Toyota GT 86: Legenda Masa Depan!

Toyota 86 2013.20

Toyota GT 86 pertama kali dipamerkan pada tahun 2007 sebagai Toyota FT-HS di dalam bentuk kereta konsep. Seperti lazimnya model-model konsep lain, rekabentuknya futuristik dan seperti tiada kaitan dengan model kereta sport Toyota yang lepas. Berkali-kali dipertontonkan kepada ramai bahawa inilah bayangan kelahiran semula model AE 86, model legenda yang dikagumi dan diminati ramai di serata dunia. Stratergi itu mengena hingga menjadi tajuk berita dan bualan ramai peminat kereta sampaikan ada yang tidak sabar-sabar untuk menunggu pelancarannya.

Toyota 86 2013.11

Selepas beberapa tahun mengusung dan mencanang model konsep kepada umum akhirnya pada awal 2012 Toyota Motor Corporation melancarkan model ikonik mereka dengan nama baharu iaitu GT 86. Lebih mengejutkan, terdapat dua model yang sama tetapi berlainan jenama yang sedia untuk dibeli oleh pasaran. Subaru, dengan Toyota mempunyai pegangan saham di dalamnya turut mempunyai model kembar GT 86 yang dikenali sebagai BRZ. Menjadi rahsia umum bahawa GT 86 sebenarnya dibina dengan kerjasama Subaru yang membekalkan enjin boxer untuk GT 86 dan menyediakan fasiliti pengeluaran di Gunma, Jepun.  Tidak setakat itu, melalui gagasan bisnes Toyota, GT 86 turut dijual sebagai Scion FR-S di Amerika Syarikat.

Toyota 86 2013.17

GT 86 baharu ini merupakan sebuah kereta yang mempunyai warisan dan darjat tersendiri yang boleh dijejaki sejak 50 tahun lepas. Untuk mereka yang tertanya atau yang mengkritik rekabentuk GT 86 lari langsung daripada gayaan AE 86 jawapannya ialah Toyota telah mengkaji lebih jauh daripada itu dan membawa adunan dua buah model klasik iaitu Toyota Sports 800 dan Toyota 2000GT. Daripada model Sports 800 datangnya konfigurasi enjin FR dan enjin Boxer manakala 2000GT pula mempunyai pengaruh utama di dalam penggayaan kereta.

Angka hachiroku (86) pula terus diberi penghormatan dan keistimewaan dengan rekaan yang simbolik. Sebagai contoh diameter bore dan stroke enjin berukuran 86mm dan diteruskan pada saiz tailpipe dengan ukuran yang sama. Logo GT86 juga mempunyai rekaan unik, ditengahnya ialah angka 86 seperti kesan tayar yang sedang menggelungsur (drift) dan pada kedua-dua belah sisinya ialah omboh dengan rod penyambung di dalam keadaan melintang sebagai lambang enjin boxer. Rekaan luaran pula memberi fahaman yang jelas bahawa ini adalah kereta sport dengan bahasa rekaan yang malar segar (timeless) seolah-olah ingin memberitahu bahawa kereta ini akan tetap menarik walaupun pada masa depan. Konfigurasi enjin di depan dengan pacuan belakang pula adalah standard yang dipersetujui ramai untuk sebuah kereta sport.

Toyota 86 2013.07

Selain daripada itu, harus tahu bahawa Toyota 86 juga dibina berdasarkan banyak permintaan peminat kereta di serata dunia untuk mengeluarkan sebuah kereta dengan ciri-ciri keseronokan pemanduan seperti yang terdapat pada Toyota AE86, Toyota 2000GT dan Toyota Sports 800 yang merupakan kereta sport pertama Toyota. Tidak dinafikan juga terdapat cadangan daripada pihak pengurusan tertinggi Toyota yang mahu menghidupkan kembali minat orang ramai semasa projek ini dicetuskan (2007) yang semakin hilang terhadap kereta. Menguasakan 86 ialah enjin boxer 2.0 liter yang dibekalkan Subaru. Menariknya, idea untuk menggunakan enjin boxer atau rotary telah timbul apabila jurutera Toyota mendapati kesemua enjin mereka bersaiz tinggi dan tidak sesuai untuk kereta sport dengan bonet enjin yang rendah. Menariknya sewaktu itu, Toyota dan Subaru baru sahaja mengumumkan kerjasama di antara kedua firma tersebut!

Toyota 86 2013.08

Namun para jurutera pembangunan projek 86 menghadapi masalah dengan sasaran tahap pengeluaran emisi yang tidak boleh dicapai oleh enjin boxer atau jika dilakukan juga akan menjadikan kuasa output rendah. Dengan bantuan Ketua Jurutera Lexus LFA, pasukan pembangunan berjaya mengatasi masalah tersebut dengan mengubah saiz bore dan stroke enjin dan antara pencapaian terpenting ialah kombinasi teknologi sistem pancitan Toyota D4S! Harus tahu, kedudukan enjin 86 lebih rendah daripada Nissan GTR dan hanya 0.6 inci lebih tinggi berbanding Lexus LFA. Enjin berkuasa 200hp dengan tork 205Nm tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan manual atau automatik yang diubahsuai daripada Lexus IS-F (kurang dua gear). Sesuai dengan standard keselamatan global, Toyota 86 didatangkan dengan tujuh beg udara, Traction Control (TRC) dan Vehicle Stability Control (VSC) yang mempunyai fungsi VSC Sports untuk nyah aktif bantuan pemanduan elektronik untuk memberi lebih hak kawalan kereta kepada pemandu. Ciri-ciri standard keselamatan lain ialah ABS dengan EBD dan BA.

Toyota 86 adalah sebuah kereta yang dibina sebagai ikon kereta sport yang kekal relevan pada setiap masa walaupun tanpa kepantasan seperti kereta dengan kuasa pendesak mahu pun teknologi canggih. Ianya adalah kereta untuk keseronokan pemanduan bersahaja yang sarat dengan falsafah, kerjasama dan penghormatan pada kereta sport silam. Jika anda melihat 86 di atas jalan raya, ingatlah bahawa Toyota tidak lupa atau melupakan untuk menghasilkan kereta dengan jiwa. Setidak-tidaknya 86 adalah bukti Toyota masih berpegang kepada warisannya!

Toyota 86 2013.21

Kereta yang telah banyak memenangi anugerah di serata dunia ini boleh dimiliki di negara kita pada harga RM 243,000 untuk transmisi manual dan RM 249,000 untuk transmisi automatik. Terdapat enam pilihan warna iaitu Satin White Pearl, Crystal Black Silica, Sterling Silver Metallic, Lightning Red, Galaxy Blue Silica, dan Orange Metallic. Lebih menarik Toyota 86 didatangkan dengan waranti selama 3 tahun.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.