Pasukan Proton R3 Menjuarai Pusingan Akhir MSS 2014

Proton R3 MSS Final 2014.01

Pasukan Proton R3 telah menjuarai pusingan terakhir Super Series Malaysia 2014 yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 November lepas. Pasukan Proton R3 berusaha keras sepanjang perlumbaan hinggalah bendera penamat dilayangkan. Kereta Proton Suprima S R3 nombor 12 memenangi tempat pertama dan diikuti oleh Proton Prevé R3 nombor 11. Pasukan Proton R3 menggunakan segala keupayaan mereka termasuk berjaya melakukan dua hentian pit pantas dan semangat kerja berpasukan bagi meraih kemenangan terbaik pada musim ini.

Proton Suprima S R3 no. 12 dipandu oleh James Veerapen dan Tengku Ezan memenangi perlumbaan dengan masa 1 jam, 1 minit dan 35 saat dan lebih menarik apabila mencatatkan rekod sepusingan terbaik pasukan di dalam perlumbaan iaitu 2 minit 37 saat di dalam trek sepanjang 5.543km itu. Proton Prevé R3 no. 11 yang dipandu Syafiq Ali pula memenangi tempat kedua dengan masa 1 jam, 1 minit dan 57 saat.

Proton R3 MSS Final 2014.06

Turut membanggakan apabila beberapa Proton Satria Neo menyusuli bendera penamat iaitu tempat ketiga dari Pasukan Sakura-Tedco Racing, tempat keempat oleh Pasukan R Engineering dan tempat keenam oleh Pasukan Glocomp Racing. Tempat kelima diduduki oleh Pasukan Honda Malaysia Racing dengan kereta Honda City. Sebanyak 16 kereta bertanding di dalam Kategori Kereta Touring Malaysia (1600cc) yang terdiri daripada pelbagai jenama seperti Proton, Honda, Suzuki dan Toyota.

Juara keseluruhan dimenangi oleh Pasukan Sakura-Tedco Racing yang membawa jenama Proton dengan kereta Proton Satria Neo. Ini adalah kali keempat berturut-turut Proton Satria Neo memenangi keseluruhan kejuaraan iaitu pada tahun 2011, 2012 dan 2013 melalui Pasukan Proton R3 dengan kereta lumba Satria Neo R3.

Proton Suprima S Malaysian Touring Car – Eksklusif Untuk Pasukan Proton R3!

Proton Suprima S MSS 2014.08

Proton sejak dari mula ditubuhkan sememangnya memberi perhatian serius di dalam sukan permotoran bagi mengangkat jenama dan membuktikan keupayaan produk nasional negara. Proton terlibat di dalam pelbagai perlumbaan di dalam dan luar negara seperti touring, litar, tahan lasak dan yang paling menonjol ialah sukan rali. Bermula dari Proton Saga, Wira, Satria, Putra, Waja, Tiara, Satria Neo hinggalah kepada Preve hampir kesemuanya mencatat kejayaan tersendiri dan berjaya menarik perhatian ramai.

Terbaru Proton telah melancarkan Suprima S Malaysian Touring Car yang bakal digunakan Pasukan Proton R3 untuk musim perlumbaan 2014 seperti Malaysian Super Series (MSS) selain dari Preve dan Satria Neo.  Tugas utama pasukan ialah mempertahankan kejuaraan MSS musim lepas. Menariknya kereta lumba Proton Suprima S tidak menggunakan enjin CFE atau pun Campro seperti kereta lumba Preve dan Satria Neo malah menggunakan enjin Campro CPS yang telah dimodifikasi secara ekstrem. Penggunaan enjin aspirasi normal (NA) adalah biasa di dalam dunia perlumbaan litar disebabkan faktor ketahanan dan regulasi.

Walaupun begitu, penggunaan enjin NA tidak bermakna enjin itu tidak berkuasa. Sewaktu di dalam litar lumba faktor nadi kuasa hanyalah salah satu dari resepi kejayaan di mana lebih kuasa tidak semestinya bermakna lebih laju. Terdapat beberapa lagi faktor seperti skil dan talaan yang menentukan kemenangan.

Proton Suprima S Malaysian Touring Car tidak dijual kepada orang ramai dan khusus untuk perlumbaan sahaja menjadikan model itu sangat eksklusif.

Jangkakan model Suprima S atau grafik replika perlumbaan milik peminat berada di atas jalan raya tidak lama lagi.

Spesifikasi Proton R3 Suprima S

Engine Type

R3 Campro CPS 1597cc 16 valve
Engine Transmission F41 5 MT Close Ratio Gearbox
Power (bhp/rpm) 178 / 7500
Torque (Nm/rpm) 224 / 4000
Bodyshells R3 Lightweight Bodyshell + 6 Point Rollcage
Wheels R3 Lightweight 15 x 7 ET25 5H PCD 114.3
Tyres Hankook Ventus Z221 195 / 55R15 Semi Slick
Bodykit R3 Front Splitter & Side SkirtR3 Custom Brake Cooling Ducts

MSS P2, 2012: Proton R3 Kembali Bersaing!

Pasukan Proton R3 Racing akan kembali berlumba di dalam pusingan kedua perlumbaan Malaysian Super Series (MSS) pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Dua orang pemandu muda, Syafiq Ali dan James Veerappan akan memandu Proton R3 Satria Neo 1600cc dan mereka merupakan pelumba utama untuk dikalahkan memandangkan mereka berdua menjuarai pusingan pertama yang diadakan semasa GP Petronas pada bulan Mac lepas.

“Kami mempunyai dua pelumba yang sangat berbakat, pantas, komited dan fokus. Pada pusingan pertama mereka berdua telah mempamerkan kemahuan untuk menang dan sebagai satu pasukan, mereka berkerjasama untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Prinsipal Pasukan, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel.

Tidak seperti pusingan pertama, pusingan kali ini bakal menggunakan format perlumbaan baharu di mana kedua-dua pemandu perlu berlumba di dalam masa satu jam dan wajib membuat hentian pit dan penukaran pemandu. Untuk itu, Satria Neo yang digunakan telah ditambah baik selari dengan penggunaan format baharu yang diperkenalkan itu.

Proton Menjuarai MSS 1.6 Touring Car 2011

Proton pada hujung minggu lepas menamatkan perlumbaan Malaysian Super Series Championship (MSS) 2011 dengan menjuarai kategori 1.6 Touring. Di dalam perlumbaan pusingan kelima yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, Faidzil Alang memandu Proton Satria Neo manakala rakan sepasukannya, Syafiq Ali pula memandu Proton Gen2 dan menyumbang kemenangan 1-2.

“Keputusan ini adalah penyudah tahun yang gemilang buat Proton di dalam sukan permotoran, terutama sekali untuk Satria Neo apabila model itu cemerlang di dalam perlumbaan litar dan rali antarabangsa,” kata Pengarah Grup Pemasaran dan Penjenamaan Proton, John Doody Chacko.

Tambah beliau, prestasi kukuh Satria Neo pada tahun ini juga telah mewujudkan satu asas yang kukuh untuk Proton di dalam sukan permotoran antarabangsa.

Kemenangan Berganda Proton Di dalam MSS

Syafiq Ali dan Faidzil Alang berjaya menduduki podium pada Kejohanan Kereta Touring Malaysia (MSS) di Litar Antarabangsa Sepang pada hujung minggu lepas. Bermula dengan grid teratas, pasukan Proton R3 mendominasi dari awal hingga akhir perlumbaan sepuluh pusingan itu.

Syafiq yang memandu Proton Gen.2 memandu dengan pantas di hadapan Faidzil yang memandu Satria Neo R3. Lebih membanggakan apabila tempat ketiga perlumbaan pertama dan kedua dimenangi oleh Siah Wy Pyng yang turut memandu Satria Neo R3.

“Keputusan ini bukan setakat mencerminkan prestasi kebersaingan Gen.2 dan Satria Neo di litar bahkan melambangkan komitmen Proton untuk menjadi lebih baik,” kata Datuk Abdul Razak Dawood, Ketua Proton Motorsports.

“Proton mempunyai banyak rekod kejayaan di dalam perlumbaan rali dan litar dan ianya sangat membanggakan melihat kesinambungan tradisi itu.”