Proton Menduduki Tiga Podium di Rali Hokkaido

Proton menamatkan perlumbaan di Rali Hokkaido dengan bergaya apabila tiga keretanya menamatkan perlumbaan dengan tiga podium pada pusingan kelima Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

Alister McRae berjaya menebus kekecewaan pada hari pertama dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan Proton Satria Neo S2000. Memulakan hari kedua rali di belakang Katsuhiko Taguchi dengan kereta Mitsubishi Lancer Evolution X, McRae memenangi dua daripada empat peringkat perlumbaan istimewa (special stage) dan merapatkan jurang kepada 18.5 saat dengan pendahulu perlumbaan dari India yang turut memandu Mitsubishi Lancer Evolution X.

McRae berjaya mengekalkan rentak namun keputusan tempat ketiga tetap tidak berubah walaupun berjaya merapatkan jurang dan menjadi pemandu terpantas pada hari kedua perlumbaan.

Keputusan di Jepun itu bermakna persaingan untuk merebut kejuaraan APRC masih lagi terbuka dengan McRae mendahului Chris Atkinson juga daripada Proton dan di tempat ketiga ialah pemandu dari India, Gaurav Gill dengan kereta Mitsubishi Lancer Evolution X. Pusingan terakhir APRC bakal berlangsung di China pada November.

Selain daripada itu, Karamjit Singh dan Akira Bamba yang memandu Proton Satria Group N 1600 pula masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua. Bamba turut memenangi kejohanan FIA APRC Junior yang julung kali diadakan. Seorang lagi pemandu dari Malaysia, Gunaseelan Rajoo berjaya memenangi Class A di dalam kategori APRC 2WD dengan menggunakan Proton Satria Neo Class “A”.

Muhammad

6 Comments

Kata Anda//