PUSAT 4S UTAMA ETCM DIBUKA SECARA RASMI DI GLENMARIE

Nissan 4S Glenmarie 2015.01

GLENMARIE, 12 Ogos 2015 – Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) secara rasminya melancarkan Pusat 4S Nissan utama di Glenmarie hari ini. Majlis itu menandakan satu lagi pencapaian bersejarah buat ETCM yang hanya minggu lalu telah mengadakan majlis pembukaan besar-besaran Pusat 3S Taiping.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang diiringi oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings, Yang Berbahagia Dato’ Tan Heng Chew. Nissan diwakili oleh Naib Presiden Kanan Nissan Motor Asia Pacific Co., Ltd., Encik Kenji Naito, manakala ETCM pula diwakili oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Yang Berbahagia Dato’ Dr Ang Bon Beng.

Pusat 4S serba lengkap baharu ETCM ini memiliki ruang binaan seluas 165,318 kaki persegi. Ia dilengkapi sebuah Bilik Pameran, Pusat Servis, Pusat Alat Ganti dan Pusat Badan dan Cat. Malah, Pusat 4S ini turut memberi perkhidmatan sebuah pejabat dan ruang pameran Kenderaan Terpakai Nissan yang Bertauliah MUV, Divisyen Sewa Beli dan Insurans serta Pusat Pengedaran Kenderaan.

Ruang pameran yang luas itu mampu mempamerkan sehingga 15 buah kenderaan Nissan dengan 28 kakitangan Nissan profesional yang bertauliah untuk memenuhi keperluan pelanggan. Pusat servis yang canggih pula dikendalikan oleh 22 orang juruteknik berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Dengan 27 ruang servis, ia mempunyai kapasiti untuk menyelenggara sehingga 100 buah kenderaan setiap hari dan purata 3,000 kereta sebulan. Sementara itu, Pusat Badan and Cat pula menawarkan servis pembaikan dan penjajaran badan kenderaan, menyiapkan permukaan kereta untuk dicat serta mengecat.

Nissan 4S Glenmarie 2015.02

Kemudahan ini juga dilengkapi dengan lounge moden dan ruang minuman dan ketika menunggu, para pelanggan boleh menikmati ketersambungan WIFI. Bagi memberi kemudahan kepada pelanggan yang membawa anak-anak, ruang Kid’s Corner ada disediakan untuk mereka berhibur.

Berucap pada majlis pembukaan tersebut, Dato’ Dr Ang berkata, “Kami berpegang kepada falsafah untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan di seluruh rangkaian kami. Sama ada Pusat 1S atau 3S, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan sebaik sahaja mereka melangkahkan kaki ke dalam bilik pameran. Dengan pelaburan keseluruhan mencecah RM20 juta, Pusat 4S utama ini adalah lambang perkhidmatan yang kami bayangkan bagi pelanggan kami di ETCM dan Nissan. Lokasinya yang strategik, berada di tengah-tengah hab industri automotif terkenal di Glenmarie membuatkannya amat mudah untuk diakses oleh para pelanggan kami.”

Sejak 12 bulan lalu, kami cukup agresif dalam menaik taraf rangkaian dan kemudahan demi memenuhi permintaan para pemilik kenderaan Nissan di seluruh negara. Aspek ini amat penting kerana dengan barisan model Nissan yang telah kami perkenalkan, kami juga cuba untuk memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas dan bijak menilai. Tambahan pula dengan set baru ini, kami menawarkan peluang pekerjaan sehingga 120 orang pekerja baharu di Pusat 4S Utama ini apabila ia beroperasi sepenuhnya,” tambah Dato’ Dr Ang.

Demi meningkatkan lagi kemudahan Pusat 4S ini, ETCM buat pertama kalinya telah memperkenalkan konsep peruncitan unik dengan menempatkan sebuah butik sukan bermotor dan butik V-Kool untuk para pelanggan mengubah suai kenderaan mereka; dan Zen Lounge. Bagi mereka yang mempunyai kecenderungan sporty yang menghargai pemanduan dinamik yang dipertingkatkan, produk rasmi NISMO dan IMPUL boleh dibeli dari butik sukan permotoran. Produk-produk, aksesori dan perkhidmatan V-Kool yang ekstensif boleh didapati di butik V-Kool. Ini termasuklah pemasangan filem automotif, perincian, produk penjagaan kereta dan balutan badan kenderaan yang ditempah khas. Bagi mereka yang ingin bersantai, mereka boleh berbuat demikian di Zen Lounge yang dilengkapi kerusi urut Gintell.

Sehingga kini, ETCM memiliki rangkaian ekstensif melibatkan 100 buah bilik pameran termasuk pengedar dan 60 buah Bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.