Range Rover Sport: Lasak, Sporty dan Premium!

Sekadar untuk berkongsi, semasa saya kecil dahulu ada sebuah kereta yang langsung saya tidak gemar. Rekabentuknya kurang cantik, berkotak dan rasanya tiada ruang langsung untuk saya menyukai kereta tersebut. Tidak berapa lama kemudian kereta itu berada di bawah bumbung parkir rumah saya selepas seorang saudara meminjamkannya. Sempatlah juga menjadi kenderaan rasmi famili saya untuk beberapa bulan. Nama kereta tersebut ialah Range Rover, masa itu tidak wujud lagi terma SUV. Pada waktu itu Range Rover adalah sebuah SUV yang canggih dan mewah, saya yang masih lagi hingusan begitu kagum dengan teknologi yang ada pada SUV itu. Kagumnya saya hinggakan siap bertanya pada guru bahasa Inggeris maksud Range Rover.

Land Rover yang menjadi pengeluar model tersebut kemudiannya melalui zaman peralihan pemilik, daripada satu ke satu syarikat hinggalah sekarang ini dimiliki oleh Tata Motors, India. Selepas letusan yang berjaya dizahirkan oleh Range Rover Evoque, kini Land Rover memperkenalkan pula Range Rover Sport yang katanya merupakan model Land Rover yang paling pantas, lincah dan responsif. Dibangunkan bersama-sama dengan Range Rover standard, model Sport itu mempunyai ciri pemanduan dinamik dan masih mengekalkan kemampuan untuk meredah permukaan off-road. Interiornya pula lebih mewah dan menariknya Range Rover Sport mempunyai konfigurasi tempat duduk 5+2. Bukan itu sahaja malah model baharu ini lebih ringan berbanding model Sport lama hasil daripada penggunan struktur yang diperbuat daripada aluminium.

Kata John Edwards, Pengarah Jenama Land Rovel Global, “Range Rover Sport baharu ini adalah kenderaan yang telah direka dan dijuruterakan tanpa kompromi. Dengan kebolehan Land Rover sebagai paksi utama, ianya adalah kenderaan yang paling difokuskan kepada pemanduan yang pernah kami hasilkan tetapi masih mengekalkan keupayaan off-road. Ianya adalah kenderaan yang direka untuk dipandu. Kami telah meningkatkan pemanduan, pengendalian dan kelincahan ke tahap yang lain bagi memberi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, di samping kemewahan, kemampuan dan versatiliti.

Dengan rekabentuk baharu, Range Rover Sport kini lapan peratus aerodinamik berbanding Range Rover Sport lama dengan bacaan Cd sebanyak 0.34. Model baharu ini 149mm lebih pendek, 55mm pendek daripada model Range Rover standard dan menariknya perbandingan yang dibuat menyaksikan model sport lebih ringan berbanding model biasa. Walaupun dibangunkan bersama-sama Range Rover standard dan berkongsi peralatan hakikatnya model sport mempunyai 75 peratus peralatan unik, suatu jumlah signifikan yang membezakan rasa dan rekabentuk berbanding model standard.

Buat permulaan, pelanggan diberi dua opsyen enjin iaitu 5.0 liter supercharged V8 petrol berkuasa 510 ps dan 3.0 liter SDV6 diesel berkuasa 292 ps. Selepas itu, barisan enjin akan ditambah pada 2014 dengan 3.0 liter TDV6 berkuasa 258 ps dan enjin berprestasi 4.4 liter SDV8 diesel berkuasa 339 ps. Mengikut perkembangan semasa, enjin diesel hybrid juga akan turut ditawarkan kepada pembeli. Daripada segi pecutan ke 97km/j pula, masa yang diambil bermula dari 5 saat untuk kesemua varian enjin. Kesemua enjin petrol dan diesel Range Rover Sport dipadankan dengan transmisi canggih kawalan elektronik ZF 8HP70 8 kelajuan automatik.

Teknologi chasis yang digunakan pada model ini tidak kurang canggih antaranya Adaptive Dynamics yang menggunakan continuously variable dampers (CVD) dan untuk model yang lebih berkuasa dipasangkan Dynamic mode pada Terrain Response(R) 2 system untuk pemanduan yang lebih jitu di atas jalan raya. Sistem itu digabungkan dengan twin-channel Dynamic Response Active Lean Control, Dynamic Active Rear Locking Differential dan Torque Vectoring by Braking yang mengalihkan tork pada tayar bahagian luar semasa selekoh dan mengurangkan understeer. Model baharu itu turut mempunyai sistem kamera digital yang memberi bantuan kepada pemandu seperti Lane Departure Warning, Traffic Sign Recognition dan Automatic High Beam Assist. Satu lagi ciri inovasi unik pada model Sport ialah Wade Sensing yang memberi informasi kedalaman sewaktu mengharungi air.

Range Rover Sport dengan kombinasi prestasi dan versatiliti dikatakan bakal menjadi penerus populariti model sebelumnya yang mana sejak diperkenalkan pada tahun 2005 sudah terjual sebanyak 380 ribu unit. Model baharu itu bakal dijual di 169 pasaran di seluruh dunia. Sebelum lahirnya SUV seperti Porsche Cayenne, Audi Q5, BMW X5 atau pun Volvo XC90, model Range Rover adalah pilihan tetap mereka yang mahukan SUV premium. Lagi pula Land Rover adalah pakar kenderaan off-road, pengeluar itu tidak mempunyai kereta penumpang atau yang seumpamanya. Pakej yang menarik bukan? Kenderaan off-road yang digabungkan dengan ciri-ciri mewah dan sporty.

Newspress

@muhd_gt

Silakan kongsi:

1 comment

    • audi on 23/04/2013 at 12:16 AM
    • Reply

    Lupakan yg lain…hanya range rover

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.