Porsche Cayman GT4 Clubsport Ini Khusus Untuk Perlumbaan dan Kini Di Malaysia

porsche-cayman-gt4-clubsport-2017-01

Porsche Cayman GT4 Clubsport yang merupakan versi perlumbaan model Cayman GT4 kini berada di Malaysia dan dipertontonkan kepada media oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP). Model Clubsport itu dibangunkan khusus oleh Porsche Motorsport untuk tim yang berminat menggunakannya dalam perlumbaan. Cayman GT4 Clubsport adalah refleksi kepada asas penubuhan jenama Porsche dan warisan sukan permotoran jenama dari Jerman itu.

Cayman GT4 Clubsport dikuasakan oleh enjin 3.8 liter ‘flat-six’ yang dipadankan transmisi dwi klac Porsche dan gandar belakang dengan gear kebezaan (differential) mekanikal serta tuil penganjak gear pada stereng. Pegas gegelung pula diambil dari sebuah lagi model perlumbaan iaitu 911 GT3 Cup yang menyertai 20 perlumbaan satu jenama Porsche di serata dunia.

porsche-cayman-gt4-clubsport-2017-03

Berat Cayman GT4 Clubsport hanya 1,300 kg yang turut dilengkapi rangka keselamatan, kerusi perlumbaan dan tali pinggang keledar 6 poin dengan fokus untuk mengurangkan berat kereta. Tugas memperlahankan kereta digalas oleh cakera brek besi di keempat-empat tayar dengan diameter 380 milimeter.

“Cayman GT4 Clubsport merupakan model khusus untuk merapatkan jurang di antara kereta biasa dengan versi perlumbaan GT3 Cup yang merupakan kereta lumba asas Porsche. Dengan kos penyelenggaraan yang lebih rendah, Cayman GT4 Clubsport adalah opsyen popular untuk pemandu muda dan baru berjinak dengan perlumbaan atau pelumba amatur” kata Arnt Bayer, Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Auto Performance.

“Dengan siri perlumbaan Blancpain GT Asia 2017 menawarkan kategori GT-4, pelanggan mempunyai peluang untuk menyertai perlumbaan di benua Asia” kata Earl Bamber, pemandu Porsche yang turut hadir di majlis pelancaran di Litar Go-Kart Sepang.

porsche-cayman-gt4-clubsport-2017-04

Setakat ini, empat tim perlumbaan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kategori GT4 Clubsport, tambah Bamber yang merupakan juara Piala Carrera Asia pada tahun 2013. Beliau juga turut memenangi perlumbaan 24 jam Le Mans dan menyertai beberapa perlumbaan lain seperti Kejuaraan United Sportscar.

Pada tahun ini, Bamber akan berlumba dalam LMP1 yang merupakan kelas premier World Endurance Championship (WEC) termasuk perlumbaan 24 jam Le Mans dan bakal menggunakan jentera Porsche 919 Hybrid LMP1.

Dengan penjualan Porsche Cayman GT4 Clubsport, kereta itu bakal digunakan dalam pelbagai perlumbaan di serata Asia Tenggara melalui kempen yang dilakukan oleh Porsche Asia Pasifik.

Mereka yang berminat dengan jentera perlumbaan ini boleh menghubungi Sime Darby Auto Performance.

porsche-cayman-gt4-clubsport-2017-02

Pengenalan Kepada Program Pemanduan Porsche

SDAP kini memberi fokus kepada pengalaman pelanggan yang memiliki kereta 4 pintu Porsche. Kereta yang didaftarkan pada tahun 2017 akan menerima pakej kelas pemanduan Pengenalan Kepada Porsche di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pelanggan baharu akan diselia oleh pengajar Porsche sendiri untuk menambah baik skil pemanduan mereka. Program tersebut turut merangkumi pengalaman pemanduan kereta sport 2 pintu Porsche di litar lumba.

Selain dari program di atas, kenderaan baharu Porsche turut didatangkan dengan 4 tahun waranti komprehensif dan 4 tahun pakej penyelenggaraan percuma.

Muhammad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *