MForce Bike Holdings kini pengedar baharu Benelli – Perkenal super moped pada bulan April 2017!

Benelli TRK 502

Benelli, pengeluar motosikal berkuasa tinggi dari Itali mengumumkan syarikat tersebut dengan rasminya melantik Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. sebagai pengedar baharu untuk motosikal Benelli di Malaysia mulai 1 Februari 2017. Dengan perlantikan tersebut, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar dan membekalkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi produk Benelli di pasaran Malaysia.

Perkhidmatan sedia ada Benelli tidak terjejas

En. Asri Ahmad, Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings memaklumkan semua pemilik Benelli akan terus menikmati faedah dan perkhidmatan tambahan yang dibekalkan oleh syarikat.

Sebagai tambahan, semua Pusat Servis Mforce di Malaysia akan memberikan sokongan perkhidmatan selepas jualan bermula dari bulan Mac kepada semua motosikal Benelli yang terjual sebelum ini.

Perkenal pelbagai model Benelli – Super moped pertama pada April 2017

Mforce Bike Holdings merancang untuk meningkatkan variasi model-model Benelli di Malaysia. Sebagai permulaan produk-produk seperti Leoncino 500, 302R, TRK 502 dan lain-lain sedang diberi perhatian serius oleh syarikat.

Selain dari motosikal berkuasa tinggi, Mforce Bike Holdings juga merancang untuk memperkenalkan super moped pertama Benelli dalam bulan April 2017 nanti. Enjin 150cc baharu pada moped tersebut mematuhi tahap piawaian “EURO STANDARD” dan dilengkapi dengan ciri-ciri utama seperti suntikan bahan-api, gear 6 kelajuan dan sistem penyejukan air.

Enjin ini telah diuji sejauh 20,000km dan diyakini mencapai citarasa yang diingini oleh pelanggan di Malaysia.

Peruntukan promosi besar

Pihak Mforce Bike Holdings telah pun menyediakan peruntukan yang besar bagi memastikan jenama Benelli lebih diketahui umum di Malaysia. Pelbagai acara promosi, pameran motosikal dan alatan pemasaran telah dirancang dan akan dilaksanakan untuk tujuan itu.

Khusus untuk kelab-kelab motosikal Benelli, Mforce menyarankan supaya menghubungi mereka di talian  04 -554 1777 (Paul) untuk pendaftaran dan bersama-sama di dalam program-program yang akan dianjurkan oleh syarikat di masa akan datang.

BENELLI TNT 135 Dilancarkan, Motosikal Mini Stailo – RM7,990.00

BENELLI Malaysia melancarkan model baharu di dalam barisan keluarga Benelli iaitu TnT135 di Kuala Lumpur. BENELLI TnT135 serba baru menampilkan enjin suntikan bahan api elektronik SOHC 4 injap sejukan pelincir bagi memberi daya pecutan dan kepuasan kepada yang inginkan tunggangan lebih sporty, ditambah dengan rangka tiub keluli menjadikan ia tunggangan lebih mantap pada semua jenis keadaan jalan raya.

“Meskipun model TnT135 ini dikategorikan sebagai motosikal mini, dari segi hamburan kuasa ia tidak mengecewakan. Dengan kawalan kuasa di tangan dan ketangkasan yang mudah dikawal, saya yakin motosikal baru ini mampu menakluki keyakinan dan naluri penungganya nanti” kata Low Kin Yong Pengurus Besar BENELLI Malaysia.

Banyak ciri menarik ditampilkan pada BENELLI TnT135 ini dan menjadi harapan kami agar ia dapat memenuhi citarasa para pemiliknya nanti bagi kegunaan harian.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Pemasaran BENELLI, Dante Richard Bustos, Pengerusi BENELLI Malaysia, On Thiam Chai dan Pengarah Eksekutif BENELLI Malaysia On Hai Swee.

Benelli TnT135 serba baru didatangkan dengan ciri-ciri berikut:

1) Mendapat status pensijilan penuh kenderaan cekap tenaga (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

2) Pensijilan Euro 4

3) Gear 5 kelajuan untuk tunggangan menarik dan lancar sehingga tahap maksimum.

4) Fork terbalik bersaiz 41 mm memberi kestabilan dan keselesaan ketika menunggang.

5) Sistem sensor ekzos oksigen ‘catalytic converter’ direka bagi mengeluarkan bunyi yang sporty untuk keriangan tunggangan.

6) Lampu depan LED direka dengan menarik bagi membolehkan cahaya terang dan lebih jelas ketika tunggangan siang atau malam.

7) Cakera brek depan bersaiz 220 mm dengan dua piston caliper bagi mengukuhkan cengkaman ketika membrek sebagai keselamatan tambahan.

Model ini didatangkan di dalam dua warna pilihan dan grafik yang menarik iaitu Merah dan Putih dengan harga jualan asas tidak termasuk CBP RM 7,990.00

Untuk masa terhad sahaja, BENELLI Malaysia menawarkan kepada 200 pembeli pertama BENELLI TnT135 sebuah topi keledar Givi M60.0 Skid Off Road berharga RM371.

BENELLI TnT135 akan berada  di pasaran menerusi semua pengedar bertaulliah BENELLI di seluruh negara mulai Disember ini.