PM LANCAR ‘CABARAN MOBILITI HIJAU PROTON 2012’

PUTRAJAYA, 29 Februari 2012 – Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak hari ini melancarkan Cabaran Mobiliti Hijau PROTON 2012 (PROTON Green Mobility Challenge – PGMC 2012), iaitu satu cabaran yang dianjurkan bersama oleh PROTON Holdings Berhad (PROTON) dan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) bagi membangunkan kenderaan elektrik mesra alam. Dalam cabaran yang julung kali diadakan dan dibuka kepada pelajar-pelajar universiti tempatan ini, mereka dikehendaki menukar sebuah kereta Proton Saga berenjin konvensional kepada sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata PGMC 2012 merupakan satu contoh yang baik bagaimana tiga komponen utama sebuah masyarakat madani iaitu pihak industri, akademia dan juga Kerajaan, dapat menjalinkan kerjasama bagi mencapai pelbagai matlamat yang dapat memberi manfaat kepada Negara. Kerjasama seperti ini juga dikenali sebagai ‘Triple Helix’.

PGMC 2012 merupakan salah satu projek ‘Innovation Accelerator’ Triple Helix (THX) yang dikendalikan oleh AIM dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dari pelbagai sektor bertujuan mempercepatkan inovasi teknologi dalam Negara. Melalui sinergi sumber dan kekuatan yang dimiliki oleh semua pihak yang terlibat, mereka akan mendapat manfaat yang besar daripada kerjasama tersebut.

Kerjasama ini juga akan memperhebatkan lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) PROTON dalam membangunkan model-model kereta masa hadapan sekaligus mengukuhkan lagi aspirasi PROTON untuk menjadi sebuah pengeluar kereta yang benar-benar global. Inisiatif-inisiatif bagi mempelopori dan mengkomersilkan teknologi automotif yang canggih juga akan memberikan satu lonjakan yang besar bagi industri automotif Malaysia.

Teknologi baru yang bakal dihasilkan melalui PGMC 2012 bukan sahaja akan membantu PROTON untuk membangunkan kenderaan yang lebih mesra alam dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran pihak universiti, malah ia juga akan memberi impak positif yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pembangunan harta intelek tempatan, industri, sistem dan komuniti vendor serta pengurangan kesan karbon dalam Negara ke arah pemeliharaan alam sekitar yang bersih untuk masa hadapan.

Universiti yang mengambil bahagian dalam PGMC 2012 adalah UNITEN; UTeM, UNIKL MSI, UMP, UNISEL, IIUM, UTM, UNIMAP dan UKM. Setiap pasukan perlu membuat modifikasi ke atas sebuah kereta Proton Saga mengikut peraturan yang ditetapkan. Peringkat akhir akan diadakan dari 4 hingga 7 Oktober 2012 dan pemenang PGMC 2012 akan ditentukan berdasarkan keupayaan kenderaan tersebut melalui pelbagai ujian termasuklah jarak pemanduan, tahap pecutan dalam jarak suku batu, masa terpantas dalam dua pusingan serta kelajuan maksimum.

PGMC 2012 adalah selaras dengan objektif AIM untuk membantu membangunkan kekayaan intelek melalui inovasi. Sebagai sebuah badan berkanun kerajaan di bawah akta Agensi Inovasi Malaysia 2010, AIM memainkan peranan yang penting dalam menggubal strategi bagi membangunkan eko-sistem inovasi Negara dan arus pendapatan baharu Negara melalui inovasi.

PGMC 2012 juga dijangka akan dapat menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjalani kehidupan yang lebih inovatif dan kreatif serta memupuk budaya dan semangat berdaya saing.

Pengerusi PROTON Holdings Berhad Dato’ Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh berkata usaha syarikat tersebut ke arah menerokai teknologi canggih dalam bidang automotif adalah selaras dengan fokus industri automotif global dalam bidang teknologi hijau serta mobiliti yang mapan

“Kreativiti menghasilkan inovasi dan inilah tujuan utama aktiviti-aktiviti seperti PGMC 2012 diadakan. Jauh lebih penting daripada cabaran ini, inovasi itu sendiri merupakan komponen yang amat penting bagi mencapai kejayaan dan menjadi lebih berdaya-saing dalam apa juga bidang ekonomi. Dengan menggunakan industri automotif yang pantas berubah sebagai platform cabaran yang sememangnya ideal, saya percaya cabaran ini akan dapat menyumbang ke arah mengukuh dan memajukan kepakaran teknologi Malaysia dalam semua aspek penting,” tambah beliau.

Kerjasama antara PROTON dan AIM ini juga menunjukkan komitmen PROTON terhadap usaha transformasi Nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara berasaskan ilmu pengetahuan dan berpendapatan tinggi seperti yang termaktub dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara maju menjelang 2020.

“Masa depan industri automotif bergantung kepada tiga faktor utama iaitu; kebolehan pengeluar kereta untuk membangunkan secara komersil kenderaan generasi baru dengan kos yang paling efisyen; sokongan pihak Kerajaan dan penggubal dasar untuk memformulasi undang-undang jangka panjang yang bukan sahaja membolehkan pengeluar kereta untuk merangka rancangan masa hadapan, lebih daripada itu untuk turut menggalakkan faktor yang ketiga iaitu, kesedaran dan penerimaan masyarakat kepada penggunaan teknologi hijau atau sistem alternatif seperti hybrid dan kenderaan elektrik,” kata Pengarah Urusan Kumpulan PROTON Holdings Berhad Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

“PROTON berhasrat untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran pengguna terhadap faedah teknologi hijau dalam bidang automotif, tetapi juga merapatkan jurang di antara kewujudan teknologi baru tersebut dan penerimaan orang ramai dan pihak Kerajaan terhadapnya.”

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (UNIK) Dato’ Dr Kamal Jit Singh berkata, inisiatif seperti PGMC 2012 dapat meningkatkan lagi kualiti tenaga kerja masa hadapan.

“Apabila pelajar diberi peluang untuk menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh Industri, pengalaman itu akan menjadikan mereka lebih efektif dan relevan. Mereka akan lebih bersedia untuk menghadapi pasaran kerja apabila mereka tamat belajar kelak,” kata Dr Kamal.

Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Inovasi Malaysia En. Mark Rozario berkata PGMC 2012 merangkumi nilai-nilai yang terkandung di dalam Strategi Inovasi Nasional yang dilancarkan AIM pada tahun lepas.

“Bagi AIM, PGMC 2012 bukan hanya sekadar satu usaha untuk mencipta kenderaan berteknologi hijau dan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar. Ia juga bertujuan memacu Malaysia menjadi sebuah Negara inovatif menjelang 2020, dalam konteks pembangunan sumber pendapatan baru dan kemajuan eko-sistem inovasi Nasional,” kata beliau.

“Teknologi baru yang bakal diraih dari penganjuran PGMC 2012 bukan sahaja akan membolehkan syarikat kereta nasional kita membangunkan kenderaan-kenderaan elektrik yang lebih efisyen, tetapi ia juga akan memberikan satu impak yang amat besar kepada seluruh rakyat Malaysia.”

Turut hadir di majlis pelancaran PGMC 2012 yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri adalah Pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjuran PGMC 2012 Dr Abdul Reezal Abdul Latif, yang juga merupakan Naib Presiden AIM, serta Professor PROTON Dr. Mohd Azman Zainul Abidin, pegawai-pegawai dari rakan-rakan strategik yang terdiri dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Malaysia Automotive Institute (MAI) dan Society of Automotice Engineers (SAE) International, Malaysia, ahli-ahli jawatankuasa teknikal, penaja-penaja serta Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan serta pasukan-pasukan dari universiti yang mengambil bahagian.

Muhammad

2 Comments

  1. Kek Lapis…lu boleh jadik penulis jemputan kot di geartinggi…gua rasa la

Kata Anda//