Balik Raya Punya Cerita 2015 : Kisah Dan Teladan

Proton Iriz Penang 2014.13

Sedar tak sedar, rupanya ini adalah kali kelima gua menulis Balik Raya Punya Cerita [BRPC] dalam GT ini. Lama jugalah gua bertindak sebagai Skru Gantian. Dan menulis entri BRPC ini dah seumpama menjadi rutin tahunan yang tak harus dilepaskan untuk berkongsi cerita dan kisah. Moga ianya bermanfaat kepada semua. Memandangkan ini kali kelima, rasanya macam tak berapa seronok pula untuk gua menulis serupa tahun-tahun sudah. Bagi menampilkan sedikit kelainan, izinkanlah gua menulis gaya seorang blogger..eceh.

Persediaan Sebelum Pulang Beraya

Keyakinan gua bahawasanya rakyat Malaysia sudah semakin celik kereta tentang penjagaan & penyelenggaraan kereta sebenarnya amat-amatlah tinggi. Jadi, gua tidak mahu ulas bab ini. Masing-masing sudah besar panjang. Kemalangan jalanraya yang berlaku di pelusuk negara ini pun jarang sangatlah yang berpunca daripada kegagalan jentera untuk berfungsi dengan sebaiknya. Lebih kepada sikap dan cara pemanduan kita yang sebetulnya menjadi punca, iya tak?

Gua syak, ramai yang memilih untuk pulang beraya bermula Selasa malam sehinggalah ke malam Hari Raya. Maka, sudah tentulah fizikal serta mental pemandu harus berada pada tahap yang cemerlang lagi terbilang untuk memandu pada waktu kelam yang mana kadar visual mata serta kemahiran mengagak berapa jauh kereta yang berada di belakang akan menurun dengan begitu drastik. Rehat sang pemandu kena cukup. Pastikan juga PowerBank yang baru dibeli secara atas talian telah dicas secukupnya bagi kegunaan mengecas semula gadjet milik anak-anak. Iyalah, nak tempuh jem yang dasyat ini, sudah tentu dengan gadjet mampu mendiamkan anak-anak kecil kita, iya tak? Bekalan untuk sahur juga jangan dilupakan memandangkan kawasan Rawat & Rehat pasti dipenuhi dengan umat Islam yang lain juga ingin bersahur. Dengan ada bekalan, sudah tentu perasan khuatir makan secara berdiri tidak wujud sama sekali. Berhenti tepi jalan dalam keadaan selamat, dan selamat bersahur!

Jom Bertolak Sekarang

Setelah selesai membaca doa moga perjalanan pulang ke kampung dipermudahkan, maka bolehlah bertolak sekarang. Tali pinggang keselamatan pun jangan buat-buat lupa pula. Sebelum menghampiri Plaza Tol, tolonglah buat isian semula Kad Touch N Go dan mengisi petrol terlebih dahulu. Karang bila dah beratur panjang, mood nak pandu kereta pun dah lari sikit, iya tak? Sewaktu  mula memasuki lebuhraya, silalah tingkatkan tahap keberhati-hatian sehingga ke 150%. Genggam stereng dengan kedua belah tangan dan jangan nak gatal tangan sebelah lagi sibuk nak mengemaskini status FB “Menuju ke kampung tercinta. Moga selamat sampai..”. Bila memandu dalam keadaan kelam begini, rasa seperti mahu disorongkan bantal memang tidak dapat dinafikan. Jadi, jikalau tidak ingin berada di atas katil Wad Kecemasan, berhentilah berehat sebentar untuk mengecas semula tenaga di tempat yang sepatutnya.

Bila memasuki kawasan lebuhraya, had kelajuan ERL jangan sesekali dicontohi. Selain daripada menghormati orang tua, kita juga disarankan untuk menghormati had kelajuan kebangsaan. Tapi kebiasaannya musim perayaan sebegini, keadaan di lebuhraya cenderung untuk bertukar menjadi parkir bergerak. Silalah tingkatkan kesabaran sekali lagi. Lorong kecemasan yang sedia terhidang di sebelah kiri itu jangan sesekali dicuba atau dirasa. Cuba elakkan aliran tunai mengalir ke kerajaan melalui Saman Trafik. Buat belanja beli susu anak pun ada afdalnya juga.

Sewaktu memandu tu pula, pandulah dengan tenang. Berikan jarak yang sewajarnya dengan kenderaan di hadapan. Kalau kenderaan dah mula cucuk rapat, elok juga anda mengalah dan memberikan laluan. Tak ruginya beralah. Dan bila dah sesak tu, perangai suka menukar lorong kejap ke kiri, kejap ke kanan usahlah diamalkan. Cukup 40 orang sumpah, alamatnya ke longkong tepi lebuhraya nak istigfar pun tiada gunanya.

Ada Masalah Pula, Bagaimana?

Sekiranya perjalanan pulang ke kampung terdapat halangan perkara yang tidak terduga, radiator bocor atau tayar pancit misalannya, cubalah berhenti di tempat yang benar-benar selamat. Jika perlu mendapatkan bantuan perkhidmatan kecemasan, hubungi sahaja PLUS atau syarikat penginsuran kenderaan bagi mendapatkan bantuan. Berbaloilah juga bayar premium insuran yang mahal itu kan. Jika berhenti, pastikan isyarat telah diberikan kepada pengguna yang lain bahawa anda sedang menghadapi masalah yang harus ditangani. Bimbang juga kena sodok dengan treler nanti.

Selamat Sampai Ke Kampung Halaman

Nah, setelah puas menempuh jem yang berpanjangan dari malam membawa ke malam, sampailah jua akhirnya ke destinasi yang dituju. Sebelum panjat tangga rumah di kampung, panjatkan juga ungkapan Syukur kerana anda kini telah selamat sampai di kampung halaman tercinta, Eceh. Maka dengan ini, gua bagi pihak GT ingin mengucapkan Selamat Menyambut Eidil Fitri kepada semua. Ingat, jangan pernah berkompromi dengan keselamatan. Pandu Cermat, Jiwa Selamat.

-min-

CAM Plutus Motorhome / D-Max Motorhome

gt2-horz

Pembaca GT sebelum ini tentu pernah terbaca tentang artikel yang gua karang mengenai sebuah Chana Era yang telah disumpah untuk menjadi sebuah Campervan. Malangnya idea tersebut untuk dijadikan sebagai produksi massa gagal dek kerana kekangan undang-undang yang tidak membenarkan kenderaan komersial didaftarkan sebagai kenderaan penumpang. Nah, kini gua bawakan kepada pembaca GT secara ekslusif dua buah kenderaan jenis pikap yang telah dipasangkan kabin di bahagian belakang untuk menjelma sebagai sebuah Motorhome yang lengkap serta boleh dipandu terus untuk menuju ke Cherating pada musim cuti sekolah ini tanpa perlu bimbang tempat penginapan habis ditempah.

Barangkali Isuzu D-Max 4×2 tidak perlu diperkenalkan secara mendalam kepada pengguna kenderaan jenis pikap di Malaysia ini. Cuma, jenama CAM Plutus yang berasal dari Tanah Besar China ini barangkali kelihatan sedikit asing pada pandangan mata kita semua.

Jadi marilah gua terangkan serba ringkas tentang pikap yang telah digunakan sebagai Motorhome ini. Model CAM Plutus 4×2 ini  telah dibekalkan dengan enjin 2.8L TDi bagi membawa sebuah keluarga kecil untuk menyusuri persisiran pantai menghala ke Kuala Terengganu dengan mudah dan pantas. Enjin 4JB1TI yang berasal dari Isuzu ini mampu menghasilkan kuasa Tork pada 230Nm yang dirasakan memadai untuk mengheret kabin besar di belakangnya sewaktu mendaki Genting Sempah. Ok, nak cerita lebih-lebih bab kenderaan / pikap ini, rasanya gua tak perlu ulang panjang lebar.

Kalau lu orang skeptikal tentang produk dari China ini, maka pilihan lain yang ada adalah Isuzu D-Max 4×2. Sebelum ada yang bertanya mengapa 4×2 sahaja yang menjadi pilihan dan bukannya 4×4, marilah gua terangkan. Secara mata kasarnya, lu orang boleh lihat mana-mana kenderaan 4×4 ini secara lahiriahnya lebih tinggi sedikit. Bila dah tinggi, maka urusan keluar masuk ke kabin barangkali menjadi sedikit masalah. Melainkan lu orang sanggup nak pasang escalator. Ok, yang sebenarnya ada peraturan had tinggi keseluruhan kenderaan yang perlu dipatuhi. Karang JPJ tak endorse, macam mana nak jual? Nak jual mungkin boleh, tapi macam tak manis pula dipandang masyarkat sebab hujung-hujung yang kena saman adalah pembeli juga sudahnya.

Klik untuk bacaan seterusnya

Balik Raya Punya Cerita 2014

Safety

Ini merupakan tahun keempat gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Lama juga gua bersama keluarga GT ini. Kalau nak diikutkan, gua memang tak punya idea nak menulis bagaimana lagi dah. Tapi gua anggap, ini sebagai Khidmat Sosial jadi gua rasa tidak salah untuk berkongsi dengan Sekutu semua. Mana yang bermanfaat, silalah guna. Kalau gua merapu, anggap sahaja itu sebagai pemanis mulut untuk menyedapkan lagi bahan cerita.

  1. Seperti biasa, perkara-perkara rutin untuk pemeriksaan berkala gua fikir tak patut nak bagi ingat lagi dah. Besar panjang dah masing-masing, iya tak?
  2. Berkenaan timing belt, walaupun odometer baru menunjukkan perbatuan hanyalah sekitar 70,000km, tapi gua rasa elok juga tukar jika tempoh hayat kenderaan telahpun melebihi usia 4 tahun. Getah dah mati orang kata. Ibarat bom jangka boleh putus sewaktu mendaki Bukit Putus. Clutch Plate kalau dah kematu pun elok pergi tukar juga.
  3. Pastikan juga keadaan angin tayar mencukupi untuk menampung lebihan bebanan kenderaan. Angin tayar simpanan pun jangan lupa juga untuk diperiksa.
  4. Afdalnya, bacalah doa minta dipermudahkan sebelum memulakan perjalanan waima lu orang hanya nak balik kampung setakat Beranang sahaja. Minta dengan Dia, Insya Allah Dia pasti bagi.
  5. Usai membaca doa, pakailah tali pinggang kaledar demi keselamatan. Patutnya perangai tarik tali pinggang kaledar hanya sewaktu berhadapan dengan Penguatkuasa tidak lagi berlaku. Berhadapan dengan sekatan jalanraya takut. Berhadapan dengan kemalangan haram nak beringat.
  6. Buatlah isian petrol yang berhampiran dengan perjiranan rumah anda. Ketahuilah, punya berderet kenderaan yang beratur untuk mengisi petrol di kawasan yang berhampiran dengan Plaza Tol serupa malam hari waktu harga petrol menaik.  Buang masa bukan? Isian semula kad Touch n Go pun boleh dilakukan bersekali.
  7. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan diri pemandu berada cukup cergas.  Apatah lagi nak memandu siang hari di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mengantuk dan dahaga memang berkawan baik pada masa ini.  Jadi, silalah sedar diri dan berhentilah berehat buat seketika di Rehat & Rawat.
  8. Buat mereka yang memandu MPV buatan Thailand berjenamakan Jepun, silalah sedar diri sekali lagi bahawasanya yang dipandu itu adalah MPV bukannya GT86. Usah dicuba untuk memotong kenderaan di hadapan sekiranya kadar ketewasan kepada Lori Balak yang bertentangan sangat tinggi. Ingat, destinasi akhir yang dituju adalah Felda Chiku, Gua Musang dan bukannya Hospital Bentong.
  9. Genggam erat stereng dengan menggunakan kedua belah tangan pada had kelajuan kebangsaan. Jangan dibuat perangai belum cukup umur pegang stereng tangan sebelah sahaja.
  10. Kalau boleh memandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah selaju itu. Karang dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas yang dasyat, nak menyesal pun tiada guna. Itu jam baru lu orang sedar apa itu ertinya jiwa kelajuan.
  11. Nak pandu laju boleh, tapi tolonglah jangan konsisten erti. Er, maksud gua pedal minyak tu sentiasa berada di lantai. Jenis merembat tak tentu hala. Ingat, lu orang bukanlah Lewis Hamilton yang punya tahap konsentrasi yang cukup tinggi untuk memandu laju.
  12. Memandu laju di lebuhraya dengan jumlah kenderaan yang banyak agak ekstrem juga sebenarnya. Kebarangkalian kenderaan di hadapan menekan brek akibat ada kenderaan lain yang menukar lorong sesuka hati tanpa memberikan signal memang lumrah. Jadi, jarakkanlah dengan kenderaan di hadapan.
  13. Bila dah bertembung dengan kesesakan lalu lintas di lebuhraya, janganlah dibuat perangai menggunakan Laluan Kecemasan itu. Berbuih dah pesan, masih nak guna juga atas alasan nak cepat sampai. Kalau nak cepat sampai, balik kampung dua minggu sebelum raya derr!!
  14. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  15. Sewaktu menghampiri Plaza Tol Sg Petani Utara misalannya, silalah keluarkan Kad Transit & Kad Touch n Go dengan kadar segera. Patutnya tak dibuat lagi dah perangai terhegeh-hegeh nak cari kad & wang sewaktu berhadapan dengan Akak Jurutol itu. Ingat, ini bukannya macam cerita Tol Gate Girl. Kenderaan di belakang beratur bukan main banyak lagi.
  16. Sewaktu dah selamat sampai ke kampung halaman, silalah panjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Bukan semua orang mampu sampai dengan selamat dan bergaya. Masih ada lagi insan-insan yang hanya mampu sampai setakat Wad Kecemasan sahaja.

P/S: Pesanan akhir gua cuma satu, berhati-hatilah dan sentiasa berwaspada dengan keadaan kenderaan & jalanraya. Moga Sekutu semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Selamat Hari Raya Eidilfitri. Maaf Zahir & Batin.

Sama-sama kita doakan agar perjalanan pergi dan pulang semuanya selamat dan di bawah lindungan Nya. Amin.

#prayforgaza #prayforworldpeace

-min-

ZNA Succe: Kembar Siam Nissan Serena?

ZNA 2013.01

Amacam, sekali imbas apabila melihatkan kelibat kenderaan ini pasti bayangan Nissan Serena jelas diingatan. Gua juga sebegitu sebenarnya. Keliru dibuatnya. Akan tetapi setelah menjalankan siasatan dalaman, barulah kefahaman terbit dalam jiwa nurani hati ini. Baiklah, gua perkenalkan terlebih dahulu akan gerangan MPV ini. Nama penuh dalam IC beliau adalah ZNA Succe dan berasal dari negara China. ZNA Succe ini sebenarnya telah dibesarkan di utara Semenanjung. Er, maksud gua ZNA Succe ini telah dipasangkan di kilang di Pulau Pinang melalui syarikat HSZNA Vehicles Sdn Bhd. ZNA ini atau nama panjangnya adalah Zhengzhou Nissan Automobile. Nah, sudah tentu Sekutu semua faham bagaimana ZNA Succe ini boleh kelihatan sedikit serupa dengan Nissan Serena.

Ternyata kehadiran pasukan HSZNA Vehicles selaku pengedar dan pemasang yang sah sewaktu KLIMS 2013 tempohari tidak lain dan tidak bukan sudah tentulah mahu mencuri sedikit kek pasaran dalam segmen MPV bukan kebangsaan. Sebenarnya tidak banyak maklumat yang berjaya gua kumpulkan kerana ZNA Succe ini dijangka membuat debut di atas jalanraya tanahair sekitar awal tahun hadapan. Dari segi harga, ianya dijangka diletakkan pada aras harga sekitar RM80,000. Untuk MPV yang bersesaran 2.0, gua fikir aras harga tersebut sudah dikira memadai untuk sebuah kenderaan yang berasal dari Tanah Besar Tembok China. Apa yang menarik tentang MPV ini adalah, faktor keluasannya yang sememangnya tiada tara. Besar dan luas. Kombinasi tempat duduk 2+2+3 dijangka memberi kepuasan buat anak-anak kecil untuk ke berpindah-randah dari tempat duduk hadapan ke belakang dengan mudah. Malah, MPV ini turut dilengkapi dengan pintu gelonsor bagi memudahkan penumpangnya keluar masuk tanpa ada masalah terutamanya di ruangan parkir yang sempit.

Klik untuk bacaan seterusnya

Chana Era Star, Campervan Custom!

Chana Era Campervan 3 2013.01

Amboi, bukan main skema tajuk entri gua kali ini Patuh Kamus Dewan orang kata. Beberapa purnama sudah gua pernah paparkan berkenaan spesis kenderaan yang telah mengalami mutasi, daripada sebuah lori kecil  menjadi sebuah Campervan. Ianya telah dibuat secara dalaman (in house) oleh insan yang menaruh minat begitu mendalam terhadap aktiviti kembara sebegini. Lori Chana yang gua paparkan ini bukanlah yang pertama dan bukanlah yang terakhir hasil kerja tangan beliau. Kini beliau menghabiskan sisa-sisa hidupnya (eceh..ayat serupa Majalah3 pula gua rasa) terhadap kerja-kerja merestorasi semula mana-mana kenderaan yang sesuai untuk disumpah menjadi Campervan.

Klik untuk bacaan seterusnya

Peugeot 2008: Crossover Urban Yang Kacak

Peugeot 2008 2013.03

Jenama Peugeot di Malaysia sebelum-sebelum ini bolehlah dikira sebagai melalui zaman suram. Namun semenjak Kumpulan Naza mengambil alih tampuk selaku pengedar sah, ternyata jenama buatan Perancis ini semakin mendapat tempat di kalangan pembeli tempatan. Kalau dilihat di jalanraya bandar-bandar besar, tidaklah sukar untuk melihat sang jejaka memandunya dengan penuh gaya. Tidak hanya menampilkan kereta sedan eksekutif, Peugeot kini tampil dengan barisan jentera yang mampu memenuhi selera setiap pembeli.

Peugeot 2008 2013.01

Bagi yang inginkan Crossover kecil, bergaya, moden dan ingin lari dari imej K-Pop, maka sewajarnya 2008 ini menjadi idaman hati. 2008 ini yang dibina berasaskan model 208, berjaya mewarisi rekaan Crossover mereka sebelum ini, 3008. Cumanya 2008 ini tampil dengan imej yang lebih maskulin dan perkasa, seumpama Fizo Omar gua rasa. Dengan dibantu Smart Park Assist pasti urusan keluar masuk ruangan parkir menjadi lebih mudah. Manakala bumbung panorama dengan lampu mood pasti memberikan perasaan yang berbeza sewaktu memandu di waktu malam sambil melihat awan di atas sana.

Skrin sesentuh berwarna 7 inci sambil dibantu oleh sistem bunyi Arkamys 3D yang handal cukup untuk menghiburkan halwa telinga dikala menempuh kesesakan di bandar-bandar besar. Untuk memudahkan urusan mengangkut muatan yang lebih besar, Smart One Touch Foldable Rear Seat pula tersedia untuk memudahkan kerja. Sebagai ciri standard keselamatan, enam beg udara dipasangkan berserta dengan ESP.

Peugeot 2008 2013.02

Di bawah hud enjinnya pula, bersemadi dengan tenang enjin 1.6 liter VTI, sama seperti model Peugeot 208 yang mempunyai kuasa 122 PS/160 Nm masih dikira memadai untuk sebuah Crossover bersaiz seperti ini.

Walaupun tempahan kini telah dibuka, namun dijangkakan model 2008 ini hanya akan dilancarkan pada awal tahun hadapan dengan aras harga sekitar RM118,000. Gua fikir, 2008 ini Jurujualnya tidak menghadapi masalah yang besar untuk menyakinkan masyarakat kenapa mereka harus beralih kepada jenama buatan Perancis ini. Setakat nak meredah banjir kilat di Kuala Lumpur ini gua fikir tak adalah rasa goyang sangat kepala lutut enjin mati ke tidak..iya tak?

-min-

Balik Raya Punya Cerita 2013

GT

Ini merupakan tahun ketiga gua menulis berkenaan Balik Raya Punya Cerita. Tahun pertama, gua menulis dengan sepenuh hati dengan harapan ianya boleh dikongsikan dengan Sekutu semua. Manakala, tahun sudah gua sekadar membuat versi facelift sahaja. Maka, tak tergamak pula gua nak bagi versi facelift sahaja untuk tahun ni, serupa pengeluar kereta , tukar warna cat pun sudah dikira versi facelift. Mana aci kan. Gua tidak boleh jadi serupa itu.  Maka, tahun ini gua tulis baharu. Isinya masih lagi sama, tapi gua persembahkan semula. Kira serupa remaking jugalah.

  1. Perkara asas seperti penyelenggaraan berkala gua kira tak perlu untuk gua ingatkan sangat. Masing-masing dah besar panjang. Cukup masa, pergi bengkel tukar benda-benda asas. 
  2. Jikalau odometer kenderaan lu orang itu dah cecah sampai ke 75,000 ada eloknya gua fikir lu orang pergi tukar timing belt.  Walaupun sesetengah pengeluar memberikan jaminan bahawa tidak perlu ditukar sehingga ke 100,000 km, tetapi dengan corak pemanduan serupa pelumba rali gua fikir elok abaikan sehaja kata-kata tersebut. Melainkan lu orang jenis tak kisah nak menunggu kereta kena towing dinihari akibat timing belt putus tidak mengapalah.
  3. Kondisi tayar harus juga diperiksa keadaan getah & bunganya juga. Bimbang terdapat sebarang rekahan mahupun bunga tayar yang dah tak serupa bunga sangat. Pastikan keadaan angin mencukupi untuk menampung keseluruhan penumpang dan juga beg-beg serta berbotol-botol kerepek yang turut diangkut pulang beraya. Oh ya, tayar simpanan pun kena periksa juga kondisinya. Kalau jadi sesuatu tengah hutan di kawasan Gua Musang, tengok-tengok tayar simpanan pula kempis. Nak menangis tepi jalan pun memang elok sangatlah.
  4. Macam biasa, sebelum memulakan perjalanan, baca apa-apa yang patut minta dipermudahkan perjalanan.
  5. Tali pinggang kaledar itu pakailah sebelum memulakan perjalanan yakni sesudah membaca doa. Tabiat buruk hanya memakai tali pinggang kaledar sewaktu ternampak kelibat En. JPJ & En. Trafik silalah tinggalkan. Ingat, keselamatan itu penting.
  6. Sila pastikan juga terdapat sebotol air mineral bersaiz besar, mana tahu kalau-kalau suhu enjin kereta terasa panas macam nak demam. Kan berguna tu.
  7. Sewaktu membuat isian petrol di kawasan rumah, silalah membuat tambah nilai kad Touch n Go demi memastikan kelancaran sewaktu melepasi Plaza Tol. Tak kacak langsung jenis yang beratur mengambil tiket / kad transit.
  8. Bagi yang memandu pulang ke kampung di kala bulan mengambang pastikan cukup cergas dan tidak mengantuk untuk menempuh perjalanan jarak jauh. Sediakan minuman penambah tenaga ataupun kudapan bagi mengelakkan rasa mengantuk. Tapi kalau dah menguap sampai lima enam kali, eloklah berhenti sebentar di R & R yang disediakan.
  9. Sewaktu berhenti untuk tidur sebentar di R & R, pastikan anda mengunci semua pintu dan bukalah sedikit tingkap demi memastikan ada pengaliran udara yang segar dari luar. Tak sedap juga esok keluar berita ada yang lemas dalam kereta kan.
  10. Silalah hormati hati dan perasaan pengguna lebuhraya yang lain sama. Kalau dah rasa 110 km/j itu dah cukup laju di lorong kanan silalah beri lalun kepada jentera sukan buatan Jepun dan Malaysia seperti Evo X dan juga jelmaan Evo X  untuk memotong. Jangan buat perangai keras hati tidak mahu memberikan laluan hanya kerana kereta standard kilang yang dipandu telah pun menyamai had kelajuan kebangsaan. Tak ada salahnya beralah.
  11. Jika memandu laju di lebuhraya, pastikan kedua belah tangan kemas berada di stereng. Memegang stereng sebelah tangan sambil memandu laju boleh dianggap sebagai aktiviti ekstrem. Dibuatnya tayar depan sebelah pecah, impak yang terjadi memang lu orang tak sanggup nak bayangkan.
  12. Silalah berikan signal dengan sewajarnya untuk memotong / memasuki simpang. Tidaklah pula nanti si pereka kereta berasa kecil hati kerana penat mereka untuk mencipta stick signal tersebut tapi lu orang tidak mahu menggunakannya.
  13. Sekiranya perlu membuat pit stop di tepi lebuhraya kerana tayar pancit misalannya, silalah pastikan ada sebarang tanda diletakkan di bahagian belakang kenderaan, sekurangnya 10-15 meter sebagai tanda isyarat anda mengalami masalah. Dan silalah berhati-hati sewaktu menukar tayar tersebut secara indie. Jika perlu, hubungi sahaja PlusLine dan tunggukan sahaja kehadiran PlusRonda untuk membantu sama menukar tayar tersebut. Tidaklah berasa rugi sangat bayar tol mahal-mahal tu kan.
  14. Ingat lagikah peraturan dalam buku kecil sewaktu nak mengambil ujian JPJ dahulu, ada menyatakan kita hendaklah mengamalkan prinsip “tunda 4 saat” berbanding dengan kenderaan di hadapan. Jadi silalah amalkan. Sempatlah lagi nak mengelak kalau-kalau kenderaan di hadapan membuat perangai nak tekan-tekan brek.
  15. Jika memandu di lebuhraya, tolonglah juga jangan memandu dengan kelajuan basikal hanya kerana nak mengamalkan prinsip biar lambat asalkan selamat. Kalau dah boleh pandu dengan had kelajuan kebangsaan, pandulah dengan kelajuan tersebut. Jangan nak mengada-mengada perlahan sangat. Ingat, ini lebuhraya. Pandu perlahan pun sebenarnya boleh jadi punca kemalangan juga.
  16. Dijangkakan lebuhraya juga bakal bergerak tak berapa nak laju akibat daripada pertambahan jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda. Jadi, silalah bersabar. Jangan buat perangai iblis dengan memotong barisan di laluan kecemasan. Geng penunggang motosikal yang guna laluan kecemasan itu jangan buat-buat tak perasan pula. Hormati hak pengguna yang lain.
  17. Bila berhadapan dengan kesesakan di lebuhraya, mulalah nak mengemaskini status FB masing-masing. Eloklah begitu, berkongsi maklumat dengan rakan-rakan yang lain. Tapi jangan sampai ralit sehingga menyebabkan kereta di hadapan dah jauh bergerak hingga menyebabkan kenderaan di belakang mula sakit hati. Itu hanya akan melambatkan perjalanan.
  18. Jika bertembung dengan kenderangan yang mengalami kemalangan / kerosakan , gua mohon sangat-sangat agar di doakan sahaja yang baik-baik buat mereka. Panjatkan doa agar kesulitan yang mereka alami dipermudahkan urusannya.
  19. Sewaktu menghampiri plaza tol, silalah sediakan tiket transit dan wang pertukaran seawal mungkin. Jangan buat perangai dah sampai depan kakak plaza tol baru terhegeh-hegeh nak cari itu ini.
  20. Jika menggunakan laluan persekutuan ataupun laluan lama, silalah pandu dengan penuh hemah dan tatasusila. Ada masa boleh potong, potonglah. Jikalau tidak, duduk sahaja di belakang lori tanah dengan penuh rasa sabar.
  21. Sewaktu selamat sampai di kampung halaman tercinta lagi dirindui, janganlah lupa untuk panjatkan rasa syukur. Ingat, apa pun pandu cermat jiwa selamat. Biar cepat asalkan selamat.

p/s: Kalau nak tolong kongsi dengan orang lain pun silakan. Dapat juga gua tambah pahala.

-min-

RV : Wujudkah Di Malaysia?

gt1

Caravan /campervan / motorhome / ataupun kita lebih terbiasa dengan panggilan RV (Recreational Vehicle) ini sememangnya sudah pun wujud di benua Eropah semenjak tahun 1810 lagi dengan menggunakan kenderaan berbentuk wagon. Selain digunakan untuk mengangkut barang dan orang, ianya juga turut dijadikan tempat tinggal pada zaman yang mana belum wujudpun lagi hotel mahupun rumah tumpangan. Namun industri ini mula berkembang secara pesat pada awal 1900an dengan Canada mendahului carta pembinaan motorhome berasaskan casis kereta dan juga trak. Diikut beberapa tahun berikutnya, RV di Amerika Syarikat juga semakin berkembang pesat. Manakala, di Tanah Melayu pula, dipercayai industri ini dikatakan telah berkembang sekitar zaman Hang Tuah lagi. (Ok, sila jangan percaya, gua acah sahaja).

Sebenarnya, gua secara peribadi amat menggemari aktiviti santai sebegini, cuma belum pernah berpeluang untuk menjebakkan diri sahaja. Kalau sesiapa pernah ingat, ada sebuah filem, turut mengabadikan RV sebagai tema utama disamping tema kekeluargaan yang cuba disampaikan. Cuma kita disini, industri ini dikatakan hampir tidak wujud. Entah apa yang telah merasuk pemikiran, pada suatu ketika gua telah tergerak hati untuk membuat carian di alam maya wujud ke tidak kenderaan yang sebegini di bumi Malaysia. Hasil carian agak memberangsangkan juga kerana gua telah berjaya menemui beberapa kenderaan berspesis baharu untuk dikongsikan di dalam GT ini.

Atas kesedaran dan minat yang gua fikir amat mendalam, masih ada pihak yang sanggup untuk terjun dalalm industri ini. Gua fikir tanpa obses, ianya adalah satu perkara yang memang sukar untuk meneruskan penglibatan dalam aktiviti / industri sebegini. Apatah lagi untuk memasarkan sesuatu produk ke mata masyarakat.  Maka, atas sebab minat jugalah (gua percaya, pasti ramai yang menaruh hati dengan kenderaan sebegini), gua kongsikan untuk Sekutu semua berkenaan kenderaan serupa ini.

gt2

Maka, gua tampilkan buat permulaan, dua model yang telah diubah suai secara intensif & ekstensif untuk tatapan mata semua. Hasil penelitian di alam maya dan juga sesi persembangan menerusi talian telefon, gua dapati hasil akhir kerja tangan yang dilakukan agak memikat hati juga. Untuk makluman, lori kecil Chana Era itu telah pun diubah suai sebegitu rupa menjadi campervan sehingga berupaya menempatkan empat tempat tidur di dalamnya. Lain-lain kemudahan asas seperti tempat memasak dan bersuci turut ditempatkan di dalamnya. Gua nak kongsikan lebih-lebih pun payah sebab gua belum lagi bertentang mata dengannya. Van Jinbei itu pun serupa itu juga dia punya modifikasi. Setakat nak bermalam untuk dua orang berhenti tepi jalan memang lenalah tidur tu. Rasanya, itu sahaja yang mampu gua kongsikan buat permulaan ini. Nak cerita lebih-lebih pun, benda bukannya ada depan mata.

Diizinkan Tuhan, gua akan buat previu secara lebih mendalam nanti. Doakan sahaja, masa gua terluang hujung minggu ini. Memang lama sungguh gua tak menulis kat GT ni. Rindu juga dengan Matpon itu.

-min-

Sumber Gambar: FB Wingmotorhome