Teknologi DIG-S Nissan

Nissan Micra DIG-S 2011.04

Anak-anak muda yang bermain kereta lewat tahun 90an dan awal 2000 pasti teringat akan populariti Nissan March SuperTurbo. Kereta kompak itu sebaris dengan Daihatsu Charade, Toyota Starlet dan Suzuki Swift GTi. Nissan March SuperTurbo dengan hanya dua pintu adalah paling sukar diperolehi atau bahasa glamornya ‘rare’, uniknya March terletak pada teknologi enjin yang mengabungkan pengecas lampau dan pengecas turbo. Itulah yang dikatakan ‘super rare’, teknologi yang paling sukar di antara sukar. Bayangkan pada lewat tahun 80an pengeluar Jepun sudah bermain dengan teknologi yang rumit.

Seperti kebetulan dengan pergerakan trend dunia yang kembali kepada unsur-unsur retro, pengeluar kereta utama dunia kembali kepada teknologi turbo dan pengecas lampau dengan menambah baik bagi menyesuaikan dengan regulasi dan keperluan semasa. Teknologi pendesak boleh diibaratkan sebagai jalan pintas bagi mendapat kuasa ekstra dengan kadar segera daripada enjin. Manakan tidak, enjin berkapasiti sederhana seperti 1.6 liter tetapi output kuasanya seperti enjin 2.0 liter. Demam teknologi tidak terhad kepada pengeluar kereta dunia bahkan turut menjangkiti Proton di mana mereka sedang bersiap-siap bagi melancarkan Exora berkuasa turbo dalam masa beberapa bulan lagi.

Nissan Micra DIG-S 2011.10

Nissan tidak mahu ketinggalan dengan trend arus perdana, mereka juga mempunyai teknologi enjin kecil output besar yang diberi nama DIG-S. Akronim empat huruf itu merujuk kepada Direct Injection Gasoline-Supercharger yang memberi makna enjin tersebut menerima bantuan daripada pengecas lampau. Enjin DIG-S dikatakan mampu menghasilkan output tinggi di samping penggunaan bahan api yang ekonomikal serta emisi rendah. Enjin itu direka bagi memenuhi dan menjangkaui keperluan pemanduan harian masa kini di mana ianya sangat ideal untuk dipadankan pada Micra, kereta bandar terbaru Nissan.

Inovasi teknikal dipakejkan pada enjin DIG-S. Ianya menggunakan kitaran Miller dan pancitan terus bagi meningkatkan nisbah mampatan 13 kepada 1 untuk mendapatkan kecekapan kebuk manakala supercaj pula berfungsi bagi mendapatkan kuasa tambahan segera. Enjin bersesaran 1198cc tiga silinder itu menghasilkan output kuasa bersamaan enjin konvensional empat silinder 1.5 liter. Secara spesifiknya DIG-S berkuasa 98ps dengan 142Nm tork serta mampu memecut sehingga 180 km/j.

Nissan Micra DIG-S 2011.07

Melalui enjin DIG-S para Jurutera Nissan telah berjaya mencapai aras baru dalam standard industri, konfigurasi enjin tiga silinder itu dikatakan mempunyai beberapa kelebihan seperti lebih ringan dan kurang geseran hasil dari kurangnya peralatan yang bergerak. Pakej enjin dilengkapkan lagi dengan beberapa lagi teknologi seperti sistem Start/Stop yang menghentikan enjin dalam keadaan melahu seterusnya menjimatkan bahan api. Dipadankan dengan bateri berprestasi tinggi dan motor penghidup, sistem itu hanya mengambil 0.4 saat [model CVT] bagi menghidupkan enjin selepas dihentikan. Teknologi regeneration pula menjana semula semasa nyahpecutan melalui alternator yang mengecas bateri bagi membekalkan kuasa untuk peralatan elektrik seterusnya mengurangkan beban kepada enjin.

Nissan Micra DIG-S 2011.08

Micra DIG-S bukan setakat inovatif pada nadi kuasanya sahaja tetapi turut dilengkapi alat bantuan pemandu yang dikenali sebagai Parking Slot Measurement [PSM] system. Seperti namanya, sistem itu mengukur ruang parkir dan memaklumkan kepada pemandu sama ada ruang tersebut sesuai atau tidak untuk kereta. Dengan sistem itu masa dapat dijimatkan dan kuranglah kes-kes pemandu yang teragak-agak untuk parkir kereta mereka.

Dari segi luaran, Nissan Micra DIG-S lebih kurang sama sahaja berbanding Micra biasa, kedua-dua buah kereta mempamerkan lencana Nissan Pure Drive sebagai tanda emisi karbon oksidanya rendah dari 130g/km. Cuma yang berbeza hanyalah spoiler bumbung lebih panjang dan spoiler kecil pada bahagian depan kereta, walaupun tidak signikan namun pekali seret berjaya dikurangkan dari 0.33 kepada 0.29.

Nissan Micra DIG-S 2011.05

“Ianya jelas bahawa enjin baru kami, Direct Injection Gasoline-Supercharger menawarkan penyelesaian terbaik untuk kereta kecil seperti Micra. Dengan respon pendikit yang pantas, prestasi dan penjimatan bahan api, ianya lebih baik daripada enjin diesel dengan output kuasa yang sama, tambahan pula tahap emisinya jauh lebih baik,” kata Pierre Loing, Naib Presiden Strategi Produk dan Perancangan, Nissan International.

Walau bagaimanapun, jika anda berminat dengan Nissan Micra, harap maaf, kereta itu hanya ditawarkan di Eropah buat masa ini.

-Mak/d Uia-

Muhammad

5 Comments

  1. Pergh…canggih & terkini…Proton & Perodua cedok2 ler sikit idea dorg ni…:0)

  2. hahaha abah aku penah beli nissan langley tu…
    2 ribu ringgit ja, skrang dah jual…

  3. rasenye stakat ni Nissan March supertebo je kereta stendet kilang dgn supercas dan tebo digandingkan skali kan?

Kata Anda//