Proton kini adalah Pusat Sistem Latihan Dual Nasional bagi Latihan Kemahiran Automotif

PROTON Holdings Bhd menerima pentauliahan daripada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai pusat latihan sehenti bagi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia, menyampaikan sijil pentauliahan kepada YBhg Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, sebagai pengiktirafan kepada PROTON.  Turut hadir di majlis ini ialah YBhg Dato’ Mohd Sahar Darusman, Timbalan Ketua Setiausaha Agung (Dasar & Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia, En Nidzam Kamarulzaman, Ketua Pengarah JPK, dan YBhg Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Mou Proton – JPK

Menteri Sumber Manusia terlebih dahulu telah menyampaikan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) kepada 30 orang penerima dan menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman antara PROTON dan JPK bagi program membangunkan pekerja berkemahiran dalam jangka masa yang panjang.  Seramai 25 orang kakitangan PROTON yang lain juga telah dianugerahkan dengan biasiswa Yayasan PROTON bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sijil Kemahiran Malaysia 

SKM merupakan sijil rasmi peringkat kebangsaan yang diiktiraf dan dikeluarkan oleh Kerajaan kepada individu-individu yang telah menonjolkan keupayaan yang diperlukan atau dipraktikkan dan lengkap dengan kecekapan untuk melakukan tugasan dan fungsi-fungsi bagi sesuatu pekerjaan agar mudah mendapat peluang pekerjaan.

Digunapakai di dalam Pelan Malaysia ke-10 sebagai Kemahiran Tunggal/Pensijilan Vokasional untuk negara, terdapat 13 skim perkhidmatan yang telah diiktiraf dan diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, untuk jawatan berkemahiran dalam perkhidmatan awam. 

Untuk meningkatkan pengiktirafan bagi kemahiran yang berkelayakan, SKM akan menjadi kelayakan wajib bagi pekerjaan tertentu.

“Selaras dengan sasaran Kerajaan untuk mentransformasi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, program yang kami laksanakan ini adalah bukti kepada komitmen Syarikat dalam mengoptimumkan dan menghasilkan lebih ramai pekerja berkemahiran.

Sebagai pengeluar kereta nasional, tugas kami bukan semata-mata menghasilkan kereta tetapi juga sebagai tunggak kepada pembangunan negara.Tahun demi tahun, pertukaran dari segi teknologi bersama rakan kongsi strategik dan kerjasama teknikal dilihat sebagai pemangkin pembelajaran yang pantas kepada pekerja-pekerja kami. Dengan ini, mereka bukan sahaja sangat bernilai kepada Syarikat tetapi juga kepada komuniti di dalam industri ini.

Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada para pekerja, dalam menyediakan mereka peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Kerjasama 24 tahun

Dari segi pembangunan kemahiran, ianya bukanlah suatu usaha yang baharu bagi PROTON di mana kerjasama antara PROTON dan JPK telah terjalin lebih 24 tahun yang lalu di dalam bidang Teknologi Automotif. World Skills Malaysia Belia (WSMB) dianjurkan setiap tahun untuk menyediakan latihan kemahiran yang berkesan kepada belia dan mengenal pasti inovasi yang terbaik di peringkat kebangsaan, untuk mereka bersaing di Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) dan Pertandingan Kemahiran Sedunia (WSC).

Di bawah Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia oleh JPK, terdapat 5 tahap kemahiran yang mendapat kelayakan yang diiktiraf untuk pekerjaan yang tertentu dan terpilih. Seramai 207 orang pekerja PROTON telah berjaya memperoleh SKM, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan DLKM.

Kesemua pencapaian SKM, DKM dan DLKM adalah pada tahap 3, 4 dan 5, di bawah JPK. “Hasil daripada latihan-latihan yang dijalankan, PROTON telah melihat kesan-kesan positif pada kakitangan kami berdasarkan prestasi dan kualiti kerja mereka.

Hari ini, dengan kehadiran seramai 30 pekerja yang menamatkan pengajian daripada program Diploma Lanjutan, dan pelantikan rasmi seramai 35 orang sebagai jurulatih dalaman SLDN yang diiktiraf JPK, mereka menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam meningkatkan imej syarikat, produk dan kualiti perkhidmatan.Tambahan pula, pentauliahan sebagai pusat latihan SLDN kepada PROTON oleh Kementerian Sumber Manusia merupakan satu pencapaian yang bersejarah bagi kami semua,” tambah Dato’ Fuaad.

Sumbangan enjin 1.6L Turbo

Pada majlis ini, PROTON turut menyumbangkan enjin 1.6L Turbo kepada Akademi Saga (AS). MoU itu akan menyaksikan kedua-dua pihak membentuk kerjasama erat dalam meningkatkan kemahiran di kalangan para pelajar yang mengambil kursus-kursus berkaitan di AS dengan memastikan kursus-kursus dikendalikan oleh kedua-dua pihak, mengikut modul yang diluluskan JPK.

PROTON juga akan menyediakan tempat latihan praktikal pelajar, pembangunan dan ulasan berkala tentang kurikulum, modul dan sukatan pelajaran latihan yang digunakan dalam program, menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dan peralatan yang dikehendaki oleh piawaian industri, dan pertukaran maklumat terkini, dan perkembangan teknologi dalam bidang automotif.

Serapan sebagai pekerja Proton

Mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, pelajar-pelajar AS yang mendapat keputusan cemerlang akan diterima bekerja di PROTON sebaik sahaja mereka menamatkan kursus tersebut.

“Saya berharap biasiswa yang dianugerahkan kepada 25 penerima ini akan memberi motivasi kepada para pekerja kami untuk belajar bersungguh-sungguh bagi sijil mereka dan memberi inspirasi kepada mereka untuk bekerja dengan lebih gigih bagi mendapatkan pencapaian yang lebih baik, bukan sahaja demi manfaat Syarikat, tetapi untuk diri mereka sendiri. Ilmu pengetahuan ialah kuncinya, tetapi bagaimana kita menggunakan ilmu tersebut ke arah penggunaan yang betul, adalah tidak ternilai,” tambah Dato’ Fuaad.

Untuk maklumat lanjut mengenai program pembangunan kemahiran, layari laman web Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di http://www.dsd.gov.my.

Untuk maklumat lanjut mengenai PROTON, pelanggan boleh melayari www.proton.com atau laman rasmi Facebook di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan juga boleh memuat turun applikasi mudah alih rasmi MyProton, yang didapati menerusi Google Play dan Appstore atau hubungi talian Khidmat Pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel ke customercare@proton.com.

Silakan kongsi:

1 comment

    • adizan on 01/04/2017 at 7:23 AM
    • Reply

    Bagaimana nak applay kerja di proton ni

Leave a Reply to adizanCancel reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.