PROTON INSPIRA SEBAGAI KERETA PERONDA POLIS

Proton Inspira Polis 2011.02

SHAH ALAM, 25 MEI 2011 – PROTON Holdings Berhad telah menyumbangkan sepuluh (10) unit Proton Inspira 1.8 L (manual) kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kegunaan pihak Polis dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan kepada orang awam. Sumbangan tersebut turut memperkenalkan model PROTON tersebut untuk dipandu uji oleh pihak Polis dalam operasi seharian mereka. Ini adalah sebahagian dari usaha kedua-dua pihak untuk menguji prestasi dan kemampuan Proton Inspira serta mendapatkan maklumbalas untuk inisiatif PROTON dan Bahagian Penyelidikan Dan Pembangunan, PDRM dalam membangunkan prototaip kereta peronda polis dari model Proton Inspira.

Ketua Polis Negara, YDH Inspektor Jeneral Tan Sri Haji Ismail Bin Haji Omar telah menerima sumbangan kereta peronda polis tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan PROTON, YBhg. Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Litar Ujian PROTON yang turut dihadiri oleh lebih 200 orang tetamu yang terdiri daripada pegawai kanan PDRM dan pihak pengurusan PROTON.

Berbeza dengan sesi pandu uji kereta yang biasa dilakukan oleh pelanggan, pandu uji yang dilakukan oleh pihak Polis bagi mengenalpasti kesesuaian sesuatu model kereta dalam menepati keperluan tugasan mereka adalah berbeza. Ini kerana, di samping ujian terhadap prestasi dan kemampuan serta pemanduan dan pengendalian dalam menangani situasi operasi sebenar yang mencabar, kereta yang dipandu uji juga harus diubahsuai mengikut spesifikasi serta dilengkapi peralatan yang digunakan oleh sebuah kereta peronda Polis.

Justeru, PROTON telah mengambil inisiatif untuk mengubahsuai sepuluh model Inspiranya menjadi kereta peronda polis sebelum ianya disumbangkan kepada pihak PDRM. Kereta tersebut telah dilengkapi sistem lampu amaran dan siren bersepadu, pelekat pembalik cahaya berlogo PDRM dan sistem telekomunikasi radio bergerak.

Proton Inspira Polis 2011.03

“Kami percaya kereta peronda polis merupakan satu keperluan yang amat penting dalam memantau dan memerangi jenayah. Dalam menyediakan keperluan ini kepada pihak Polis, hubungan di antara PROTON dan pihak PDRM bukanlah satu perkara yang baru malah pihak Polis telah menggunakan kereta Proton sebagai kereta peronda sejak dari zaman Proton Saga yang pertama dahulu. Hubungan baik ini diteruskan sehingga kini dengan kerjasama di antara PROTON dan PDRM untuk meneroka pembangunan prototaip kereta peronda polis (‘Mobile Police Vehicle’) dari model Inspira,” menurut Dato’ Sri Syed Zainal.

“PROTON sentiasa komited dalam menambahbaik kualiti produknya dengan setiap model baru yang dikeluarkan. Dalam konteks ini, pihak PDRM pastinya akan turut berkongsi manfaat daripada usaha penambahbaikan ini apabila model terbaru tersebut dijadikan kereta peronda. Kami berharap Proton Inspira, dengan kemampuan prestasinya serta tahap pemanduan dan pengendaliannya yang mantap, akan dapat memenuhi keperluan dan kesesuaian demi membantu pihak Polis menjalankan tanggungjawab mereka,” jelas Dato’ Sri Syed Zainal lagi.

Di majlis penyerahan tersebut, PROTON turut mengumumkan hasrat syarikat itu untuk berkerjasama dengan PDRM dalam mengurangkan kadar berlakunya jenayah. Melalui kerjasama ini, PROTON akan melaksanakan beberapa inisiatif utama seperti melancarkan kempen kesedaran keselamatan kepada pelanggannya. PROTON juga akan menjalankan kempen untuk mengalakkan lebih ramai kakitangannya untuk mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Cop. Melalui inisiatif ini, PROTON akan menjemput wakil dari PDRM untuk memberikan penerangan serta membuka kiosk pendaftaran di kawasan kilang dan pejabat PROTON serta anak-anak syarikatnya. Setakat ini, keahlian Rakan Cop di Proton Tanjung Malim telah mencecah seramai 980 orang dan merupakan jumlah ahli yang paling ramai di antara syarikat-syarikat di negeri Perak. Di antara faedah-faedah yang diterima oleh ahli-ahli Rakan Cop ini adalah kemudahan untuk menyalurkan terus maklumat kepada pihak Polis melalui sistem pesanan sms serta mendapatkan maklumat dan bantuan segera dari pihak Polis. PROTON juga akan turut menawarkan kesemuanya cawangan dan premisnya untuk dimanfaatkan dengan sewajarnya bagi membantu polis dalam memantau kegiatan jenayah.

Proton Inspira Polis 2011.01

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, PROTON mempunyai tangungjawab sosial korporat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Melalui kempen kesedaran ini, matlamat kami adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang tip-tip berguna seperti cara-cara menghalang kecurian kereta daripada berlaku. PROTON juga akan membantu polis dalam menjayakan program Rakan Cop dengan menggalakkan penyertaan 12,000 orang kakitangannya sebagai ahli, dalam usaha untuk melahirkan lebih. Dengan bilangan kakitangan yang ramai serta bangunan dan premis di lebih 28 cawangan dan 196 syarikat pengedar di seluruh Negara, saya percaya PROTON mempunyai kekuatan yang boleh dimanfaatkan, bukan sahaja untuk membantu Polis untuk memastikan keamanan dan keselamatan awam terpelihara malahan juga untuk melahirkan lebih ramai warganegara yang bertanggungjawab. PROTON berbangga dan berbesar hati kerana dapat membantu pihak Polis dalam usaha memantau dan membasmi kadar jenayah dan salahlaku di Negara ini,” menurut Dato Sri Syed Zainal lagi.

Majlis penyerahan Proton Inspira tersebut turut diserikan dengan persembahan demonstrasi istimewa daripada pihak Polis yang menunjukkan kebolehan Inspira dalam situasi yang memerlukan kecekapan pemanduan, pengendalian serta prestasi kelajuan yang tinggi.

Muhammad

7 Comments

  1. Adoi! POLIS pakai plak model ni. Keta apa pun kalo dah jadi keta peronda mmg spoil.

  2. gua nak cite pasal veyron sebenarnya tapi gua dah naik malu ngn lu orang.

  3. polis guna keta lembab pun leh laju kalau dia nak…
    dia ada kuasa ketepi3x….
    bagus jugak keta polis laju.. br leh kejar panyangak bangsa…

  4. Xpayah pki enjin ebo10,dh pakai dh pon..tp…xtau le ebo tu wat cantik,wat lawa,xpun…wat demo kat skolah2….tp…yg pasti…camne nk kejo kalo org jht tu pki veyron????jwb mat……..

  5. Evo kan buat pakai kat Highway?Inspira 1.8 dah cukup untuk ronda2.Lagi satu kete polis ni Standard tapi power.

Kata Anda//