Peugeot Urban Crossover Concept

Di pasaran tempatan kini, kita ditawarkan dengan pelbagai jenama automotif dunia. Ada dari Jerman, Perancis, Sweeden, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan China. Syarikat-syarikat automotif itu berebutkan kek pasaran yang agak besar iaitu lebih dari setengah juta unit setahun. Walaupun majoriti pasaran dibolot oleh syarikat nasional seperti Proton dan Perodua namun bakinya tetap lumayan. Pengedar tempatan pula tidak lokek untuk berbelanja besar bagi memasang kenderaan import di dalam negara melalui kaedah pemasangan terurai (CKD). Harus tahu, pengeluar kereta mewah seperti Mercedes, BMW dan Volvo telah lama memasang beberapa model mereka secara CKD. Jadi, apabila VW heboh dengan program pemasangan CKD mereka saya tidaklah berapa teruja kerana keupayaan rakyat tempatan untuk memutar skru dan memasang kembali peralatan-peralatan kenderaan sememangnya sudah terbukti.

Sejak kebelakangan ini juga kita dapat lihat beberapa jenama lama cuba untuk bertapak kembali di dalam pasaran tempatan. Misalnya Mitsubishi, Mazda, VW dan Peugeot. Dahulu jenama-jenama itu kukuh tetapi dek kerana persaingan, nama jenama itu semakin dilupakan. Kini mereka kembali dengan misi dan membuka buku baharu. Jika diperhatikan harga yang ditawarkan untuk beberapa model sangat kompetitif dan bersaing secara berdepan dengan jenama Jepun seperti Toyota dan Honda. Walaupun perjalanan mereka masih jauh namun asas yang dibina nampak meyakinkan. Sebutkan jenama Eropah yang paling murah boleh diperolehi di pasaran tempatan? Mungkin ada yang ingin menjawab VW tetapi hakikatnya bukan. Jawapannya adalah Peugeot dan terima kasih kepada Naza selaku pengedar dan pemasang utama CKD kereta jenama Perancis itu. Langkah asas mereka nampaknya betul, harga mestilah kompetitif supaya pembeli mempunyai alternatif dan tidak tertutup kepada satu-dua jenama sahaja.

Baru-baru ini di Beijing Motor Show, Peugeot telah membuat pameran perdana model Urban Crossover Concept. Menariknya di siaran media rasmi Peugeot, nama Kuala Lumpur turut disebut seperti berikut:

“From Sao Paulo to Shanghai, from London to Kuala Lumpur, from Cape Town to Moscow, the city lives, changes, grows. Humanity becomes more and more urban, at a rate not seen before. A new generation of city dwellers is being born.”

Tidak pasti pula kenapa nama KL disebut, mungkin juga sebagai pengesahan bandaraya kita semakin pesat membangun tetapi yang pastinya Urban Crossover Concept digayakan oleh pasukan antarabangsa di Paris, Shanghai dan Sao Paulo.

Peugeot mempunyai warisan dalam membina kereta kompak, buktinya ialah siri model 200 diproduksikan sebanyak 15 juta unit. Di tambah pula dengan kejayaan model 3008 yang telah terjual sebanyak 368,000 maka Peugeot ingin mengambil kekuatan yang ada pada kedua sejarah tersebut dan menghasilkan model konsep ini. Urban Crossover Concept merupakan kombinasi pengetahuan dan pengalaman Peugeot dalam menghasilkan sebuah kenderaan yang kompak, pelbagai fungsi, lincah dan bergaya untuk penghuni bandar dan pada yang sama sukakan pengembaraan.

Urban Crossover Concept bukan setakat menterjemahkan kepakaran dan kemahiran Peugeot tetapi turut mempamerkan DNA rekaan terbaharu jenama itu. Dakwa Peugeot, dengan garisan-garisan badan yang ada kelas dan atletik, model konsep itu telah mereka semula standard segmen kereta kecil. Bahagian hadapannya kemas dan penuh dengan tenaga. Permukaan bonet yang sensual dengan skulptur (corak) memberi impresi perlindungan dan keteguhan. Gril depan yang berbentuk senyuman pula dapat memberi efek keceriaan dan lebih positif berbanding wajah hadapan kereta yang nampak ternganga, muram atau wajah tanpa emosi.

Dari profail sisi pula, kesinambungan yang lancar di antara cermin hadapan yang condong ke pemandu dan garisan bumbung terus bersambung ke spoiler menampakkan bentuk garis luar yang dinamik. Garisan-garisan tepi badan kereta yang menghala ke arah jalan raya pula menampakkan imej kereta yang bertenaga, ada kelas dan dinamik. Urban Crossover Concept ini menunjukkan rekaan yang segar dan moden. Walaupun nampak sibuk tetapi rekaannya tidaklah terlalu futuristik dan tidak pula terlalu selamat. Orang kata cukup-cukup. Jenis kereta yang bila beli terus cuci kaki dan tidak perlu buat apa-apa. Namun terlalu awal untuk dihakimi kerana model konsep memang cantik-cantik.

Jika Peugeot berjaya menghasilkan benar-benar seperti yang dicanang ini ditambah pula dengan harga yang kompetitif nescaya kubu mereka di Eropah bertambah kuat daripada serangan pengeluar Korea. Jika faktor yang sama berjaya diulangi di pasaran tempatan maknanya pengeluar kereta Jepun perlu memikirkan semula strategi harga produk mereka yang nampaknya kini mengambil kesempatan di atas reputasi yang dimiliki. Baitulmaqdis tidak ditawan di dalam masa sehari!.

Newspress

-Muhd Uia-

Muhammad

3 Comments

  1. cantik dipandang, menarik untuk dipegang. “once broken considered sold”

Kata Anda//