Proton Iriz kini dijual di Indonesia – RM58K dan RM62K

Proton Iriz Indonesia

PT PROTON Edar Indonesia (PEI – anak syarikat penuh PROTON Holdings Berhad) telah memperkenalkan Proton Iriz di pusat beli-belah FX Sudirman, Senayan, Jakarta. Terdapat dua varian Proton Iriz yang dipasarkan iaitu 1.3L MT Standard dan 1.3L CVT Standard dengan harga IDR 175, 250,000 (RM58,484.57) dan IDR 185,283,000 (RM61,832.79).

Acara telah dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON dengan kehadiran Dato’ Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Mohd Khalid Yusof, Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa, PROTON, Naim Abdul Rahman, Penasihat MATRADE di Kedutaan Malaysia di Indonesia dan Yanuarto Widihandono, Setiausaha Agung Institut Otomotif Indonesia.

Proton Iriz telah dipamerkan di pusat membeli-belah tersebut sejak 16 Februari 2017 sehingga 22 Februari 2017.

Negara eksport kedua selepas Brunei

Proton Iriz Indonesia

Setelah acara pra-tonton dan pandu uji bersama media Indonesia yang diadakan pada Khamis, 9 Februari 2017 di Sentul, Bogor, PEI memperkenalkan Proton Iriz yang merupakan hatchback kompak terkini dalam segmen kereta bandar kepada pengguna di Jakarta dan Makassar, Sulawesi pada 19 Februari 2017.

Indonesia adalah pasaran eksport kedua selepas Brunei untuk kereta yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan komprehensif (fun-in-size, big-on-safety) ini selain pemanduan dan pengendalian PROTON yang tersendiri.

“Indonesia merupakan pasaran yang penting untuk PROTON, kita berkongsi pelbagai persamaan daripada segi budaya, rakyat, bahasa dan keadaan cuaca. Kita serumpun,” kata Dato’ Fuaad.

“PEI mempunyai sejumlah 25 rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di Indonesia. Para pelanggan boleh mendekati dan melihat Proton Iriz di kesemua bilik pameran bermula 20 Februari. Dari segi perkhidmatan selepas jualan, Proton mempunyai 24 cawangan pusat servis di lokasi-lokasi strategik sekitar Pulau Jawa, Kalimantan, Sumatera dan Sulawesi, dan 8 buah cawangan terletak sekitar daerah Jabodatek. Semua keperluan penyelenggaraan kereta disediakan kesemua pusat servis kami,” sambung Dato’ Fuaad.

Ciri keselamatan lengkap

Proton Iriz Indonesia

Proton Iriz dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif. Malah, Proton Iriz merupakan satu-satunya hatchback kompak dalam segmen City Car di bawah IDR350 juta (RM116,802.28) yang dilengkapi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek, kawalan cerun (HHA) dan sistem peringatan tali pinggang keledar (SBR) yang kebiasaanya ditemui dalam segmen kereta premium.

Proton Iriz menggunakan teknologi Jerman iaitu Hot Press Forming (HPF) yang 5 kali lebih kuat berbanding keluli biasa untuk ketegaran badan dan kabin lebih kuat serta kukuh untuk perlindungan yang lebih baik kepada pelanggan kami, ” kata Dato’ Fuaad.

Pengiktirafan dan penghargaan

Sejak diperkenalkan pada 2014, Proton Iriz telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan daripada industri automotif di Malaysia. Antaranya ialah, penarafan 5 bintang daripada ASEAN New Car Assessment Programme (ASEAN NCAP).

Proton Iriz juga menerima anugerah Kereta ASEAN NCAP 5 Bintang Paling Mampu Milik di Malaysia dalam Anugerah ASEAN NCAP Grand Prix 2016, Budget Car of The Year untuk Anugerah ASEAN Car of The Year 2016, Reka Bentuk Industri Terbaik 2015 oleh Intellectual Property Corporation, Anugerah Malaysia Good Design Mark 2014 oleh Malaysia Design Council, dan Anugerah Pilihan Rakyat di Anugerah Kereta Tahunan New Straits Times 2014.

Kempen pandu uji dan menang

Proton Iriz Indonesia

Sejak dipamerkan di FX Mall pada 16 Februari 2017, orang ramai telah mengambil kesempatan untuk memandu Proton Iriz dan ia disediakan sehingga 22 Februari 2017.

Para pelanggan yang telah memandu uji Proton Iriz semasa kempen pengenalan di pusat beli belah turut layak untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti 2 x Hadiah Utama percutian yang ditanggung sepenuhnya selama 4 hari 3 malam bersama penginapan untuk 2 orang ke Malaysia dan hadiah tunai bernilai IDR1.5 juta (RM500).

Pemenang pertama Hadiah Utama telah diumumkan semasa acara pengenalan secara rasmi manakala pengumuman bagi Hadiah Utama kedua pula akan dibuat pada hari terakhir pameran di FX Mall, pada 22 Februari, dari 7 malam.

Jemputan pandu uji

Proton Iriz Indonesia

Para pengguna di Indonesia dijemput mengunjungi FX Mall dan memandu uji Proton Iriz untuk merasai sendiri pemanduan dan pengendalian PROTON yang tersendiri. Proton Iriz direka dan dihasilkan bukan sahaja untuk memberi perlindungan optimum kepada pelanggan tetapi ia juga merupakan kereta yang menarik dan seronok untuk dipandu dengan semua kemudahan moden, penggunaan bahan api yang menjimatkan dan ciri-ciri kemudahan yang lain.

Proton Iriz didatangkan dalam 7 pilihan warna menarik, Cotton White, Midnight Black, Sterling Silver, Atlantic Blue, Graphite Grey, Citrus Green and Fire Red.

Tempahan Proton Iriz telah dibuka sejak 16 Februari 2017, bermula dari 10 pagi ke 10 malam setiap hari di pusat membeli-belah FX Mall sehingga 22 Februari 2017. Pengguna juga boleh mengunjungi mana-mana pengedar di setiap bilik pameran di seluruh Indonesia.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.