Proton Penganjur Bersama Pertandingan Kemahiran Malaysia Ke-20 – Sektor Teknologi Automobil Pra-Kelayakan

Pertandingan Kemahiran Malaysia 2011.23

ALOR SETAR, 16 April 2011 – Lebih 150 belia yang mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan serta organisasi kerajaan dan swasta, hari ini menyertai Pertandingan Kemahiran Malaysia Ke-20 – Sektor Teknologi Automobil (pra kelayakan) yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Sumber Manusia dan syarikat kereta nasional PROTON Holdings Berhad, yang juga merupakan penaja utama pertandingan tersebut.

Upacara pelancaran pertandingan tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato’ Zainal Rahim bin Seman pada majlis perasmian yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Dr. Pang Chau Leong serta Pengarah Kualiti PROTON Holdings Berhad, En. Azmi Bin Idris.

Di samping kategori utama iaitu Pertandingan Kemahiran Malaysia – Sektor Teknologi Automobil, acara yang berlangsung selama empat hari ini turut mempertandingkan tiga kategori sampingan yang lain iaitu Pertandingan Kemahiran PROTON; Pertandingan Kemahiran Peringkat Terbuka dan Pertandingan Kemahiran MySkills.

Pertandingan Kemahiran Malaysia 2011.24

Berbanding Pertandingan Kemahiran Malaysia yang dibuka kepada para belia berumur 22 tahun ke bawah, penyertaan bagi Pertandingan Kemahiran Proton adalah terhad kepada juruteknik dan mekanik Pusat Servis Proton Edar dan Pusat-Pusat Pengedaran serta Pusat Servis PROTON di luar negara sahaja. Bagi kategori Pertandingan Kemahiran Terbuka pula, penyertaan adalah terbuka kepada pelatih atau jurulatih dari institut-institut vokasional dan teknikal, serta juruteknik dan mekanik dari workshop di seluruh negara, tanpa sebarang had umur, manakala Pertandingan MySkills dihadkan kepada penyertaan golongan tenaga pengajar dan jurulatih sahaja.

Hasil cetusan idea mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan Penasihat PROTON, Pertandingan Kemahiran Malaysia adalah satu inisiatif kerajaan yang diilhamkan bagi mengasah dan mengenengahkan bakat generasi muda dan belia dalam pelbagai bidang vokasional dan teknikal. Ia tertumpu kepada 21 bidang kemahiran yang melibatkan tujuh Industri utama iaitu Automobil; Pembinaan; Pembuatan; ICT; Hospitaliti; Kosmetologi; dan Perkayuan dan Kraftangan.

Pertandingan Kemahiran Malaysia 2011.25

“Sebagai sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui industri automotif dan proses industrialisasi negara, PROTON sememangnya bersedia untuk menyumbang dan berkongsi pengetahuan, kemahiran serta pengalaman kami dengan para belia negara. Ini adalah selaras dengan usaha merealisasikan aspirasi kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia yang berkaliber, berkemahiran tinggi serta kompetitif dalam pelbagai bidang vokasional dan teknikal,” kata Pengarah Kualiti PROTON, En. Azmi Bin Idris.

“Pertandingan sebegini juga bukan sekadar mampu membantu meningkatkan kemahiran golongan muda dan belia, malah ia turut mengajak dan mengajar mereka agar berani bersaing.”

Tambah beliau lagi, pembangunan modal insan yang berkaliber juga merupakan kunci kepada kejayaan berterusan sesebuah organisasi, masyarakat dan negara.

Penglibatan PROTON dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia telah bermula sejak tahun 2003 apabila kategori teknologi automobil mula diperkenalkan. Sebagai salah satu sumbangannya bagi pertandingan tahun ini, PROTON akan menganjurkan satu pameran istimewa bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan koleksi kereta-kereta inovasinya, iaitu kereta-kereta PROTON yang telah diubahsuai secara kreatif oleh kakitangan PROTON dalam pertandingan inovasi pada tahun 2010 dan turut dipamerkan di KL International Motorshow (KLIMS) 2010. PROTON juga akan menganjurkan kempen pengambilan pekerja-pekerja baru bagi golongan muda yang bercita-cita untuk menyertai industri automobil.

Bagi acara tahun ini, orang ramai juga turut dipelawa untuk datang ke Karnival Kemahiran yang julung-julung kali diadakan. Karnival tersebut akan mempamerkan 20 bidang kemahiran dalam industri pembuatan, ICT, Hospitaliti, Kosmetologi, Perkayuan dan Kraftangan. Turut diadakan ialah pelbagai aktiviti permotoran termasuk demonstrasi drift oleh Raja Drift Asia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, Pengurus Kanan Sukan Pemotoran PROTON, pertunjukan automotif, pameran motosikal berkuasa tinggi, pertandingan audio kenderaan dan pertunjukan oleh beberapa artis terkemuka tanahair.

Karnival ini yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah akan dibuka kepada orang ramai sepanjang tempoh pertandingan.

Johan Pertandingan Kemahiran Malaysia (peringkat akhir) tahun 2011 akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000 berserta sijil penyertaan dan pingat emas. Pemenang juga akan dipertimbangkan untuk mewakili negara ke Pertandingan Kemahiran ASEAN dan Pertandingan Kemahiran Sedunia, sekiranya berumur tidak melebihi 22 tahun sewaktu pertandingan tersebut diadakan.

Pertandingan Kemahiran Malaysia Ke-20 – Sektor Teknologi Automobil (pra kelayakan) berlangsung dari 14 hingga 17 April, bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 5 petang.

Silakan kongsi:

1 comment

  1. 1st…kang gua komen lagi

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.