Porsche Cayenne Platinum Edition kini di Malaysia – Harga bermula dari RM698,000

Porsche Cayenne Platinum Edition 2017

Porsche Cayenne Platinum Edition kini secara rasminya dijual di Malaysia oleh Sime Darby Auto Performance. Varian baharu itu mempunyai penampilan lebih sporti di mana akronim Platinum Edition oleh Porsche merujuk kepada model terpilih yang dikeluarkan dalam tempoh terhad.

“Pengenalan Platinum Edition ini adalah untuk meraikan kejayaan barisan model Cayenne, lebih banyak ciri-ciri berkualiti premium dilengkapi dan kini ia tampil lebih sporti” kata Arnt Bayer, Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Auto Performance.

Bahagian luaran – Roda RS Spyder 20 inci

Porsche Cayenne Platinum Edition

Porsche Cayenne Platinum Edition dilengkapi roda RS Spyder bersaiz 20 inci dengan arka roda lebih lebar, lampu utama Bi-xenon dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS), Power Steering Plus dan ParkAssist di bahagian depan dan belakang. Sistem pengesanan ParkAssist itu bukan sahaja mengeluarkan bunyi amaran tetapi turut memaparkan keadaan sekeliling pada skrin papan pemuka.

Warna standard Cayenne Platinum Edition ialah hitam atau putih bukan metalik dan pelanggan boleh memesan opsyen warna metalik seperti Deep Black, Purpurite, Mahogany, Carrera White atau Rhodium Silver.

Bahagian dalaman

Porsche Cayenne Platinum Edition

Bahagian dalaman Porsche Cayenne Platinum Edition pula dilengkapi kerusi kulit dengan lapan larasan elektrik dan logo Porsche pada perehat kepada, balutan Alcantara pada panel tengah, jam analog yang direka cantik pada papan pemuka dan plet ambang pintu (door sills) dengan perkataan Platinum. Sistem multimedia pula menggunakan model terkini Porsche Communication Management (PCM) dengan fungsi navigasi dalam talian dan model Connect Plus.

Nadi kuasa

Porsche Cayenne Platinum Edition dikuasakan oleh enjin 3.6 liter V6 berkuasa 300 hp dengan penggunaan minyak sebanyak 9.2 liter untuk setiap 100 km bergantung kepada jenis tayar yang digunakan.

Harga dan waranti

Harga di atas jalan Porsche Cayenne Platinum Edition bermula dari RM 698,000 dan ia merangkumi empat tahun waranti termasuk pakej penyelenggaraan percuma.

Silakan kongsi:

Kata Anda//

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.