PROTON MULAKAN TAHUN BARU DENGAN MISI BANTUAN MANGSA BANJIR DI PANTAI TIMUR

Proton Banjir 2015.01

SUBANG JAYA, 6 Januari 2015 – Dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas teruk akibat banjir, PROTON Holdings Berhad (PROTON) telah memulakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Pantai Timur. Bersama-sama dengan anak syarikat milik penuhnya, iaitu PROTON Edar Sdn Bhd (PROTON Edar), PROTON telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir PROTON ke Pantai Timur. Misi ini terdiri daripada 45 sukarelawan dari kalangan kakitangan PROTON yang berpangkalan di ibu pejabatnya di Subang Jaya, Selangor serta cawangannya di Kota Bharu, Kelantan dan dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Misi bantuan banjir yang bermula 1 Januari 2015 dan dilaksanakan selama dua hari itu membabitkan khidmat kerja-kerja pembersihan tempat awam dan rumah mangsa yang terjejas teruk akibat banjir, termasuk golongan mereka yang amat memerlukan bantuan kemanusian dengan kadar segera, khususnya golongan miskin serta warga tua.

“Kami turut berdukacita dengan kesusahan yang menimpa mangsa banjir di kawasan Pantai Timur yang majoritinya terpaksa menyelamatkan diri serta ahli keluarga dengan hanya sehelai sepinggang apabila banjir mula melanda pada bulan lalu. Kami turun ke padang sejurus air surut dan menjadikan sebuah perkampungan kecil yang dikenali sebagai Kampung Sakar Sungai di kawasan Pasir Mas, Kelantan sebagai permulaan kepada misi ini pada 1 Januari. Kampung ini dipilih kerana kedudukannya yang terletak jauh dari jalan utama selain tidak dikunjungi oleh mana-mana NGO dalam misi bantuan selepas banjir. Pemilihan kampung ini juga dilihat kena pada masanya kerana kami berupaya membantu 61 keluarga yang terkandas di rumah mereka sejak banjir melanda,” kata Dato’ Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Proton Banjir 2015.02

Sambil menyatakan kebimbangan beliau mengenai nasib mangsa banjir, Dato’ Harith berkata: “Bantuan turut dihulurkan kepada 205 keluarga mangsa banjir lain di Terengganu pada hari kedua misi kami ini, khususnya di Daerah Kemaman. Kami berharap bantuan ini serba sedikit boleh meringankan beban keluarga mangsa terutamanya mereka yang memerlukan bantuan kewangan bagi membolehkan anak-
anak memulakan sesi penggal persekolahan baru tidak lama lagi. Kami juga berharap sumbangan kami ini dapat membantu mengurangkan tekanan keluarga dan komuniti setempat mangsa banjir untuk pulih kesan daripada banjir terburuk yang melanda negara. PROTON juga ingin memberi jaminan kepada mereka bahawa syarikat akan terus membantu mangsa banjir dengan sedaya upaya kami, dan ini semua adalah sebagai tambahan kepada pengumuman 30 peratus diskaun alat ganti serta caj perkhidmatan percuma bagi kerja membaikpulih kereta pemilik Proton yang terjejas akibat banjir.”

Pada 1 Januari, Misi Bantuan Banjir PROTON ke Pantai Timur menghulurkan bantuan dengan membersihkan beberapa tempat awam dan rumah orang tua di Kampung Sakar Sungai, Pasir Mas dan beberapa buah rumah kakitangan PROTON yang terjejas akibat banjir di Pasir Hor. Selain membersihkan rumah, misi bantuan itu juga telah membersihkan beberapa surau dan dewan komuniti yang ditenggelami banjir. PROTON juga turut menyumbangkan beberapa barangan keperluan termasuk bekalan makanan dalam tin, biskut, kelengkapan peribadi, air mineral, selimut, lampin bayi pakai buang, tuala wanita dan seluar dalam pakai buang. Semua barangan keperluan ini diserahkan oleh Dato’ Harith bersama Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, En Norzahid Mohd Zahudi kepada wakil-wakil daripada 61 keluarga yang terjejas.

Pada hari yang sama, 41 kakitangan PROTON turut menerima bantuan serupa, ihsan daripada PROTON Cawangan Kota Bharu. Pada 2 Januari, misi bantuan ini telah dilanjutkan ke Kemaman, Terengganu di mana PROTON menyumbangkan barangan keperluan kepada 142 keluarga PDRM Terengganu yang terjejas akibat banjir. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, DSP Normansah bin Din untuk diagihkan kepada wakil-wakil balai polis di Terengganu. Seramai 58 daripada keluarga PDRM Terengganu yang terjejas adalah dari Daerah Kemaman. Barangan keperluan juga turut diedarkan kepada 60 keluarga mangsa lain yang terjejas menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek. Misi bantuan PROTON ini kemudiannya melawat tiga keluarga kakitangan PROTON yang terjejas di Kemaman dan Dungun dengan membersihkan rumah-rumah mereka selain turut menyumbangkan barangan keperluan.

“Kami turut simpati apabila mendengar bahawa beberapa kakitangan kami adalah sebahagian daripada mangsa yang terjejas akibat banjir. Justeru, kami telah melancarkan kutipan derma di kalangan kakitangan kami untuk membantu rakan-rakan mereka yang berada dalam kesusahan. Sementara itu, saya juga turun ke padang untuk melihat dan menghulurkan sendiri bantuan kepada mangsa serta komuniti terdekat yang terjejas. Keperitan yang mereka lalui bukan sekadar melibatkan kehilangan harta benda semata-mata, malah, mereka terpaksa menghadapi kesukaran membersihkan rumah serta kawasan sekitar yang teruk disaluti lumpur dan sampah sarap. Jadi adalah penting untuk PROTON memulakan langkah yang tidak seberapa ini untuk meringankan bebanan mereka yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Dato’ Harith berkata, “Sememangnya ini merupakan satu tanggungjawab sosial bagi PROTON. Lebih penting lagi, ia memberi peluang kepada kakitangan PROTON untuk menyemai semangat perikemanusiaan dan mencapai kepuasan diri dengan cara membantu mereka yang memerlukan. Saya
berharap lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang akan bersama-sama membantu supaya mangsa-mangsa banjir ini dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.”

PROTON turut mengambil bahagian dalam misi bantuan yang diusahakan oleh syarikat induknya, DRB-HICOM Berhad untuk terus membantu mangsa-mangsa banjir yang terburuk dalam sejarah negara ini.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.