Toyota Avanza Dengan Enjin Dual VVT-i Dilancarkan – Harga Bermula Dari RM69,000

Toyota Avanza 2015.09

UMW Toyota Motor Sdn Bhd selaku pengedar dan pemasang kenderaan Toyota di Malaysia kini melancarkan Toyota Avanza dengan pelbagai perubahan signifikan termasuk dua enjin baharu. Seperti sebelum ini, terdapat empat varian yang ditawarkan iaitu Avanza 1.5S Automatic, Avanza 1.5G Automatic, Avanza 1.5E Automatic dan Avanza 1.3E Manual.

Enjin yang dipasangkan pada M ini ialah dari siri NR baharu dengan teknologi Dual VVT-i. Enjin itu lebih efisyen, berkuasa dengan emisi yang lebih bersih. Bunyi dan gegaran juga lebih rendah susulan daripada rekaan dan penggunaan penebat bunyi.

Teknologi VVT-i digunakan secara meluas pada kebanyakan kenderaan Toyota sejak 15 tahun lalu manakala teknologi Dual VVT-i hanya digunakan pada model yang lebih mahal dan sporty yang kini turut digunakan pada Toyota Avanza. Enjin baharu tersebut ditawarkan pada varian 1.3 dan 1.5 Avanza.

Gayaan baharu yang digunakan adalah kesinambungan model Toyota terkini seperti Vios dan Corrola Altis. Bahagian depan Avanza kini lebih menyerlah dengan gayaan dinamik. Varian S mempunyai identiti sporty manakala Varian G dan E pula digayakan supaya nampak mewah dan berkelas tinggi.

Pelanggan yang mahukan bentuk yang lebih sporty pula boleh mendapatkan aerokit yang terdiri daripada spoiler bampar depan dengan DRL, spoiler bampar belakang dan skirt sisi. Kesemua varian kecuali varian 1.3E didatangkan dengan roda aluminium bersaiz 15 inci untuk varian 1.5S dan 1.5G manakala varian 1.5 dibekalkan roda aluminium 14 inci.

Toyota Avanza 2015.08

Kesemua varian Avanza dibekalkan dengan dua beg udara dan MPV itu dijangka mencatat skor empat bintang ASEAN NCAP bagi pelanggaran hadapan. Tidak setakat beg udara, kesemua varian dipasangkan ABS dan EBD yang memberikan pemanduan yang lebih selamat dan meyakinkan.

Berikut merupakan harga Toyota Avanza di atas jalan untuk warna metalik bagi Semenanjung Malaysia.

Avanza 1.5S Automatic – RM 80,810

Avanza 1.5G Automatic – RM 78,477

Avanza 1.5E Automatic- RM 75,787

Avanza 1.3E Manual – RM69,072

Sama seperti model lain yang ditawarkan UMW Toyota Motor, Avanza dibekalkan waranti 36 bulan/100,000km (yang mana dahulu).

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.