Proton Holdings Berhad Melancarkan Proton Iriz – Kereta Kompak Bergaya Dari RM42,438

SONY DSC

Tanjung Malim, 25 September 2014 – Masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba apabila Proton Holdings Berhad melancarkan produk terbaharu kebanggaan mereka iaitu Proton Iriz. Kereta hatchback yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kilang Proton Tanjung Malim itu menampilkan reka bentuk yang menarik, kejuruteraan berkualiti, kelengkapan teknologi yang inovatif dan pada masa yang sama dipasarkan pada harga mampu milik. Model baharu itu ditawarkan melalui tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium.

Rasional pemilihan nama Iriz ialah kerana sifat mata itu sendiri yang diserap dan dijelmakan kepada model terbaharu Proton ini. Ia melambangkan karakter memandang ke hadapan dan menetapkan standard baharu keselamatan untuk rakyat Malaysia. Proton Iriz mempunyai 10 kawalan berkomputer untuk memberi keselamatan aktif dan mewujudkan sinergi di antara kelengkapan keselamatan pasif dan seterusnya perlindung komprehensif untuk pemandu dan penumpang.

Huruf ‘Z’ yang menggantikan S pula adalah lambang kepada penyempurnaan kerja Proton iaitu dari A hingga Z selain daripada lengkapnya projek terbaharu ini dan sebagai tanda bermulanya era baharu Proton dan mengukuhkan lagi komitmen Proton terhadap kualiti tinggi.

Proton Iriz TM 2014.12

Berucap semasa majlis perlancaran, Dato’ Harith Abdullah, Ketua Pegawai Operasi Proton berkata, “Proton Iriz dibangunkan di atas platform baharu oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia dan pasaran global. Kereta kompak ini merupakan simbol komitmen Proton kepada pelanggan dengan menawarkan standard kualiti yang tinggi, selamat dan seronok untuk dipandu yang terbina dengan keselesaan dan kemudahan untuk konsumer”

“Proton Iriz merupakan produk Proton yang serba lengkap setakat ini. Iriz dilengkapi ciri-ciri keselamatan aktif sebagai kelengkapan standard seperti ESC, ABS dengan EBD dan BA, TCS, HHA dan sistem amaran tali pinggang keledar. Kesemua ciri-ciri ini menjadikan Iriz sebuah model yang unik untuk pasaran tempatan dan kebiasaannya kelengkapan tersebut hanya didapati pada kereta premium dan jenama antarabangsa pada harga melebihi RM100,000,” kata beliau.

“Disebalik kelengkapan yang serba lengkap itu, Proton Iriz ditawarkan pada harga bermula dari RM42,438 hingga RM62,888 bergantung kepada varian. Pada masa yang sama kami masih mampu menawarkan harga yang mampu milik dan bernilai untuk wang dengan kesemua ciri-ciri yang kami berikan kepada anda”, tambahnya lagi.

Proton Iriz TM 2014.04

Direka untuk keperluan gaya hidup moden, Proton Iriz dikuasakan oleh enjin VVT baharu dengan transmisi pilihan manual atau CVT. Varian 1.3 didatangkan dengan pilihan Standard atau Executive manakala varian 1.6 pula dengan pilihan Executive dan Premium. Model baharu ini turut dilengkapi dengan sistem stereng kuasa elektrik pintar (EPS) untuk pemanduan yang menyenangkan dan pengendalian cemerlang. Proton Iriz Premium dipakejkan dengan enam beg udara, tingkap pemandu anti perangkap, sistem kemasukan bebas kunci dan lampu LED siang hari yang kebiasaannya terdapat pada kereta premium.

Selain daripada itu, turut dilengkapkan ialah Sensor Pintu Nyahkunci yang berfungsi dengan menyahaktif penguncian pintu apabila berlaku kemalangan bagi membolehkan pemandu dan penumpang keluar atau diselamatkan dengan pantas. Proton Iriz turut terbina dengan struktur yang kukuh menggunakan teknologi Acuan Tekanan Pemanasan (HPF) yang canggih dan dimiliki oleh Proton. Malaysia merupakan negara keenam yang menggunakan teknologi Jerman tersebut dan satu-satunya negara ASEAN yang menggunakannya. Teknologi HPF membantu di dalam menjadikan berat kereta mencapai kestabilan optimum di samping melindungi pemandu dan penumpang semasa berlakunya impak dari luar.

Proton Iriz TM 2014.11

“Proton telah memberi fokus di dalam menambah baik setiap aspek kereta ini terutama sekali pada kemudahan dan keselamatan. Proton Iriz hadir dengan standard keselamatan tertinggi yang Proton boleh tawarkan dan lebih meyakinkan apabila Iriz mencatat skor lima bintang di dalam ASEAN NCAP dan kami tidak akan berhenti setakat ini dan akan menjadikannya sebagai penanda aras bagi terus menambah baik dan membangunkan kereta di dalam memenuhi standard keselamatan antarabangsa,” ujar Dato’ Harith.

Proton Iriz kini boleh dipandu uji di semua bilik pameran Proton di seluruh negara. Terdapat tujuh warna yang ditawarkan seperti Fire Red, Atlantic Blue, Genetic Silver, Proton White, Tranquility Black dan dua warna baharu yang eksklusif untuk Iriz iaitu Citrus Green dan Moon Dust. Harga di atas jalan Proton Iriz bermula dari RM42,438 (Standard 1.3 Manual), RM46,438 (Executive 1.3 Manual) dan RM59,438 (Premium 1.6 Manual).

Selamat berjaya Proton – Kebanggaan Negara!

@muhd_gt – Lebih entri dan gambar akan menyusul!

Muhammad

Kata Anda//