Porsche Cayenne Turbo S: SUV Mewah Berkuasa 550 hp!

Porsche adalah suatu nama yang besar di dalam dunia automotif. Dari kanak-kanak hinggalah golongan berusia masing-masing mengenali dan mengagumi kereta yang berasal dari Stuttgart, Jerman. Menyusuri sejarah jenama itu, Porsche diasaskan oleh Profesor Ferdinand Porsche yang pada awalnya menawarkan perkhidmatan konsultansi dan pembangunan kenderaan. Antara bisnes awal yang diterima Porsche ialah daripada kerajaan Jerman untuk membina kereta rakyat. Harus tahu kereta rakyat tersebut ialah Volkswagen Beetle. Porsche 64 yang merupakan model pertama Porsche berkongsi banyak komponen daripada model Beetle. Pada tahun 1948 model kedua Porsche iaitu 356 dibina oleh Ferry Porsche iaitu anak kepada pengasas jenama itu. Sekali lagi, model tersebut berkongsi komponen dengan model Beetle antaranya enjin, transmisi dan suspensi. Lebih menarik ialah model 356 dibina selepas Ferry Porsche gagal menemui model di dalam pasaran yang kena dengan jiwa beliau dan langsung membina sendiri kereta idamannya.

Berpuluh tahun kemudian, rekabentuk Porsche masih tetap sama cuma modifikasi sini sikit dan sana sikit supaya relevan dengan peredaran zaman. Tetapi model yang dipaparkan kali ini radikal sungguh iaitu Cayenne Turbo S. Model SUV tersebut yang dikeluarkan pada tahun 2002 memecah tradisi Porsche yang sebelum mengeluarkan kereta sport dua pintu. Walaupun badannya jauh membesar ibarat bumi dan langit namun Cayenne masih lagi mengekalkan identitinya seperti lampu utama, lampu belakang, bonet dan bampar. Senang kata sekali lalu orang boleh mengecam bahawa model itu adalah keluaran Porsche. Selain daripada Cayenne, Porsche turut mengeluarkan sebuah lagi model yang lari daripada tradisi iaitu Panamera, sebuah kereta sedan sport dengan empat pintu. Strategi yang lari langsung daripada tradisi bukanlah pelik dalam keadaan ekonomi kerana demi survival kehendak pelanggan lebih penting daripada ego pengeluar. Lagi pula tidak semua orang kaya menyukai kereta sport dua pintu.

Pada tahun 2010, Porsche mengeluarkan Cayenne generasi kedua dengan beberapa varian seperti Hybrid, Diesel, GTS dan Turbo. Tidak cukup dengan itu, Porsche mengeluarkan model terkini dan paling berkuasa iaitu Turbo S berkuasa 550 hp. Dengan pakej chasis, pacuan empat roda dan kuasa model SUV tersebut lebih berprestasi berbanding kereta sport di dalam pasaran. Model Turbo S mempunyai ekstra 50 hp berbanding model Cayenne Turbo dan peningkatan tokr daripada 700 Nm kepada 750 Nm yang diterjemahkan kepada kuasa pecutan dan kelajuan maksimum yang lebih tinggi. Pecutan dari pegun hingga 100 km/j hanya mengambil masa 4.5 saat sahaja dengan kelajuan maksimum selaju 282 km/j.

Cayenne Turbo S dikonfigurasi dengan terperinci bagi mencapai dinamik prestasi yang maksimum. Untuk itu model tersebut dipasangkan dengan sistem kawalan yang bersesuaian dengan prestasinya sebagai peralatan standard. Berkongsi dengan model Turbo, Cayenne Turbo S menggunakan komponen yang sama seperti supspensi dan kawalan PASM damping control. Peralatan lain ialah Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC) yang mengurangkan sudut olengan semasa di selekoh yang memperbaiki kelincahan dan keselesaan. Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) juga merupakan peralatan standard yang menggabungkan torque vectoring pada roda belakang dengan rear differential lock kawalan elektronik untuk memperbaiki cengkaman seterusnya menjadikan SUV tersebut lebih sedap dipandu pada sebarang keadaan pemanduan.

Penampilan luaran Cayenne Turbo S amat jelas dalam memberi isyarat kuasa yang dimiliki. Rekaan yang menonjol ialah gril yang mempunyai liang udara dan perumah lampu utama dan cermin yang diwarnakan hitam berkilat. Roda aluminium bersaiz mega iaitu 21 inci yang diberi nama 911 Turbo II pula direka khas untuk model Cayenne Turbo S. Pada bahagian dalaman, pereka Porsche telah memberi pakej warna dan corak yang segar khusus untuk model itu. Kombinasi warna istimewa yang tersedia ialah kombinasi Black/Carrera Red atau Black/Luxor Beige. Pakej interior Carbon pula menjadi pelengkap kepada tema warna merah tersebut untuk menambah lagi riasan model tersebut.

Di United Kingdom, Cayenne Turbo S akan dipasarkan bermula Januari 2013. Harga yang ditawarkan bermula dari GBP 107,460 atau dengan tukaran wang tempatan ialah kira-kira RM 527 ribu. Untuk pengetahuan anda, harga Cayenne Turbo di pasaran tempatan ialah RM 970 ribu manakala Cayenne Turbo S masih belum ditentukan. Agak-agaknya berapakah harganya nanti? Pasti melebihi RM 1 juta der.

Newspress

@muhd_gt

Muhammad

3 Comments

  1. klo harga tempatan 1 juta ++, org UK dah bleh beli 2 bijik cayenne ni… Turunkan harga keretaaaaa…

  2. dlm top gear korea diorang cakap design cam katak kuak yg mengembang…….apa pun porsche memang berani keluar kete jenis suv dgn sedan panamera……paling laku panamera r…..

Kata Anda//