PROTON MELANCARKAN SAMBUTAN “1 PERAYAAN PROTON” SEMPENA RAMADHAN, SYAWAL, HARI KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA

Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Projek Program Jelajah dan Dampingi Masyarakat

SUBANG JAYA, 28 JULAI 2011 – PROTON hari ini melancarkan sambutan “1Perayaan PROTON” yang merupakan satu program khas untuk PROTON meraikan ketibaan Ramadhan dan Syawal 1432 Hijrah serta Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bersama-sama seluruh rakyat Malaysia.

Sambutan yang bermula dari 15 Julai sehingga 16 September 2011 ini menampilkan pelbagai aktiviti dan inisiatif menarik daripada syarikat kereta nasional tersebut untuk pelbagai lapisan masyarakat. Ia mendokong tema ‘Komited Untuk Menjadi Lebih Baik’, yang merupakan satu tekad dan azam syarikat tersebut untuk melipatgandakan usahanya bagi mencapai tahap yang lebih baik dalam segenap aspek. Dalam konteks sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini, tema “Komited Untuk Menjadi Lebih Baik” diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif PROTON dalam memberikan pelbagai nilai tambah kepada pelanggan dan juga dalam membantu golongan yang memerlukan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik pada musim perayaan yang bakal tiba.

“Melalui sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini kami berhasrat untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang mampu menyumbang kembali kepada masyarakat Negara kita yang sememangnya telah menyokong PROTON sejak sekian lamanya. Memandangkan sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini merupakan gabungan 4 perayaan dalam satu, maka sudah tentu, PROTON juga berhasrat bukan sahaja untuk membawakan pelbagai aktiviti dan inisiatif kepada rakyat Malaysia, malah lebih dari itu, PROTON bercadang untuk menjadikan aktiviti dan inisiatif tersebut lebih istimewa dan lebih menarik dari tahun-tahun lepas,” menurut Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abdin Syed Mohamed Tahir.

Salah satu daripada inisiatif yang dijalankan oleh PROTON sempena sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini adalah ‘Program Jelajah dan Dampingi Masyarakat’ yang bermula dari 25 Julai hingga 12 Ogos 2011. Melalui inisiatif tersebut, PROTON akan menghantar sekumpulan 50 hingga 90 orang sukarelawan yang dikenali sebagai Pasukan Bantuan Bencana (PBB) PROTON ke lima rumah kebajikan, perlindungan dan anak yatim di lima buah Negeri bagi menjalankan pelbagai kerja-kerja amal. Negeri-negeri yang menjadi sasaran program tersebut adalah negeri Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Johor dan Negri Sembilan.

Para sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan syarikat kereta nasional itu akan melaksanakan kerja-kerja seperti pembersihan dan penghijauan alam sekitar, pembangunan lanskap dan kerja-kerja pembaikan kecil serta mengendalikan aktiviti seperti ceramah motivasi, bengkel kerjaya, sesi perapian dan kebersihan diri, pertandingan mewarna dan kuiz serta berbuka puasa dan solat tarawih bersama-sama anak-anak di rumah kebajikan yang dilawati. Kemuncak ‘Program Jelajah dan Dampingi Masyarakat’ ini adalah pada 12 Ogos dengan satu majlis berbuka puasa besar-besaran di mana semua penghuni rumah-rumah kebajikan yang dikunjungi PBB PROTON akan dijemput untuk berbuka puasa bersama-sama Penasihat PROTON, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis berbuka puasa tersebut.

“’Program Jelajah Dan Dampingi Masyarakat’ ini adalah satu cara untuk PROTON menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang kurang bernasib baik. Adalah menjadi harapan PROTON untuk bersama-sama berkongsi kegembiraan dan keceriaan dengan mereka di musim perayaan ini, sejajar dengan seruan Kerajaan untuk kita sama-sama memastikan tiada golongan yang terpinggir di Negara kita ini,” kata Dato Sri’ Syed Zainal.

Sempena sambutan ‘1Perayaan PROTON’ pada tahun ini, PROTON turut menyediakan pelbagai tawaran menarik dan istimewa kepada pemilik-pemilik kereta Proton bagi menceriakan lagi sambutan Hari Raya Aidil Fitri untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bermula dari 15 Julai hingga 15 September, pusat-pusat servis PROTON Edar di seluruh Negara akan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 18 poin secara percuma kepada semua pemilik kereta PROTON agar mereka dapat memastikan bahawa kereta mereka berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan dalam perjalanan jauh balik ke kampung. Menjelang Syawal, perkhidmatan pemeriksaan keselamatan ini akan diperluaskan lagi ke hentian Rehat & Rawat utama di serata Negara iaitu di zon-zon Utara, Tengah, Selatan dan Pantai Timur

“Keselamatan di jalan raya merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan, terutamanya di musim perayaan ini. Pemanduan berhemah sahaja tidak mencukupi, kereta yang dikendalikan juga perlu berada di dalam keadaan yang baik. Dengan perkhidmatan pemeriksaan percuma ini, PROTON berharap akan dapat menyumbang kepada keselamatan jalanraya di musim perayaan dan pengurangan kadar kemalangan,” kata Dato’ Sri Syed Zainal

Menyedari bahawa lebih ramai pemilik kereta Proton akan berpusu-pusu untuk menyenggara kereta mereka sebelum pulang ke kampung pada Hari Raya nanti, PROTON Edar akan turut melanjutkan waktu operasi di semua pusat servisnya bagi memastikan bahawa setiap pemilik kereta Proton akan berpeluang untuk menyenggara kereta mereka sebelum pulang ke kampung. Bagi tujuan ini, mulai 1 hingga 29 Ogos 2011 dan selama 7 hari setiap minggu, pusat servis PROTON Edar akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang (kecuali hari pelepasan khas). Inisiatif ini dijangka akan dapat membantu pemilik kereta Proton yang menghadapi kesulitan dalam merancang masa yang sesuai untuk menyenggara kereta mereka, terutamanya di musim perayaan ini.

Untuk menggalakkan lagi pemilik kereta Proton untuk menyenggara kereta mereka di Pusat Perkhidmatan PROTON yang diiktiraf, PROTON juga akan menawarkan promosi Pakej Servis Raya ‘ProCare Basic Plus’ yang memberikan penjimatan kepada pakej lengkap servis yang meliputi penukaran minyak pelincir, enjin ‘tune-up’ serta pemeriksaan keselamatan. Sempena bulan Ramadhan ini, para pelanggan juga dijemput untuk berbuka puasa bersama PROTON di beberapa Pusat Servis yang terpilih di beberapa tarikh yang tertentu, manakala bagi para pelanggan yang berbelanja RM300 dan ke atas bagi servis yang dilaksanakan, mereka juga berpeluang untuk menyertai pertandingan dan memenangi hadiah-hadiah lumayan seperti iPad2 serta hadiah-hadiah yang lain.

Kepada sesiapa yang berminat untuk memiliki kereta PROTON di musim perayaan ini juga, PROTON turut melancarkan Promosi Khas Raya sempena sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini. Promosi yang berlangsung dari 1 hingga 31 Ogos 2011 ini menawarkan diskaun, servis percuma dan beberapa hadiah hebat dan menarik kepada setiap pembelian model dan varian Proton yang tertentu. Maklumat lanjut berkenaan promosi hebat tersebut boleh didapati di pusat jualan PROTON di seluruh Negara.

Sempena sambutan ‘1Perayaan PROTON’, PROTON akan meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2011 bersama-sama seluruh rakyat Malaysia serta menzahirkan semangat patriotik syarikat tersebut melalui program pengagihan dan pemasangan jalur gemilang di premis-premisnya, termasuklah di ibu pejabat, kilang dan pejabat jualannya di seluruh Negara. Jalur Gemilang juga akan diedarkan oleh PROTON kepada kakitangan, pelanggan dan komuniti di sekitar Shah Alam dan Tanjung Malim bermula 1 Ogos ini bagi menyokong inisiatif tersebut.

Melalui Program VIP (Very Important PROTON) iaitu satu program khas untuk pemilik PROTON sebagai tanda penghargaan dan komitmen PROTON terhadap pelanggannya pula, PROTON juga mengajak rakyat Malaysia khususnya pemilik-pemilik kereta Proton untuk mengenang kembali pengalaman paling manis dan paling istimewa bersama kereta Proton yang sedang atau pernah mereka miliki. Bagi tujuan ini, satu pertandingan ‘My PROTON Makeover’ akan dijalankan di mana 5 pemilik kereta Proton yang terpilih dengan cerita yang paling menarik akan memenangi hadiah berbentuk “Make-Over” atau pembaharuan-semula kereta Proton yang mereka miliki. Kereta Proton pertama yang memenangi pertandingan tersebut seterusnya terpilih untuk melalui proses ‘make-over’ itu nanti, akan diumum dan dipersembahkan hasilnya pada 16 September, bersempena dengan Hari Malaysia nanti.

Program VIP ini juga, akan memberikan peluang kepada kepada orang ramai untuk memenangi hadiah percutian daripada PROTON. Seramai 30 orang pemenang bertuah akan mendapat hadiah percutian ke destinasi impian mereka di tanahair, lengkap dengan tempat penginapan dan makanan, istimewa daripada PROTON. Pertandingan ini akan bermula 28 Julai dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan menyertai pertandingan tersebut di laman web www.protonVIP.com.

Kemuncak bagi sambutan ‘1Perayaan PROTON’ ini adalah penampilan PROTON dalam perarakan Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia 2011 pada 16 Sept 2011 nanti di Dataran Merdeka. Dalam perarakan tersebut, PROTON akan membuat satu penampilan yang istimewa dengan kereta-kereta konsep siri Pahlawannya (Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu & Kasturi), Proton Emas, Saga EV (Electric Vehicle) dan Exora REEV (Range Extender Electric Vehicle).

“Walaupun ini bukan kali pertama kereta-kereta ini ditampilkan untuk tatapan ramai, ia akan kami tampilkan sekali lagi untuk Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia nanti kerana setiap kali kereta-kereta ini dipamerkan, ia sentiasa mendapat sambutan hangat dari orang ramai. Melalui siaran langsung perarakan tersebut ke seluruh Negara nanti, PROTON juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan dapat melihat sendiri manisfestasi arah hala tuju serta gambaran masa hadapan PROTON melalui reka bentuk kereta – kereta tersebut.”

“Harapan PROTON adalah semoga aktiviti-aktiviti dan inisiatif-inisiatif yang akan kami laksanakan ini akan dapat memeriahkan lagi musim perayaan tahun ini dengan semangat 1Malaysia. Semoga di musim perayaan ini, kita sebagai satu Negara akan dapat meraikannya dalam keadaan aman dan tenteram, serta bersatu sebagai sebuah masyarakat yang berbilang bangsa dan agama. PROTON akan bersama-sama semua rakyat Malaysia di musim perayaan ini. Semoga anda juga akan bersama-sama dengan kami untuk meraikan sambutan ‘1Perayaan PROTON,” kata Dato’ Sri Syed Zainal lagi.

Silakan kongsi:

3 comments

    • belalang_kontot on 31/07/2011 at 7:27 AM
    • Reply

    adoyai…panjangnye artikel…huhu….nway tahniah proton atas usaha anda…

    • jelapangPadi on 01/08/2011 at 9:01 AM
    • Reply

    ~ehehee….selamat berpuasa kepada semua sekutu2 GT…

    by de way mak uia,xder ke info2 tntang motospot dalam negara kita ni mcm SNF ke,drag ke,team2 lumba,bengkel ke apa ke..kasi buh la dalam nie…boleh gak peminat luar KL mcm gua dapat info,buat modal sembang kencang ngn kawan2…

    • Romzi Bin Ahmad on 07/08/2011 at 1:21 PM
    • Reply

    Tahniah,proton..dpt melahirkan kereta berprestaj setaraf kereta barat….bila nak buat memperkasakan lagi enjin Exora agar lebih power setanding Evo 10 dan BMW…

Leave a Reply to Romzi Bin AhmadCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.