-anugerah ini menunjukkan komitmen kami terhadap keselamatan kenderaan yang dikeluarkan serta kepada penumpangnya, yang sentiasa menjadi keutamaan Toyota. Ia dicapai melalui strategi bersepadu yang melibatkan individu, kenderaan dan trafik. Kami juga berjaya mencapai piawaian industri yang semakin tinggi kini bagi keselamatan kenderaan serta sentiasa berusaha untuk menepati jangkaan pengguna. Untuk mencapainya, Toyota akan terus bekerjasama dengan pengguna jalan raya dan kerajaan,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. Toyota meletakkan sasaran bagi sifar kemalangan maut sebagai visi keselamatannya.

“Kami sangat berbesar hati menerima anugerah-anugerah ini, yang mengiktiraf komitmen berterusan kami untuk memperbaiki keselamatan pada kenderaan. Sebagai sebuah pengeluar automotif utama dunia, adalah penting untuk memastikan kenderaan keluaran kami dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaik. Sebahagian daripada model-model kenderaan kami juga sudah diberi penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Kami akan terus meningkatkan aspek keselamatan pada kenderaan yang dikeluarkan, dalam usaha memberi pelindungan kepada pengguna,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Anugerah-anugerah berkenaan disampaikan sebagai sebahagian daripada acara Stop The Crash yang dianjurkan oleh ASEAN NCAP. Pertama kali dianjurkan di rantau ASEAN, ia diterajui oleh Global NCAP sebagai usaha baharu untuk mempromosi teknologi penghindar kemalangan pada kenderaan. Acara berkenaan juga terbuka kepada umum, untuk membolehkan orang-ramai mempelajari tentang teknologi-teknologi terkini yang melengkapi kenderaan mereka.

Untuk maklumat lanjut berkaitan ASEAN NCAP serta aktiviti dan keputusan terperinci setiap model, layari www.aseancap.org.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.