Diskaun 10% Tol KL-Karak Sempena Tahun Baru Cina 2017

Sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, ANIH Berhad, syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan insentif diskaun tol 10% kepada semua kelas kenderaan yang menggunakan Touch ’n Go dan SmartTag sebagai mod pembayaran.

Pemberian insentif ini akan bermula dari jam 12.00 pagi hingga 11.59 malam pada 28 Januari 2017.

Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Nik Hussein berkata, selain daripada pemberian insentif diskaun, syarikat juga menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur di musim perayaan ini.

Pematuhan TTA dapat membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan.

TTA membantu menyuraikan trafik di lebuh raya kerana lonjakan jumlah kenderaan di lokasi yang turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas pada musim perayaan, khususnya pada waktu-waktu puncak.

Sementara itu, Dato’ Nik Fauzi berkata untuk keselesaan pengguna dan kelancaran trafik di setiap plaza tol, pengguna disarankan untuk sentiasa memastikan baki kad Touch ‘n Go mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.

“Untuk makluman, perkhidmatan tambah nilai di lorong tol beroperasi mengikut keadaan trafik. Sekiranya trafik mulai padat, operasi tambah nilai akan ditutup bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol”, kata Dato’ Nik Fauzi.

Lokasi tambah nilai kad Touch ‘n Go ialah di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) seperti berikut:

  1. Plaza Tol Gombak
  2. Plaza Tol Bentong
  3. Plaza Tol Karak
  4. Plaza Tol Temerloh
  5. Plaza Tol Kuantan

Waktu operasi ialah dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Pengguna juga dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur untuk informasi terkini.

Terowong Genting Sempah Dibuka Seperti Biasa Pada Tahun Baru Cina dan Thaipusam

genting-sempah-2017-01

ANIH Berhad ingin memaklumkan Terowong Genting Sempah dibuka seperti biasa pada Jumaat, 20 Januari hingga Isnin, 13 Februari 2017 sempena cuti musim perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam. Pengumuman ini adalah tambahan kepada kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini berkenaan jadual kerja-kerja penyelenggaraan terowong selama 60 hari bermula 10 Januari.

Ia selaras dengan arahan kerja oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak membenarkan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan pada musim perayaan.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berkata, tarikh penangguhan seketika kerja dalam terowong ini adalah bagi memberi ruang kepada pengguna untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

“KKR dan ANIH Berhad bersependapat bahawa kerja-kerja penyelenggaraan di dalam Terowong Genting Sempah ini perlu dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan pada masa yang sama mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya.

“Justeru, dengan adanya jadual kerja ini, pengguna diharap lebih peka dan dapat merancang perjalanan khususnya pada musim cuti perayaan,” katanya.

BACA: Terowong Genting Sempah Ditutup dari 8 pagi Hingga 5 petang – Laluan Kontra Selama 60 Hari Bermula 10 Januari

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Dato’ Seri Liow Tiong Lai pula positif dan yakin dengan langkah-langkah yang akan dilaksanakan oleh ANIH Berhad dalam pengurusan trafik seterusnya mengurangkan masalah kesesakan ketika pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

“Sebagai Ahli Parlimen Bentong dan Menteri Pengangkutan, saya melihat ANIH Berhad telah mengambil kira pelbagai langkah yang perlu dalam pelaksanaan kerja-kerja tersebut, khususnya keselamatan dan jangkaan kesesakan pada cuti musim perayaan nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, mulai 10 Januari ini, laluan kontra akan diaktifkan dari Isnin hingga Khamis sahaja, iaitu daripada jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Laluan dalam terowong akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi. Jadual ini akan berterusan selama 2 bulan.

“Walaubagaimanapun, kita akan menangguhkan kerja-kerja tersebut dari 20 Januari (Jumaat) hingga 13 Februari (Isnin) bagi memberi laluan sempena cuti panjang perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam,” katanya.

Terowong Genting Sempah Ditutup dari 8 pagi Hingga 5 petang – Laluan Kontra Selama 60 Hari Bermula 10 Januari

genting-sempah-2017-01

ANIH Berhad akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah selama 60 hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang bermula 10 Januari 2017. Oleh itu, laluan kenderaan dalam Terowong Genting Sempah akan ditutup selama 9 jam sehari bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja berkenaan. Laluan kontra akan diaktifkan sepanjang tempoh kerja tersebut.

Laluan dalam terowong akan dibuka semula seperti biasa dari jam 6 petang hingga 7 pagi.

Di bawah adalah jadual penutupan lorong dalam Terowong Genting Sempah untuk rujukan pengguna:

genting-sempah-2017-02

Untuk makluman, kerja-kerja penyenggaraan akan dihentikan pada cuti musim perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

ANIH Berhad menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi papan tanda serta arahan yang diberikan petugas dilokasi.

Untuk sebarang maklumat, sila ikuti medium komunikasi seperti Facebook di Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta isu-isu lain di sepanjang jajaran lebuh raya KLK dan LPT 1.

Pengguna juga dinasihatkan untuk mengikuti akaun laman sosial LPT untuk merancang perjalanan. Mesej peringatan turut di paparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal.

ANIH Berhad mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama dari semua pengguna lebuh raya. Kesulitan kini adalah untuk keselesaan di masa hadapan.

DISKAUN TOL ELEKTRONIK 10% DI LEBUHRAYA PANTAI TIMUR (KLK & LPT 1) PADA HARI NATAL

christmas-tta_anih-berhad

Sempena menyambut perayaan Hari Natal bakal tiba, ANIH Berhad, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% untuk semua pengguna yang membuat bayaran secara elektronik di KLK dan LPT 1.

Diskaun ini akan ditawarkan secara 24 jam, bermula jam 12.01 pagi hari Ahad, 25 Disember 2016.

Pengarah ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein dalam satu kenyataan berkata, insiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Syarikat terhadap komuniti, selain bertujuan memberi peluang kepada pengguna membuat pilihan dan menikmati nilai tambahan dengan bayaran tol yang lebih rendah pada musim perayaan.

christmas-tta_anih-berhad-2

Selain daripada itu, ANIH Berhad juga turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai langkah untuk membantu pengguna menikmati perjalanan yang selesa di KLK dan LPT 1 pada waktu puncak di musim perayaan Hari Natal.

“Pengenalan jadual TTA sempena Hari Natal pula bertujuan untuk membantu menyuraikan aliran trafik ke waktu luar puncak, sekali gus membantu pengguna yang ingin ke pantai timur untuk menikmati perjalanan yang selesa,” katanya.

Pengguna dinasihati untuk merujuk kepada jadual TTA di laman web ANIH Berhad di www.anihberhad.com, mengikuti laman Twitter rasmi ANIH Berhad di @LPTTrafik atau Facebook di Lebuhraya Pantai Timur.

christmas-tta_anih-berhad-3

Jadual TTA yang diperkenalkan ANIH Berhad sejak 2009, terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Ia dirangka berdasarkan kepada analisis pergerakan trafik pada waktu puncak setiap kali musim perayaan pada tahun sebelumnya.

Pengenalan TTA bertujuan untuk membantu menyuraikan pergerakan trafik di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

PENUTUPAN HENTIAN KLK SEBELAH GOMBAK UNTUK KERJA NAIKTARAF

pelan-penutupan-hentian-sebelah-gombak

Bagi meningkatkan lagi tahap keselesaan pengguna lebuh rayanya, ANIH Berhad, pemegang konsesi bagi komponen Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan menjalankan kerja menaiktaraf lorong dan kawasan parkir melibatkan penutupan di Hentian Sebelah Gombak (menghala Kuala Lumpur).

Bagi memberi ruang kepada pelaksanaan kerja berkenaan, penutupan laluan masuk ke hentian itu akan dilaksanakan secara dua peringkat bermula 9 November ini.

Peringkat 1: 9 & 10 November 2016 (24 jam)
Penutupan kawasan parkir lori, Hentian Sebelah Gombak. HANYA kenderaan ringan sahaja dibenarkan masuk ke hentian sebelah pada tarikh tersebut.

Peringkat 2: 14 – 17 November 2016 (24 jam)
Penutupan sepenuhnya Hentian Sebelah Gombak. Ini juga melibatkan penutupan sepenuhnya fasiliti seperti gerai makanan/minuman, surau dan tandas.

Sehubungan itu, ANIH Berhad menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi semua papantanda serta arahan petugas dilokasi. Mesej penutupan turut di paparkan menerusi papan tanda elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya bagi membolehkan pengguna membuat persediaan awal dengan berhenti di kawasan R&R atau hentian sebelah yang lain, jika perlu.

Untuk sebarang maklumat, sila ikuti Facebook: Lebuhraya Pantai Timur dan Twitter @LPTTrafik bagi mengetahui status dan keadaan terkini serta merancang perjalanan di sepanjang jajaran lebuh raya di bawah kendalian ANIH Berhad.