Proton Persembahkan Model Prototaip Iriz Active

image

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Proton Holdings melancarkan model prototaip Proton Iriz Active sempena Karnival Alami Proton di Shah Alam. Model prototaip tersebut adalah lanjutan varian yang boleh dilakukan kepada model Iriz yang baru dilancarkan Khamis lepas. Jenama Active sebenarnya merujuk kepada varian kereta Proton yang menjurus kepada gaya hidup aktif. Ciri utamanya ialah jarak kelegaan bumi yang tinggi, teknologi moden dan kelengkapan astetik yang menyerlah.

image

Proton | Design telah mengolah semula Proton Iriz dengan menambah beberapa peralatan seperti kit badan, palang bumbung dan ketinggian yang terus merubah konsep asal kereta kompak ini. Reka bentuk lampu LED siang hari, isyarat dan belakang menggunakan teknologi nyalaan baharu yang dikenali sebagai Nexlide dengan bentuk yang boleh dilentur. Warna kusam Earth Grey pula melambangkan sentuhan futuristik sebagai tema kereta prototaip ini.

Pada bahagian dalaman, panel instrumen didominasi oleh skrin sesentuh pelbagai fungsi yang lazim digunakan. Paparan grafik pula boleh diubah mengikut selera peribadi dan lari dari kebiasaan, imej kamera undur ditayangkan pada konsol yang dilekatkan pada lelangit kereta. Senada dengan imej ranggi, kerusi digayakan supaya nampak gagah, dinamik dan meriah ibarat kereta sport mewah.

Kepada yang berminat, Proton Iriz Active tidak susah untuk menjadi model produksi memandangkan varian Cross seperti ini adalah kebiasaan buat pengeluar utama dunia. Cuma sebelum itu model ini dirangka untuk menilai sejauh mana pasaran mahukan varian yang agak asing untuk kita. Jika serius, hebahkan pendapat anda untuk makluman Proton.

@muhd_gt

Muhammad

Kata Anda//