TOYOTA RAIH 6 ANUGERAH KESELAMATAN ASEAN NCAP

toyota-asean-ncap-2016-01

UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), pengedar tunggal kenderaan Toyota di Malaysia menerima enam anugerah Grand Prix daripada New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP), dengan keputusan cemerlang bagi prestasi model-model kenderaan keluarannya ketika perlanggaran. Kenderaan Toyota yang dijual di Malaysia turut mencatat bacaan tertinggi bagi Child Occupants Protection (COP) dan Adult Occupants Protection (AOP) dalam ujian kemalangan ASEAN NCAP.

Model-model yang ditawarkan oleh UMWT untuk pasaran Malaysia menerima pengiktirafan bagi pelindungan terhadap penumpang kanak-kanak (Child Occupant Protection, COP) adalah terdiri daripada Toyota Rush, Hilux dan Innova serba baharu. Sementara itu, Toyota Sienta pula memperoleh markah terbaik bagi pelindungan penumpang dewasa (Adult Occupant Protection, AOP). Majlis penyampaian anugerah berkenaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang sempena acara Stop The Crash.

Toyota Rush 2015.03

Model Hilux dan Rush masing-masing menerima anugerah bagi prestasi terbaik bagi COP dalam kategori trak pikap dan SUV. Toyota Innova serba baharu, yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, merupakan MPV kedua Toyota yang diuji oleh ASEAN NCAP dan memperoleh pencapaian tertinggi bagi COP setakat ini dalam kategori berkenaan. Dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC) dan tujuh beg udara bagi varian paling tingginya, ia juga layak menerima penarafan lima-bintang bagi AOP.

MPV kompak Toyota Sienta yang dilancarkan Ogos lalu pula menerima markah tertinggi setakat ini bagi AOP bagi sebuah MPV. Juga dengan ciri kawalan kestabilan kenderaan (Vehicle Stability Control, VSC) yang ditawarkan pada model kenderaan ini, serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan dalam perlanggaran berdepan dan perlanggaran sisi, Sienta turut diberi penarafan lima-bintang bagi varian tertingginya.

ASEAN NCAP Grand Prix adalah bertujuan memperingati pencapaian kenderaan-kenderaan yang terlibat di dalam penilaian itu bagi tempoh dua tahun sebelum ini. Anugerah berkenaan terdiri daripada tiga perkara utama; pelindungan penumpang terbaik, teknologi keselamatan terbaik dan anugerah khas yang diberikan kepada kenderaan/syarikat yang menyumbang kepada meningkatkan aspek keselamatan di rantau ini.

Pada majlis berkenaan, Toyota turut menerima anugerah khas teknologi keselamatan bagi Toyota Blind Spot Monitor System yang terdapat pada model Toyota Camry Hybrid. Begitu juga dengan sebuah lagi anugerah, Rising Star Recognition Award yang diberikan kepada Toyota Corolla Altis kerana meluaskan penawaran ciri keselamatan VSC serta tujuh beg udara kepada semua variannya dalam pasaran di pelbagai negara.

Toyota Camry 2013.15

Bagaimanapun, keseluruhannya terdapat lapan anugerah diberikan kepada model-model keluaran Toyota yang dijual di rantau ASEAN, termasuk Toyota Agya dengan markah tertinggi di dalam COP dan AOP bagi kategorinya. Sejak 2012, model-model keluaran Toyota mengambil bahagian di dalam penilaian ASEAN NCAP.

“Anugerah-anugerah ini menunjukkan komitmen kami terhadap keselamatan kenderaan yang dikeluarkan serta kepada penumpangnya, yang sentiasa menjadi keutamaan Toyota. Ia dicapai melalui strategi bersepadu yang melibatkan individu, kenderaan dan trafik. Kami juga berjaya mencapai piawaian industri yang semakin tinggi kini bagi keselamatan kenderaan serta sentiasa berusaha untuk menepati jangkaan pengguna. Untuk mencapainya, Toyota akan terus bekerjasama dengan pengguna jalan raya dan kerajaan,” ujar Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama. Toyota meletakkan sasaran bagi sifar kemalangan maut sebagai visi keselamatannya.

“Kami sangat berbesar hati menerima anugerah-anugerah ini, yang mengiktiraf komitmen berterusan kami untuk memperbaiki keselamatan pada kenderaan. Sebagai sebuah pengeluar automotif utama dunia, adalah penting untuk memastikan kenderaan keluaran kami dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terbaik. Sebahagian daripada model-model kenderaan kami juga sudah diberi penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Kami akan terus meningkatkan aspek keselamatan pada kenderaan yang dikeluarkan, dalam usaha memberi pelindungan kepada pengguna,” jelas Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki.

Anugerah-anugerah berkenaan disampaikan sebagai sebahagian daripada acara Stop The Crash yang dianjurkan oleh ASEAN NCAP. Pertama kali dianjurkan di rantau ASEAN, ia diterajui oleh Global NCAP sebagai usaha baharu untuk mempromosi teknologi penghindar kemalangan pada kenderaan. Acara berkenaan juga terbuka kepada umum, untuk membolehkan orang-ramai mempelajari tentang teknologi-teknologi terkini yang melengkapi kenderaan mereka.

Untuk maklumat lanjut berkaitan ASEAN NCAP serta aktiviti dan keputusan terperinci setiap model, layari www.aseancap.org.

PROTON MERANGKUL 3 ANUGERAH PENCAPAIAN DI ASEAN NCAP GRAND PRIX AWARD 2016

ybhg-dato-radzaif-mohamed-dceo-of-proton-receives-the-award-2

PROTON Holdings Berhad menambah 3 lagi anugerah sebelum akhir 2016 bagi kereta kompak Iriz, sedan eksekutif Prevé dan model lagenda Saga baharu. Penyampaian anugerah ini adalah bersempena dengan acara Stop the Crash ASEAN 2016 yang sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang selama 2 hari, dari 29-30 November 2016. Acara ini juga diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-5 ASEAN NCAP.

3 anugerah yang dirangkul ialah:

1. Most Affordable 5-Star ASEAN NCAP Car in Malaysia – Proton Iriz,
2. Most Affordable 5-Star ASEAN NCAP Car in Thailand – Proton Prevé, dan
3. Rising Star Award – Proton Saga baharu.

“Dengan rasa rendah diri, kami amat gembira dengan pengiktirafan yang diberikan. Ini merupakan kemuncak kepada usaha berterusan PROTON dalam memberikan lebih nilai kepada pelanggan. PROTON memberikan penekanan kepada aspek keselamatan dan kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Semua varian Iriz dan Prevé didatangkan sepenuhnya dengan ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD), kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, beg udara dan sistem peringatan tali pinggang keledar. Melengkapi ciri-ciri keselamatan kereta itu adalah struktur badan Hot Press Forming (HPF), yang merupakan teknologi Jerman yang diterima pakai oleh PROTON. Struktur HPF boleh mencapai sehingga 5 kali lebih kekuatan dari logam biasa. Ini seterusnya menyediakan struktur badan yang lebih kukuh dan yang lebih penting, menguatkan kabin penumpang untuk perlindungan yang lebih baik.

“Generasi ke-3 Saga baharu, varian Premium 1.3L juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, beg udara, ISOFIX dan top-tether, dengan sensor keliling pada hanya RM45,800. Evolusi Saga mencerminkan kesungguhan PROTON untuk memperbaiki Saga dari hanya bertaraf 1 Bintang pada 2012 ke 3 Bintang pada 2013 dan baru-baru ini mencapai 4 Bintang apabila diuji pada 2016, seterusnya memenangi anugerah Rising Star. Kami bersyukur dengan pengiktirafan kerja keras ini dan kepercayaan berterusan ke atas produk kami. Ini pastinya menyuntik semangat agar PROTON terus bekerja kuat untuk memberikan produk dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dan menghasilkan kereta mampu milik dan selamat di rantau ini,” tambah Dato’ Fuaad.

ASEAN NCAP atau Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara merupakan usaha bersama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Global NCAP. Ia adalah tambahan kepada keluarga NCAP dalam meningkatkan piawaian keselamatan kenderaan, meningkatkan kesedaran pengguna dan menggalakkan kenderaan lebih selamat di rantau ini.

ASEAN NCAP S3 2014: Perodua Axia Mencatat Skor Empat Bintang

ASEAN NCAP Q3 2014.01

Kuching, 27 Ogos 2014 – Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan keputusan Program Penilaian Kereta Baharu Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) suku ketiga 2014 yang melibatkan empat buah kereta. Jenama dan model yang terlibat ialah Honda City 2014, Honda Jazz 2014, Tata Vista dan paling menarik ialah model baharu yang belum dilancarkan iaitu Perodua Axia.

Berikut ialah ringkasan keputusan;

1. Tata Vista – 3 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 3 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

2. Perodua Axia – 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

Dwi Rating

1. Honda City (2014) – 5 dan 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

2. Honda Jazz (2014) – 5 dan 4 Bintang untuk Perlindungan Dewasa (AOP) dan 4 Bintang untuk Perlindungan Kanak-Kanak (COP)

Kedua-dua Honda City dan Honda Jazz dijual di serata negara ASEAN dengan pelbagai lokasi pengeluaran. Walau bagaimanapun Tata Vista dan Perodua Axia masing-masing hanya dijual di Indonesia dan Myanmar manakala Axia hanya di Malaysia dan bakal dilancarkan di dalam masa terdekat.

Honda City telah memecahkan rekod di dalam AOP dengan skor 15.80 poin yang sebelum ini dipegang oleh Ford Fiesta dengan skor 15.73. Perodua Axia adalah kereta pertama yang diuji di bawah ASEAN NCAP yang akan dilancarkan berserta dengan keputusan ASEAN NCAP. Axia merupakan kereta dengan skor 4 bintang pertama yang paling mampu milik di negara ASEAN (walaupun hanya dijual di Malaysia) dengan harga permulaan RM24,900.