Proton Kini Dieksport Ke Chile – Proton Prevé Sebagai Model Pertama Dengan Pusat 3S

Proton Chile.2016.02

Sewaktu pelancaran Proton Prevé di Santiago, Chile pada 28 Mei 2016, PROTON Holdings Berhad (“PROTON” atau “Syarikat”) secara rasmi membuka bilik pameran 3S pertamanya bersama Andes Motor, pengedar eksklusif PROTON di Chile. Pusat 3S yang bertempat di Irarrazaval, Santiago, 15 minit dari pusat bandar ini telah dirasmikan oleh Encik Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa PROTON, bersama Encik Jorge Greene Diaz, Pengurus Besar Andes Motor dan Encik Maximilliano Sfeir, Pengurus Perniagaan PROTON; disaksikan oleh YBhg Dato’ Dr. Mohamad Rameez, Duta Malaysia ke Chile.

Pusat 3S ini diuruskan oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, pengedar utama bas, lori dan kereta mewah di Chile yang mempunyai rangkaian luas dalam memberikan perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

“Pusat 3S ini adalah penting untuk menyediakan jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Terdapat 3 ruangan servis di belakang bilik pameran yang boleh diperluaskan lagi, sekiranya perlu. Secara keseluruhan, kawasan sebesar 350 meter persegi ini boleh memuatkan 3 sehinga 4 buah kereta untuk diservis pada satu masa, dengan empat ruang letak kereta khusus untuk pelanggan,” kata Khalid.

Proton Chile.2016.06

Di Santiago juga terdapat lima buah pusat 1S lain yang terletak di dalam Plaza membeli-belah Oeste, Ayr, Technocid, Technosur dan Antivero. Selain daripada Santiago, pusat-pusat pameran lain turut berada di Sucursal Pajaritos, Las Parcelas, Quilicura, San Bernado dan Vespucio. Rangkaian ini dijangka akan berkembang dengan penambahan model pemanduan sebelah kiri Exora dan Saga dalam masa terdekat.

Selari dengan pembukaan bilik pameran iaitu pada hari yang sama, Proton Prevé turut dilancarkan di Plaza Oeste, salah satu pusat membeli-belah terkenal di Santiago. Sambutan yang menggalakkan pada majlis pelancaran itu telah menyaksikan seramai 1,000 orang berkumpul untuk menyaksikan acara cabutan bertuah yang memberi peluang kepada seorang pemenang membawa pulang Proton Prevé baharu daripada 2,000 penyertaan yang diterima. YBhg Dato’ Dr Mohamad Rameez dan Cik Ezzwani Ahmad, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Chile juga turut hadir untuk menyaksikan acara tersebut.

Teruja untuk melihat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai, Maximilliano berkata, “Kami amat yakin dengan Proton Prevé. Para media di sini telah memandu uji kereta ini dan memberikan maklum balas yang positif. Pemasaran di sini menjadi lebih kuat sekiranya kereta ini mampu mempengaruhi pasaran dengan mudah.”

Proton Chile.2016.01

Seperti yang dilaporkan pada Mac 2016, PROTON mengumumkan bahawa permulaan jualan bagi Prevé di Chile disasarkan pada Mei 2016 diikuti dengan Exora dan Saga pada bulan November 2016. Pada masa ini, model yang akan disediakan untuk pasaran Chile adalah Prevé 1.6 MT Standard, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT.

Selaras dengan usaha untuk mempromosikan produk-produk Proton di Chile, PROTON turut menyerahkan sebuah Proton Exora kepada Kedutaan Malaysia bagi mempromosikan Malaysia di negara Amerika Latin ini. YBhg Dato’ Dr Mohamad Rameez berbesar hati menerima MPV ini bagi pihak Kedutaan di bilik pameran Irarrazaval selepas perasmian pembukaan itu.

Muhammad

One Comment

Kata Anda//