PROTON Melantik Pakar Industri Sebagai Ahli Pengurusan Baharu

SUBANG JAYA, 10 Oktober 2014 – Proton Holdings Berhad (PROTON) mengumumkan perlantikan barisan pengurusan baharu di PROTON dan Proton Edar Sdn Bhd (PESB).

Andreas Prinz yang menyertai PROTON pada Julai 2014 sebagai Pengarah Jualan Antarabangsa kini dilantik ke jawatan Ketua Pegawai Operasi Komersil. Andreas mempunyai pengalaman selama 29 tahun di dalam pelbagai syarikat antarabangsa di mana 23 tahun darinya sebagai eksekutif atasan yang bertanggung jawab di dalam pelbagai bidang di serata dunia. Andreas mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Applied Sciences Rendsburg dengan 15 tahun pengalaman khusus di dalam industri automotif dan pernah berkhidmat di VW dan Bentley Motors. Di antara kejayaan beliau ialah mengasaskan syarikat jualan kebangsaan dan syarikat pengedar VW Group di Timur Tengah, India, Malaysia dan turut bertanggung jawab di dalam pengembangan jenama di pasaran membangun Asia.

Encik Norzahid Mohd Zahudi dan Encik Daniel Tan Soo Liang pula memegang jawatan di PESB dengan masing-masing dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi bermula 1 Oktober 2014. Encik Norzahid mempunyai MBA di dalam Pengurusan Strategik dari Swiss Management Forum St. Gallen, Switzerland. Beliau mempunyai pengalaman selama 32 tahun di dalam industri utama seperti perunding, kewangan dan automotif dan terlibat di dalam bidang perancangan strategik, pengurusan projek dan pemasaran, pembangunan jenama dan capaian pasaran antarabangsa. Beliau telah berada di dalam industri automotif selama 21 tahun termasuklah rangkaian pengedaran antarabangsa dan domestik.

Encik Daniel mempunyai Ijazah Sarjana Muda dari Universti Malaya dengan 26 tahun pengalaman di dalam pelbagai bidang termasuklah 10 tahun di dalam jualan automotif. Sepanjang perkhidmatan beliau di dalam industri automotif, Encik Daniel bertanggung jawab di dalam jualan domestik dan pasaran ASEAN di mana tugas berakhir beliau adalah dengan jenama Jerman di China. Beliau memainkan peranan penting di dalam setiap organisasi yang didudukinya agar sentiasa berkembang dan telah menghasilkan beberapa strategi yang membuahkan hasil.

Dengan perkembangan baharu itu, Encik Azmi Idris yang merupakan CEO PESB kini beralih jawatan sebagai Pengarah Kualiti bermula tarikh yang sama.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.