Suzuki SX4 2013: Penjelajah Urban

Suzuki Motor Corporation baru-baru ini telah mempamerkan kepada umum model baharu SX4 Crossover. Model tersebut merupakan gantian kepada model sedia ada yang turut dipasarkan oleh Suzuki Malaysia Automobile. SX4 adalah sebuah crossover, mungkin jenis kenderaan yang asing buat rakyat Malaysia. Saya pernah memandu uji SX4 beberapa tahun yang lalu dan kereta itu sebenarnya begitu praktikal. Kelegaan jarak buminya tinggi, tetapi tidak tinggi sangat atau just nice. Cerminnya juga luas, kedudukan kerusi juga tinggi, breknya bagus, output enjin mencukupi dan penggunaan minyak agak ekonomikal. Rekabentuknya pula cantik dengan pengaruh Eropah. Paling penting, harganya yang berpatutan iaitu sekitar RM90 ribu untuk sebuah kereta yang dikilangkan di Jepun. Senang kata, SX4 mempunyai pakej yang lengkap.

SX4 baharu dilihat sebagai penerus legasi model sedia ada dengan beberapa pembaharuan. Dengan sasaran untuk memenuhi kehendak pelanggan, pereka dan jurutera model baharu itu sedar mereka memerlukan set pemikiran baharu. Suzuki membangunkan SX4 dengan memberi fokus kepada gayaan, ruang yang luas untuk penumpang dan barangan juga emisi rendah. Ianya adalah model yang memberikan keseronokan pemanduan, praktikal untuk kegunaan keluarga dan juga sesuai untuk pelbagai keadaan. Rekabentuk SX4 dipengaruhi oleh tiga elemen iaitu emosi, kualiti dan aerodinamik. Apa yang dimaksudkan dengan emosi ialah garisan badan pada sisi kereta bermula dari bampar depan hingga ke lampu belakang. Bonet enjin yang membulat pula memberi visual kekuatan dan keteguhan. Aerodinamik kereta pula diserlahkan melalui beberapa gayaan seperti garisan bumbung yang condong ke bawah pada bahagian belakang, kontur yang diperhalusi pada bahagian sisi dan garisan fleksi dari depan hingga belakang dan roda seretan rendah.

Pada bahagian interior pula, panel instrumennya ringkas dan cantik dengan rekaan yang menampakkan ianya lebar dan dinamik. Kontur panel instrumen dipanjangkan hingga ke pintu dan material pembalut yang lembut pula sedap untuk dipegang. Kerusinya pula dibentuk untuk rasa yang sofistikated manakala dekorasi bewarna perak pula nampak sporti dan kontra kepada interior yang berwarna hitam. Bahagian belakang kerusi depan direka untuk memberi kelegaan pada penumpang belakang. Jarak antara penumpang depan dan belakang ialah 814mm. Jarak kelegaan kaki yang selesa sememangnya suatu yang penting untuk berjalan jauh terutama sekali untuk keluarga yang kampungnya di Kota Bharu terutama sekali sewaktu musim cuti. Sudahlah jauh, tiada kemudahan lebuh raya, jalan pula sesak seperti parkir kereta bergerak. Bahagian bagasinya walaupun dari luar nampak kecil tetapi walaupun dengan keadaan kerusi yang menegak saiznya adalah 430 liter. Kerusi belakang dan komponen bonet boleh diubahsuai untuk memuatkan pelbagai jenis bagasi.

Menggerakkan SX4 baharu ialah dua jenis enjin iaitu 1.6 liter petrol dan diesel. Enjin petrol sebenarnya diasaskan oleh inventori sedia ada iaitu M16A. Dengan semakan seperti penurunan geseran dan berat yang dikurangkan, enjin tersebut kini lebih menjimatkan tanpa menjejaskan kuasa dan tork. Enjin diesel SX4 pula menggunakan teknologi pengecas turbo geometri yang memastikan kuasa tork dibekalkan dari kelajuan enjin rendah supaya pemandu dapat menikmati kuasa pada setiap kelajuan. Penebat pada penutup enjin pula direka semula untuk mengurangkan gegaran dan bunyi yang sinonim dengan karakter enjin diesel.

Dipadankan dengan enjin petrol ialah transmisi lima kelajuan manual. Nisbah gear pula dioptimumkan untuk prestasi dan penjimatan minyak. ‘Bekas’ transmisi pula diubah supaya lebih tegar untuk meredakan bunyi dan gegaran untuk pemandua yang lebih relaks. Lagi menarik, enjin diesel dibekalkan dengan transmisi enam kelajuan manual. Untuk yang malas menukar gear, Suzuki turut membekalkan transmisi CVT yang mana julat gearnya dipadankan untuk pecutan, dakian dan penjimatan minyak. Normal untuk CVT ialah mod manual tujuh kelajuan dengan kawalan pedal anjakan (paddle shift).

Suzuki SX4 baharu ini hadir pada zaman industri automotif sedang agresif. Jika dahulu senang sahaja untuk Suzuki menjual kenderaan mereka. Tetapi roda sedang berputar dan harus tahu pada penghujung tahun lepas Suzuki mengumumkan yang mereka akan keluar dari bisnes kereta di Amerika Syarikat. Dengan model-model menarik dari Korea Selatan serta kebangkitan semula abang besar dari Jepun seperti Nissan keadaan semakin sukar. Lihat sahaja penerimaan model-model Suzuki di pasaran tempatan. Mujur mereka mempunyai Swift yang merupakan nadi utama perolehan syarikat. Apa pun, Suzuki mempunyai deposit yang selamat iaitu di India, pernah dengar Maruti Suzuki?

Garaj Kosmo

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.